RAYA DI SARAWAK… TOK BOK NYA!!
RAYA DI SARAWAK… TOK BOK NYA!!
Lain padang lainlah belalangnya, itulah perumpamaan Melayu di dalam memperkatakan adat dan tradisi yang mungkin berlainan dari satu tempat ke tempat yang lain. Untuk artikel istimewa pada kali ini, Borneo Oracle akan menyajikan keindahan serta keunikan sambutan hariraya di Sarawak Bumi Kenyalang dari malam 7 likurnya sehinggalah ke suasana sambutan hariraya itu sendiri.
Seperti masyarakat Islam di seluruh dunia terutama sekali di Malaysia amnya sudah tentu perayaan Hariraya Aidilfitri di sambut dengan meriah sekali. Dan sambutan itu sebenarnya sudahpun bermula pada Malam 7 Likur. Malam 7 likur ini adalah pada tanggal 26 Ramadhan dan dikala inilah kita akan dapati banyak rumah-rumah kepunyaan orang Islam akan bermandikan cahaya.
Untuk di Sarawak sudah menjadi tradisi bagi masyarakat Melayu Sarawak akan mengadakan pesta bertuntung. Pesta bertuntung ini adalah rumah-rumah akan dihiasi dengan lampu yang cantik-cantik serta terang benderang serta pelita-pelita akan dipasang di perkarangan rumah dan juga jalanraya. Pesta bertuntung ini akan bermula dari Malam 7 Likur sehingga ke malam 7 Syawal iaitu pada malam terakhir sambutan hariraya aidilfitri diadakan.
Dan kemeriahan pesta bertuntung ini adalah adanya pertandingan rumah bertuntung paling cantik dan sebagainya yang membuatkan ramai pemilik rumah akan menggunakan segala ilmu kreatif dan idea untuk memastikan rumahnya terang benderang dan lain dari yang lain. Selain itu bagi setiap masyarakat di taman-taman perumahan mahupun kampong-kampung akan bersatu hati untuk membuat pintu gerbang bertuntung yang cantik-cantik bagi memberikan suasana yang berlainan apabila menjengah ke kawasan kediaman mereka. Dan yang pasti, segalanya ini diadakan dengan semangat gotong royong yang tinggi dan sumbangan dana daripada penduduk kampong sendiri.
Dan sudah tentu pada menjelang hari-hari terakhir bulan Ramadhan itu, ramai kaum wanita Sarawak akan banyak menghabiskan masa di dapur atas nama untuk menyediakan kuih-muih yang akan menjadi hidangan wajib apabila sambutan Hariraya nanti. Kek Lapis Sarawak.. jika tiada kek lapis Sarawak bukan orang Sarawak lah namanya. Penyediaan kek lapis Sarawak ini sudah cukup memenatkan ditambah lagi ada keistimewaan atau “signature dish” bagi setiap pembuatannya. Dan perlulah diingatkan bukan hanya sebiji kek lapis yang harus disediakan malah purata sebuah rumah akan menghidangkan lebih kurang 5 – 10 jenis kek Sarawak sebagai hidangan untuk tetamu nanti.
Itu baru kek belum lagi biskut. Jika di bumi Semenanjung Malaysia yang diletakkan di dalam baling-balang itu juga dikategorikan sebagai kuih tetapi di Sarawak kesemua kuih seperti nama tat nenas, batang buruk itu dipanggil “biskut”. Penyediaan biskut ini juga harus disediakan dengan lebih awal kerana ianya di dalam kuantiti yang banyak. Di kala inilah kadang kala para kaum lelaki juga akan sama-sama berhempas pulas di dapur membantu kaum wanita kerana kerja-kerjanya yang teliti dan rumit. Yang paling popular di Sarawak adalah biskut “Makmur” yang sesungguhnya mempunyai nilai yang agak sentimental kerana ianya merupakan biskut tradisi zaman berzaman masyarakat Melayu Sarawak.
Apabila menjelang pagi raya, seperti kebiasaannya solat sunat Hariraya Aidilfitri akan membawa seribu pengertian di dalam jiwa seorang Islam kerana di hari itulah yang dinamakan hari kemenangan. Dan sudah menjadi tradisi, masyarakat Melayu Sarawak tanpa mengira kecil atau besar akan berduyun-duyun ke masjid. Di kala inilah kita akan melihat betapa busana tradisi Melayu seperti baju melayu lengkap dengan samping dan songkok akan dikenakan oleh kaum lelaki manakala baju kurung Melayu juga dikenakan di dalam pelbagai warna dan gaya.
Satu kelainan yang harus masyarakat luar disana ketahui bahawa di Sarawak, golongan lelaki Melayu Sarawak akan mengenakan baju Melayu sehingga ke 7 Syawal dan amat jarang jika kita mendengar ada lelaki Melayu Sarawak yang hanya menempah 1 sahaja baju Melayu untuk dipakai di hari raya. Di kala ramai Melayu di Malaysia sudah seperti melupakan keindahan baju Melayu untuk digayakan di musim-musim perayaan, rasanya Melayu Sarawak tetap kekal dengan tradisi tersebut sehingga ke hari ini. Malah golongan wanita juga sentiasa nampak molek dan cantik dengan berpakaian busana Melayu seperti kebaya dan baju kurung.
Antara keindahan yang tidak ada di bumi lain di Malaysia selain Sarawak Bumi Kenyalang adalah menu hidangan di pagi hari raya. Di Sarawak juga tidak kurang dengan menu hidangan yang kaw-kaw seperti kelupis, lemang, ketupat dan sudah tentu masak rendang, kari serta laksa Sarawak itu adalah antara hidangan di pagi hariraya. Dan hidangan inilah yang akan dirasai oleh tetamu daripada berbilang bangsa di Sarawak yang rata-ratanya sudah tentu mempunyai kaum keluarga daripada etnik yang lain kerana perkahwinan campur. Kesemua ini hanya dihidangkan pada hari pertama melainkan jika ada acara khusus yang menyebabkan tuan rumah menyediakannya pada hari raya yang kedua ataupun seterusnya.
Dan janganlah menghairankan sekiranya bertandang ke rumah Melayu Sarawak atau di dalam bahasa Sarawak dipanggil “berjarah raya”, setiap tetamu akan dijamukan dengan minuman berkarbonat kerana itulah antara tradisinya. Minuman berkarbonat ini jika di Sarawak dipanggil Ayek Lemenet dan amat jarang-jarang orang Sarawak menghidangkan minuman kopi panas atau sebagainya ketika di waktu hariraya untuk para tetamu. Dan antara satu yang lumrah, hidangan ayek lemenet itu juga akan diletakkan di dalam gelas-gelas kaca yang berwarna-warni dan juga saiz dari kecil sehingga ke gelas besar.
Di dalam menjunjung adat dan ukhuwah sesama keluarga pada sambutan hariraya inilah nanti kita akan mengenal saudara-saudara kita kerana biasanya hanya di sambutan hariraya dengan rumah terbuka maka kita akan melihat satu keluarga akan datang bertandang ke rumah saudara yang lain dengan ramainya. Jadi dikala inilah banyak adat tradisi yang tidak dilupakan oleh masyarakat Melayu Sarawak seperti apabila kali pertama pasangan pengantin yang baru berkahwin akan diletakkan dengan wangi-wangian pada hujung ubun-ubun kepalanya oleh orang tua di dalam keluarga yang dikunjungi.
Bagi yang baru mempunyai anak pertama dan “orang baru” di dalam keluarga, ada sesetengah keluarga Melayu Sarawak masih lagi menghadiahkan anak pertama tersebut dengan satu pinggan seramik yang diisi beras di dalamnya dan kemudian dimasukkan sirih serta wang saguhati untuk keluarga bayi itu dibawa pulang. Kedua-dua adat tradisi ini masih ada lagi yang dipegang oleh masyarakat Melayu Sarawak dan mungkin sejajar dengan waktu ianya juga telah ditukar dengan pemberian duit raya.
Inilah antara keindahan berhariraya di Sarawak Bumi Kenyalang yang diistilahkan melalui tulisan di dalam artikel agar kesemua rakyat Malaysia memahami konsep berhariraya di Sarawak Bumi Kenyalang. Dan yang pasti sambutan hariraya di Sarawak bukan sahaja untuk yang beragama Islam malah kesemua masyarakat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama. Budaya kunjung mengunjungi antara satu sama lain adalah satu ikatan ukhuwah yang membenarkan bahawa walau apa jua kaum dan budaya kita sekiranya kita saling hormat menghormati sudah tentu kita boleh tinggal satu bumbung tanpa ada masalah.
Lan Berambeh Ke Sarawak!
#KamekSayangSarawakBah!