top of page

LADY SYLVIA BRETT (1885 – 1971)


LADY SYLVIA BRETT (1885 – 1971)


Beliau merupakan Ranee Of Sarawak ke-2 selepas suaminya Rajah Charles Vyner Brooke menjadi Rajah Ketiga bagi Sarawak Kingdom. Digambarkan sebagai seorang yang “keras kepala” dikalangan keluarganya dan seorang wanita Inggeris yang tegas dan tahu apa kehendaknya oleh pegawai-pegawai bangsa Eropah di Sarawak Kingdom dan “Wanita Pertama” yang gemar bersosial oleh rakyat di Sarawak suatu waktu dahulu,


Dilahirkan pada 25hb Februari 1885 di No 1, Tilney Street, Park Lane, Central London dengan nama sebenarnya Sylvia Leonora Brett. Merupakan anak kedua di dalam keluarganya yang juga antara keluarga aristocrat bangsa Eropah yang terkenal di Kota London. Ayahnya iaitu Reginald Baliol Brett merupakan 2nd Viscount Esher di Istana Buckingham. Ibunya pula iaitu Madam Eleanor adalah dari anak kepada ahli politik dan ketua revolusi di Belgium yang bernama Sylvain Van De Weyer.


Pada tahun 1909, ketika lady Sylvia membuat persembahan Female Choral Orchestra dibawah arahan Ranee Margaret Brooke di London. Rajah Vyner Brooke juga turut hadir bagi memberi sokongan dan pada ketika itulah mereka berdua dipertemukan oleh Ranee Margaret Brooke sendiri. Cinta pandang pertama ini akhirnya dizahirkan dengan satu ikatan perkahwinan pada 21 Februari 1911 di St Peter’s Church, Cranbourne, Berkshire, West London.


Pada tahun 1912, Lady Sylvia telah menjejakkan kakinya yang pertama di Sarawak Kingdom yang mana ketika itu Charles Vyner Brooke masih lagi menjadi Rajah Muda Sarawak Kingdom sehinggalah pada tahun 1917, Rajah Charles Vyner Brooke dimahkotakan menjadi Rajah Ketiga Sarawak Kingdom. Pada 24hb Mei 1917 pula Rajah Charles Vyner Brooke telah mengangkat Lady Sylvia dengan darjah kebesaran dan akhirnya membawa gelaran Ranee of Sarawak Kingdom pada waktu itu.


Hasil perkahwinan, Lady Sylvia dengan Rajah Charles Vyner Brooke, mereka telah dikurniakan dengan 3 orang puteri yang suatu ketika dahulu digambarkan oleh media-media di Eropah dengan “Princess Gold”, “Princess Pearl” dan “Princess Baba”. Ketiga-tiga mereka ini amat popular di kalangan keluarga aristocrat bangsa Eropah di England kerana dikatakan antara puteri-puteri Keluarga Brooke yang terkenal dengan sifat “liar” mereka. Ketiga-tiga anak perempuan mereka sesuai sebagai antara legasi keturunan keluarga Brooke juga menggunakan gelaran “dayang” di dalam pangkal nama mereka iaitu:


1. Dayang Leonora Margaret Brooke (1911-1996) – Princess Gold 2. Dayang Elizabeth Vyner Brooke (1913 – 2002) – Princess Pearl 3. Dayang Nancy Valerie Brooke (1915 – 1993) – Princess Baba


Sekiranya Ranee Margaret Brooke digambarkan sebagai seorang wanita Inggeris yang pandai membawa diri dengan pelbagai cerita mengenainya lebih-lebih lagi di dalam memastikan bahawa wanita-wanita di Sarawak boleh mandiri serta diberikan pendidikan yang formal, lain pula ceritanya dengan Lady Sylvia ini kerana beliau pula digambarkan sebagai “Wanita Pertama” yang penuh dengan perangai gila-gila serta gemar bersosial.


Dikatakan ketika pemerintahan Rajah CV Brooke dan Ranee Sylvia sebagai wanita pertamanya pada ketika itu hampir setiap masa ibukota Sarawak Kingdom iaitu Kuching sentiasa di dalam bersukaria dengan majlis tari menari ala-ala Eropah menular di Kuching. Pementasan teater drama berbentuk ala Inggeris juga serta penglibatan golongan rakyat Sarawak kelas atasan juga turut serta di dalam majlis-majlis ini. Atas pengaruh Ranee Sylvia ketika itu juga dikatakan bahawa Rajah CV Brooke telah membina pawagam yang dinamakan bersempena dengan nama Ranee Sylvia khusu untuk golongan aristocrat Eropah menganjurkan tarian dan berteater di Kuching.


Selain itu atas permintaan Ranee Sylvia juga, Astana yang seadanya sewaktu dahulu dihuni oleh Rajah Pertama dan Rajah Kedua telah diubahsuai dan menjadi sebuah agam yang mewah. Ranee Sylvia juga di dalam sejarah Sarawak Kingdom yang menjadikan warna kuning sebagai warna ekslusif Rajah dan keluarga Brooke di Sarawak Kingdom. Satu yang sememangnya tidak pernah dilakukan oleh mana-mana keluarga Brooke selama dia memerintah di Sarawak Kingdom sebelum ini. Dan kerana perangai boros ini menyebabkan Sarawak Kingdom dibawah Rajah Charles Brooke adalah negara yang kaya raya tetapi ketika Rajah Charles Vyner Brooke memerintah pula, Sarawak Kingdom pada masa itu semakin muflis.


Oleh kerana hasil perkahwinan Lady Sylvia dengan Rajah Charles Vyner Brooke tidak mempunyai legasi anak lelaki maka ini memungkin Lady Sylvia amat gentar dengan kehadiran anak saudara lelaki Keluarga Brooke iaitu Rajah Muda Anthony Darrell Brooke yang merupakan bakal rajah yang akan menggantikan Rajah CV Brooke nanti. Oleh kerana itu dikatakan Lady Sylvia telah cuba beberapa kali untuk mempengaruhi Majlis Council Negeri untuk menukar perlembagaan agar ada antara puterinya boleh dijadikan “Rajah” di Sarawak Kingdom namun segala usahanya itu tidak berjaya.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Rajah Muda Anthory Brooke juga pernah dilucutkan gelaran sebagai Rajah Muda beberapa kali oleh Rajah CV Brooke. Kebanyakan daripada perlucutannya itu dikatakan banyak dipengaruhi oleh Lady Sylvia Brooke yang menceritakan yang bukan hal sebenarnya kepada Rajah CV Brooke lebih-lebih lagi sewaktu Rajah CV Brooke ke luar negara. Atas pengaruh ini juga menyebabkan banyak hubungan kekeluargaan Brooke yang terlerai kerana sikap Lady Sylvia ini sendiri.


Selepas Sarawak Kingdom diserahkan untuk menjadi tanah jajahan kepada Kerajaan Mahkota Inggeris pada tahun 1946, Rajah CV Brooke telah kembali ke tanahairnya dan istana perkahwinan yang dibinanya dengan Ranee Sylvia juga turut putus di tengah jalan. Kedua-duanya telah bersetuju untuk bercerai setelah tiada lagi kesefahaman antara mereka. Ranee Sylvia terus menjadi orang biasa dengan menggunakan nama keluarganya sendiri dengan mengembara sehingga ke Amerika Syarikat suatu waktu dahulu dan pernah cuba untuk menjadi pelakon filem di Hollywood. Walaupun beliau pernah berlakon namun filem itu tidak pernah ditayangkan di khalayak umum.


Lady Sylvia Breet akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Barbados pada tahun 1971.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page