PERANG JAMES BROOKE KE ATAS BRUNEI 1846
PERANG JAMES BROOKE KE ATAS BRUNEI 1846
Di dalam menyusuri rentetan sejarah Sarawak Kingdom yang diperintah oleh dinasti bangsa Eropah yang dimulai oleh Rajah James Brooke, ada tercatit satu perang yang dilancarkan ke atas Negara Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Perang James Brooke atas Brunei pada tahun 1846 itu menjadi pemangkin kepada pengukuhan empayar Sarawak Kingdom dan akhirnya menjadikan beliau daripada seorang Gabenor yang kemudiannya menjadi pemerintah Sarawak Kingdom yang wilayahnya hanya sebesar Kuching pada ketika itu dan akhirnya sebesar wilayah Sarawak Bumi Kenyalang sekarang.
Perang James Brooke ke atas Brunei 1846 ini sudah tentu sejarahnya tidak begitu dikenali secara terperinci oleh Bangsa Sarawak kerana ianya jarang-jarang dinobatkan untuk pengetahuan umum. Namun begitu ini tidak bermakna kita harus melupakannya kerana ianya juga berkaitan secara langsung dengan kita sebagai anak Sarawak sekarang. Nama-nama besar seperti Pengiran Muda Hashim sudah tentu mempunyai kaitan secara langsung dengan sejarah ini memandangkan atas cadangan Pengiran Muda Hashimlah akhirnya seorang pengembara bangsa Eropah yang pada mulanya hanya datang untuk menghantar hadiah akhirnya ditawarkan untuk membantu Pengiran Muda Hashim menentang pemberontakan masyarakat tempatan ke atas dasar pemerintahan Pengiran Indera Mahkota yang merupakan Gabenor Sarawak yang dilantik oleh Kesultanan Brunei suatu ketika dahulu.
Atas jasa James Brooke membantu Pengiran Muda Hashim akhirnya pada tahun 1841 seperti yang termaktub di dalam perjanjian asal mereka, James Brooke telah diangkat menjadi Gabenor Sarawak pada masa itu. Siapa pernah tahu sekitar bulan Disember 1941 juga James Brooke pernah mengutuskan suratnya kepada Sultan Brunei dari Kuching Sarawak. Mengikut sejarahnya dikatakan isi kandungan surat tersebut ada menyatakan misi dan visi James Brooke ke atas Sarawak dan juga Brunei. Walau bagaimanapun, surat tersebut dikatakan tidak begitu diambil endah oleh Sultan Brunei pada masa itu.
Hubungan erat antara Pengiran Muda Hashim dengan James Brooke sebenarnya tidak begitu disenangi oleh Sultan mahupun pembesar-pembesar Kerajaan Brunei suatu waktu dahulu dan ini menyebabkan satu titah telah dikeluarkan kepada Pengiran Muda Hashim untuk kembali ke Brunei. Maka pada tahun 1844, Pengiran Muda Hashim dengan seluruh keluarganya telah berangkat pulang ke Brunei dengan ditemani oleh James Brooke bersama-sama dengan Kapten Sir Edward Blecher. Ketika pulang itulah baru diketahui Pengiran Muda Hashim bahawa statusnya yang memegang jawatan Bendahara telah diambil oleh Pengiran Usup.
Diceritakan hanya dengan campurtangan daripada James Brooke dan armadanya yang berjaya menggertak Pengiran Usup akhirnya jawatan Bendahara itu dikembalikan kepada Pengiran Muda Hashim. Dengan adanya jawatan Bendahara Pengiran Muda Hashim ini kembali maka beliau juga merupakan waris untuk ditabalkan menjadi pemerintah Kerajaan Brunei selepas itu. Dikatakan James Brooke mendokong penuh Pengiran Muda Hashim sebagai waris Sultan bagi mengukuhkan lagi pengaruhnya di dalam Kerajaan Brunei.
Peristiwa ini telah membuatkan waris kepada Sultan Omar Ali Saifuddin II iaitu Pengiran Temenggung Pengiran Anak Hashim merasa terancam akhirnya telah membuat rancangan pembunuhan Pengiran Muda Hashim di Brunei tanpa diketahui oleh James Brooke. Sekembalinya James Brooke ke Sarawak maka bermulalah plot pembunuhan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim dan ianya merupakan satu plot pembunuhan yang dirancang dengan begitu teliti. Sekitar tahun 1846, akhirnya seluruh keluarga Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim telah dibunuh melalui pakatan sulit yang telah diolah seperti pemberontakan menentang pemerintahannya oleh ketua masyarakat tempatan Brunei sendiri.
Apabila berita kematian Pengiran Muda Hashim ini sampai ke James Brooke maka beliau telah naik berang dan sejak itu James Brooke menggunakan pengaruhnya di dalam Kerajaan Koloni Mahkota British bagi membantunya menyerang Brunei. Akhirnya pujukan dan alasan James Brooke telah membenarkan beliau mendapat armada tentera laut British. Visi asalnya adalah satu untuk mengajar Kerajaan Brunei yang telah berani membunuh sahabat baiknya iaitu Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim. Dengan armada laut yang kuat sudah tentu Kerajaan Brunei akan goyah terutama sekali ketika itu armada laut British mempunyai kelengkapan ketenteraan yang lebih ke hadapan berbanding dengan Kerajaan Brunei.
Pada 6hb Julai 1846, armada laut James Brooke dan British dengan dipimpin oleh Kapten Henry Keppel, Kapten Mundy dan Kapten Thomas Cochrane melalui kapal perang mereka iaitu HMS Iris, HMS Dido, HMS Semarang, HMS Spiteful, HMS Agincourt, HMS Ringdove, HMS Hazard dan HMS Royalist telah memasuki perairan Brunei iaitu kira-kira 12 batu untuk sampai ke kota Brunei iaitu pusat pemerintahan Kerajaan Brunei Darussalam. Kesemua armada perang James Brooke ini dikatakan tiba dan berlabuh diwaktu malam.
Hanya pada 8hb Julai 1846, barulah armada perang James Brooke benar-benar menghampiri Kota Brunei dan dikala itu dikatakan bahawa bala tentera Kerajaan Brunei sudahpun bersiap siaga dengan segala kemungkinan dan apabila didapati armada laut James Brooke telah mulai dekat, merekalah terlebih dahulu yang telah melepaskan beberapa das tembakan meriam sebagai tanda amaran. Armada tentera James Brooke juga turut membalas maka terjadilah pertempuran antara kedua-dua belah pihak. Di saat-saat genting sebelum armada Brooke berjaya mendarat di kubu pertahanan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II dan keluarganya serta beberapa orang pembesar berserta rombongan tenteranya telah berundur ke Damuan untuk menyelamatkan diri.
Pengunduran Sultan Omar Ali Saifuddin bersama rombongannya ke Damuan merupakan satu titik tolak bermulanya ibukota Brunei ditawan oleh armada tentera James Brooke. Pada ketika inilah Sultan Omar Ali Saifuddin yang berlindung di Damuan juga telah diberikan tekanan oleh James Brooke untuk mengangkatnya menjadi pemerintah yang sah kepada Sarawak Kingdom. Kerana tidak mahu kehancuran terus berlaku memandangkan kekuatan armada tentera James Brooke dan British bukan lawan kepada Brunei akhirnya Sultan Omar Ali Saifuddin telah akur dengan kehendak mereka dan pada ketika itulah perjanjian telah ditandatangani dan kekallah James Brooke menjadi Rajah James Brooke, pemerintah kepada Sarawak Kingdom tanpa Brunei boleh mencampuri urusan pentadbirannya secara total.
Bagi pihak British pula juga tidak mahu mengalah sebaliknya turut menekan Sultan Omar Ali Saifuddin untuk menyerahkan Pulau Labuan kepada mereka. Akhirnya perjanjian yang ditandatangani pada Disember 1846 telah menyerahkan Labuan menjadi wilayah jajahan British di Borneo. Dan pada ketika itu juga James Brooke diangkat oleh British sebagai Gabenor pertama Labuan pada tahun 1847. Jadi signifikasi Perang James Brooke ke atas Brunei 1846 ini membuatkan kedaulatan Brunei semakin mengecil pengaruhnya kerana Sarawak mahupun Labuan bukan lagi hak kepada Brunei. Selepas perjanjian itu juga satu demi satu wilayah kuripan pembesar Brunei jatuh ke tangan Sarawak Kingdom atas alasan memerangi “lanun” serta mendamaikan pemberontakan masyarakat tempatan ke atas pemerintahan Brunei di Sarawak pada ketika itu.
Hanya pada tahun 1888, akhirnya satu perjanjian telah ditandatangani antara 3 negara iaitu Sarawak Kingdom, Negara Brunei, Company North Borneo untuk menjadi negara protecrate British. Di dalam perjanjian ini telah dipersetujui bahawa tiada mana-mana negara ini yang boleh mengambil wilayah antara satu sama lain serta bernaung menjadi negara lindungan British. Kekuasaan wilayah Brunei pula tidak lagi mengecil selepas itu walaupun begitu ada juga beberapa siri wilayahnya diambil selepas tahun 1888 seperti peristiwa Trusan yang memihak kepada Brooke suatu waktu dahulu oleh Kerajaan British.
#KamekSayangSarawakBah!