TRADISI TATU DI DALAM MASYARAKAT DAYAK BORNEO
TRADISI TATU DI DALAM MASYARAKAT DAYAK BORNEO
Bertatu itu melambangkan keganasan!!!... Itulah acapkali yang kita dengar tentang pandangan skeptikal masyarakat apabila berbicara mengenai seni bertatu. Namun sebenarnya tanpa diketahui bahawa seni bertatu ini sudah pun wujud ribuan tahun dahulu malah untuk masyarakat Dayak Borneo, seni tatu itu adalah tradisi yang diwarisi zaman berzaman lamanya.
Mengikut sejarah makna perkataan tatu itu sendiri dikatakan berasal daripada perkataan bangsa Samoa iaitu “Tatau” yang bermaksud menanda atau mencacah dua kali. Namun begitu mengikut kata sejarahwan dunia pelopor amalan bertatu ini bukanlah daripada bangsa Samoa sebalik sejarah amalan bertatu ini boleh dijejaki sejak 5000 tahun sebelum masihi lagi. Dengan itu bermakna bahawa amalan bertatu ini sebenarnya sudahpun dipraktikkan oleh sesetengah suku bangsa di dunia ini berkurun lamanya.
Dari istilah saintifik pula mendefinisikan bahawa tatu adalah satu proses yang mana pigmen warna dicacah ke dalam lapisan kulit yang dalam yang dikenali dengan nama dermis. Lapisan di atas dermis iaitu epidermis adalah lapisan yang sering berganti-ganti tetapi lapisan dermis adalah lebih tetap. Dengan itu, reaksi pencacahan tatu menggunakan jarum akan bertindak balas pada badan sehingga menyebabkan pigmen tersebut diperangkap oleh sel-sel kulit yang dipanggil fibroblast (sel parut) di kawasan dermis dan akhirnya menjadi stabil pada warna kulit.
Sebenarnya tradisi tatu bagi masyarakat Dayak Borneo adalah sesuatu yang lumrah malah ianya tidak hanya amalan tradisi bagi golongan lelaki dayak bahkan ianya juga bagi golongan wanita dayak. Dan setiap seni tatu yang ada pada golongan wanita mahupun lelaki dayak mempunyai makna yang tersendiri atau secara ringkasnya adalah satu kejayaan di dalam perjalanan hidup. Tatu tradisional masyarakat Dayak Borneo suatu waktu dahulu bukan hanya sebagai penghias badan malah ianya lebih kepada kejayaan di dalam satu hal yang melibatkan norma-norma penghidupan mereka sebagai masyarakat Dayak Borneo.
Dan perlu juga diketahui bahawa kebanyakan rekabentuk tatu tradisional bagi masyarakat Dayak Borneo juga mempunyai rekabentuk tatu yang tersendiri dan ianya merupakan lambang identiti kepada etnik dayak itu. Di dalam etnik Dayak Iban misalnya rekabentuk tatu Bunga Terung membawa simbolik yang tertentu iaitu ianya melambangkan satu semangat spiritual yang tinggi kepada si pemilik tatu tersebut. Ini kerana tatu ini yang kedudukannya berada di bahu si pemilik tatu melambangkan tanggungjawab yang besar yang akan dipikul sebagai anak ataupun ketua keluarganya. Tatu bunga terung ini juga secara simboliknya juga dikatakan sebagai azimat kekal yang ada di badan sebagai pertahanan kepadanya sewaktu memulakan pengembaraan atau pergi merantau.
Bagi rekabentuk tatu untuk wanita Dayak Borneo pula ianya lebih kepada pencapaian wanita tersebut di dalam memperlengkapkan dirinya menjadi wanita yang lebih sempurna. Kesempurnaan itu boleh didapati apabila wanita Dayak Borneo itu mahir di dalam kerja-kerja menyulam serta stratifikasi social wanita Dayak tersebut di dalam masyarakat mereka. Wanita dari etnik Dayak Kayan misalnya yang amat popular dengan tatu atau tedak di dalam bahasa Kayan mempunyai rekabentuk tatu tersendiri yang melakari beberapa bahagian tubuh mereka. Dan disetiap lakaran tatu itu mempunyai makna-makna yang mengkhusus.
Di dalam masyarakat Dayak Kayan terdapat 3 jenis tatu yang kebiasaannya melakari badan mereka iaitu Tedak Usuu, Tedak Kassa dan Tedak Hapii. Tedak Usuu adalah tatu yang dibuat pada seluruh bahagian tangan. Tedak Kassa pula tatu yang dibuat meliputi seluruh bahagian kaki dan Tedak Hapii pula pada seluruh bahagian paha. Dan suatu waktu dahulu betapa kuatnya pengaruh tatu di dalam strata sosial masyarakat Dayak Kayan, dikatakan bahawa jika ada mana-mana wanita yang tidak mempunyai tatu akan dianggap lebih rendah darjatnya dibanding dengan wanita yang mempunyai tatu.
Umum mengetahui betapa suatu waktu dahulu, etnik Dayak Borneo terkenal dengan ekspedisi-ekspedisi Kayaunya iaitu perang memburu kepala musuh bagi perluasan wilayah ataupun Kayau Anak bagi tujuan untuk membalas dendam. Dan setiap kejayaan dengan dapat membawa pulang kepala musuh juga sebenarnya juga dianugerahkan dengan tatu di badan. Tatu yang bercorak hitam ini dikenali dengan nama “Ukir atau “Kelingai”. Tatu “Kelingai” ini sebenarnya melambangkan keberanian si pemilik tatu ini dan pada setiap mata yang memandangnya sudah tentu kagum dan memberikan penghormatan kepadanya di dalam status sosial si pemilik tatu di dalam komunitinya.
Bolehlah diringkaskan bahawa tradisi bertatu di dalam masyarakat Dayak Borneo ini bukanlah sebenarnya satu yang hanya suka-suka sebaliknya setiap tatu yang ada pada badan si pemilik tatu ini mempunyai jalan ceritanya sendiri berdasarkan kepada setiap rekabentuk tatu yang ditacah ke badannya. Proses membuat tatu pula bukanlah semudah yang disangka dan ada sesetengah tatu yang hendak dibuat ke atas badan si pemilik tatu memerlukan upacara “miring” sebelum dimulakan. Dari sini kita boleh menggambarkan bahawa bertatu di dalam masyarakat Dayak Borneo mempunyai nilai magis dan supernatural yang tersendiri di dalam menentukan kejayaannya di dalam menempuh perjalanan penghidupan.
#KamekSayangSarawakBah!