DATO SRI TRA ZEHNDER
DATO SRI TRA ZEHNDER
Dato Sri Tra Zehnder atau nama sebenarnya iaitu Philomena Tra anak Jemat dilahirkan pada 25hb Oktober 1926 di Miri, Sarawak. Datuk Tra merupakan wanita dari etnik Iban yang banyak memperjuangkan hak-hak mereka daripada etnik Dayak di Sarawak yang sememangnya tidak boleh disangkal sama sekali pengorbanan beliau di dalam memastikan etnik pribumi Dayak Sarawak mendapat apa yang sewajarnya ketika itu.
Ketika di zaman Sarawak masih lagi dibawah pemerintahan Koloni British Borneo, beliau telahpun bangun memperjuangkan hak-hak kaum Dayak di bumi Sarawak ketika itu sehinggalah beliau adalah merupakan pengasas kepada satu pertubuhan yang dikenali sebagai Sarakup Dayak Induk Sarawak (SIDS) selain nama-nama besar etnik Dayak yang lain seperti Barbara Bey, Julia Linang, Vida Bayang, Gladys Janting, Lily Senada, Johana Gundah, Limau Bunchol, May Kallang, Ginju Longan, Gana Blaun, Tuyah Daud, Elizabeth Muda dan Eunice Antan.
Pada awal penubuhan SIDS ini, Dato Sri Tra telah dilantik sebagai Setiausaha Kehormat SIDS yang pertama yang ditubuhkan pada Mei 1957. Setelah 3 tahun menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kehormat akhirnya beliau sekali lagi mendapat kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai Ahli Ekskutif SIDS dan seterusnya pada tahun 1964 hingga 1966 beliau terus dilantik sebulat suara sebagai Presiden ke-4 SIDS (1964-1966).
Sebagai seorang ketua kepada pertubuhan yang mewakili etnik Dayak ketika itu, sudah tentu perjuangan beliau bukanlah satu yang mudah kerana umum mengetahui betapa keterbelakangnya seluruh bangsa Sarawak ketika itu di dalam memperjuangkan hak-hak mereka sendiri dan Datuk Tra walaupun seorang wanita telah berjaya mempeloporinya serta meyakinkan kesemua etnik Dayak untuk berdiri teguh di belakangnya di dalam memperjuangkan hak-hak mereka.
Yang pasti semangat patriotisma Dato Sri Tra ini banyak dipengaruhi oleh suaminya iaitu Lesley Ptolemy Zehnder yang juga merupakan antara salah seorang penjawat jawatan di masa zaman Koloni British yang bertugas di dalam Jabatan Perhutanan Negara Sarawak. Suaminya ini telah banyak memberi ruang serta motivasi kepadanya untuk memperjuangkan hak-hak etnik Dayak ketika itu. Hasil daripada kesungguhan beliau di dalam memperjuangkan hak-hak pribumi Sarawak ini beliau mendapat kepercayaan untuk menjadi wanita pertama dilantik untuk menganggotai DUN Sarawak pada tahun 1960 sehingga 1963.
Di ketika Sarawak diambang untuk bersama-sama membentuk apa yang dipanggil di Gagasan Malaysia sekarang melalui Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan bagi membuat bancian dan maklumbalas untuk rakyat Sarawak di dalam pembentukan satu gagasan itu, Dato Sri Tra telah dilantik untuk mewakili suara Sarawak Dayak Union (SDU) di dalam perbincangan dengan Suruhanjaya Cobbold ketika itu. Beliau secara peribadi telah bertemu secara empat mata dengan ahli Suruhanjaya Cobbold ketika itu dan mendapatkan pandangan serta maklumbalas maksud gagasan tersebut. Setelah memahami segalanya barulah beliau sendiri memperjelaskan kepada komitee SDU ketika itu bagi mendapatkan persetujuan mereka samada menyokong atau tidak.
Setelah Sarawak merdeka daripada British pada 22 Julai 1963 melalui kabinet pertama yang dipimpin oleh Datuk Stephen Kalong Ningkan, sekali lagi Dato Sri Tra telah memainkan peranannya yang amat bersejarah kerana sehingga tahun 1964, perayaan Gawai Dayak Sarawak merupakan bukan cuti umum bagi Sarawak ketika itu dan hasil daripada perjuangan beliau yang tidak henti-henti bagi memartabatkan perayaan ini sebagai salah satu perayaan utama di Sarawak akhirnya ianya telah mendapat perhatian daripada kabinet Negeri Sarawak pada masa itu dan dijadikan cuti umum pada tahun 1964 sehinggalah sekarang.
Pada tahun 1967, Dato Sri Tra telah mula menceburkan dirinya di dalam kancah politik Sarawak melalui SNAP dan mengetuai sayap wanita SNAP. Beliau mengetuai sayap wanita SNAP dari tahun 1963 sehingga 1983. Ketika mengetuai sayap wanita SNAP ini, Dato Sri Tra tidak pernah lelah memperjuangkan nasib kaum wanita Dayak Sarawak ketika itu walaupun banyak rintangan dan pancaroba yang beliau harus tempuhi.
Satu lagi sejarah telah terukir di dalam sosio politik Sarawak sekitar tahun 1988 apabila Dato Sri Tra sekali lagi mendapat kepercayaan daripada Kerajaan Negeri Sarawak apabila beliau dilantik sebagai Wanita Iban Pertama yang menjawat jawatan sebagai Temenggong untuk Bahagian Kuching. Beliau menjadi Temenggong dari tahun Julai 1988 sehingga Februari 1996. Setelah bersara menjadi Temenggong, sekali lagi Dato Sri Tra mengukir sejarah apabila beliau diberi kepercayaan untuk menjadi wanita pertama bangsa Sarawak yang menjadi Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak pada tahun 1996 yang sejak dari dulu lagi jawatan ini didominasi oleh kaum lelaki Sarawak.
Sebenarnya pengorbanan dan perjuangan Dato Sri Tra amatlah banyak kerana beliau merupakan antara wanita besi bangsa Sarawak yang bersifat waja. Dato Sri Tra sebelum ini memang banyak terbabit secara langsung dalam pelbagai majlis atau lembaga yang berkaitan dengan perkhidmatan awam. Antaranya beliau adalah ahli Majlis Kebajikan Sarawak dari tahun 1961 hingga 1967, Majlis Melanjutkan Pelajaran Sarawak (1960 hingga 1967), Jawatankuasa Tabung Getah (1980 hingga 1987), Lembaga Pelawat Hospital Umum Sarawak (1981 hingga 1983) dan ahli Penasihat Lembaga Pesalah Juvana (1981 hinga 1986). Beliau juga adalah ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti, Kuching (1987 hingga kini), Penasihat Mahkamah Juvana, Kuching (1987-1997), ahli Majlis Wanita Sarawak (1989 hingga 1992), ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (1989 hingga 1998) dan Lembaga Pelawat Pusat Serenti (1992-1997).
Dato Sri Tra Zehnder telah meninggalkan kita bangsa Sarawak pada 23hb Julai 2011 di ketika usianya 84 tahun kerana sakit tua. Pengorbanan dan perjuangan Dato Sri Tra Zehnder ini adalah pemangkin kepada semangat patriotisma bagi bangsa Sarawak sekarang. Pengorbanan beliau dilupa jangan oleh kita generasi yang muda ini.
#KamekSayangSarawakBah!