BENDERA YANG PERNAH DAN MASIH BERKIBAR DI BUMI SARAWAK
BENDERA YANG PERNAH DAN MASIH BERKIBAR DI BUMI SARAWAK
Bendera merupakan salah satu daripada tanda penghormatan kepada kewujudan sebuah bangsa di dalam hal yang bergelar sebuah Negara. Jadi bendera merupakan adalah salah satu daripada yang harus dibangga dan dihormati bagi setiap anak bangsa. Mengibarkannya dengan cara yang betul dan tidak sembrono tanpa mengambil kira makna di sebalik kewujudan bendera itu juga harus jangan dipandang enteng.
Di dalam kita menyoroti sejarah bendera-bendera yang pernah dan masih berkibar dengan megah di bumi Sarawak bermula daripada Sarawak (Kuching) yang telah dibuka oleh Pengeran Indera Mahkota yang merupakan Gabenor Sarawak yang pertama sehinggalah empayar Sarawak meluas menjadi Sarawak Kingdom dibawah tahun 1841 di bawah pemerintahan lebih kurang 100 tahun Dinasti Rajah Putih Keluarga Brooke dan seterusnya sehingga Sarawak bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan 3 buah lagi Negara yang merdeka iaitu Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah) dan Singapura (menarik diri pada 2hb Ogos 1965).
Apabila menyoroti sejarah bendera yang berkibar di bumi Sarawak ianya harus dimulai dengan sejarah
Sarawak dibawah Kesultanan Brunei Darussalam.
Sarawak dibawah pemerintahan Brooke
Sarawak dibawah taklukan Jepun
Sarawak dibawah Koloni British
Sarawak menjadi salah satu pembentuk Gagasan Malaysia
Bendera Ketika Menjadi Tanah Kuripan Kerajaan Brunei
Sebelum tahun 1906, Negara Brunei Darussalam tiada mempunyai bendera kebangsaan, walau bagaimanapun bendera-bendera perseorangan atau panji-panji peribadi banyak digunakan pada waktu itu. Bendera Sultan dan bendera wazir-wazir adalah yang sangat mustahak di antara bendera-bendera perseorangan yang digunakan sebelum tahun 1906.
Pada zaman dahulu, Brunei mempunyai empat orang wazir atau pembesar-pembesar negara yang utama yang diberikan kuasa-kuasa pemerintahan dan pentadbiran oleh Sultan mengikut pangkat masing-masing. Wazir yang kanan sekali pada masa itu ialah Pengiran Bendahara. Wazir-wazir yang tiga orang lagi itu jika mengikut kebesaran pangkat masing-masing ialah Pengiran Digadong, Pengiran Pemancha dan Pengiran Temenggong. Jadi untuk Sarawak (Kuching) dibawah Pengiran Indera Mahkota hanya bendera atau panji-panji peribadi kepada Pengiran Indera Mahkota yang akan dinaikkan di Sarawak pada masa itu.
Bendera Ketika Pemerintahan Brooke
Permulaan kepada sejarah bendera ini akan dimulai dengan sejarah bendera peribadi kepada Rajah Pertama Negara Sarawak iaitu Rajah James Brooke. Pada 24hb September 1841 sehingga 20hb September 1848 telah berkibar bendera Rajah Sarawak yang diberikan nama “The Flag of Swallowtail St George”. Pada ketika ini Negara Sarawak bukanlah sebesar Sarawak sekarang tetapi ianya hanya meliputi sempadan Tanjung Datu sehingga ke Sungai Sadong. Ianya dikibar dengan megahnya buat kali pertama di kubu Rajah Brooke di Belidah iaitu di kawasan Bau. Selain daripada itu bendera ini juga dikibarkan dengan megah di atas kapal-kapal perang Rajah Brooke sewaktu beliau meluaskan empayar jajahan Negara Sarawak pada waktu itu.
Negara Sarawak hanya mempunyai bendera rasmi pada tahun 1848 iaitu pada ketika itu jajahan Negara Sarawak telah mencakupi Tanjung Datu sehingga ke Sungai Oya di Sarikei. Ianya adalah hasil idea daripada Rajah James Brooke sendiri dan ianya berkibar megah selama 7 tahun iaitu dari 21hb September 1848 sehingga ke 6hb Mei 1870. Bendera inilah yang berkibar di semua bangunan rasmi dan kubu-kubu serta kapal-kapal perang untuk Negara Sarawak pada waktu itu.
Sekitar tahun 1870, Rajah Charles Brooke telah naik takhta sebagai Rajah Sarawak yang kedua telah menukar warna bendera yang pertama kepada bendera yang baru. Walaupun tiada dokumen sejarah yang membenarkan cerita di sebalik penukaran ini namun secara sejarah oral dikatakan bahawa penukaran bendera ini berlaku atas sebab-sebab yang tertentu. Dikatakan bahawa sewaktu Rajah Charles Brooke dimahkotakan sebagai Rajah Sarawak yang kedua, rakyat jelata Negara Sarawak ketika itu telah memberikan tandamata kepada beliau dan salah satunya adalah daripada etnik Dayak Sarawak yang memberikan beliau hadiah yang dibungkus di dalam kain berwarna hitam. Manakala daripada etnik Melayu Sarawak pula menghadiahkan hadiah mereka di dalam kain yang berwarna kuning dan masyarakat Cina Sarawak pula menghadiahkan hadiah mereka di dalam kain yang berwarna merah.
Ketiga-tiga warna ini telah menarik minat Rajah Charles Brooke kerana bagi beliau ianya melambangkan sokongan daripada 3 masyarakat majmuk Negara Sarawak pada waktu itu. Demi memberi penghormatan kepada keutuhan dan kesepakatan masyarakat Negara Sarawak maka beliau dengan sendirinya mereka bentuk bendera yang kedua yang diguna pakai dari 7hb May 1870 sehingga 23 Disember 1941.
Sarawak Sewaktu Pendudukan Jepun
Apabila Perang Dunia Ke-2 meletus dan Negara Sarawak juga tewas di tangan tentera Matahari Terbit walaupun menjadi Negara Lindungan kepada British pada waktu itu namun kekuatan tentera Jepun amat sukar untuk dikalahkan maka pada 24hb Disember 1941 sehingga 14hb Ogos 1945 berkibarlah 2 bendera hak milik Negara Jepun.
Bendera tersebut adalah bendera Negara Jepun dan juga bendera Tentera Negara Jepun. Bendera-bendera ini telah kali pertama dikibarkan di bumi Miri, Sarawak memandangkan disitulah kawasan yang mula dijejaki oleh tentera Negara Jepun. Selepas itu satu demi satu wilayah Sarawak telah mula mengibarkan bendera-bendera tersebut apabila tentera Jepun mula menguasai daerah demi daerah di Negara Sarawak pada waktu itu.
Pada tahun 1945, Jepun menyerah kalah kepada tentera Perikatan setelah pengeboman Hiroshima dan Nagasaki maka Negara Sarawak telah diserahkan pentadbirannya kepada salah satu Negara Perikatannya iaitu Negara Australia. Sepanjang tempoh Negara Sarawak dibawah pentadbiran tentera Negara Australia telah berkibar dengan megahnya bendera Negara Australia di bumi Sarawak pada masa itu iaitu dari 11hb September 1945 sehingga ke 15hb April 1946. Hanya setelah keamanan dan keadaan huru hara telah diselesaikan maka barulah bendera ini diturunkan dan digantikan dengan bendera Sarawak yang dahulu.
Sarawak dibawah jajahan Koloni British Borneo
Pada tahun 1946, Rajah Charles Vyner Brooke telah menyerahkan Negara Sarawak kepada Kerajaan Mahkota British dan ini menyebabkan berlakunya bantahan besar-besaran daripada rakyat Sarawak pada masa itu yang dikenali sebagai Sarawak Anti-Cession 1946. Namun begitu bantahan ini tidak berjaya mengengkang tindakan Rajah Charles Vyner Brooke dan akhirnya pada 1hb Julai 1946, Negara Sarawak tetap menjadi salah satu tanah jajahan Kerajaan Koloni British.
Pada ketika ini, bendera Union Jack dikibarkan diseluruh bumi Sarawak bersama-sama dengan bendera yang dikhaskan untuk Kerajaan British Borneo iaitu Kerajaan British yang memerintah Sarawak dan North Borneo pada waktu itu. Walau bagaimanapun, sebagai membezakan Negara Sarawak dengan tanah jajahan Koloni British pada waktu itu, berkibar bersama juga bendera Negara Sarawak sendiri. Bendera-bendera ini berkibar di bumi Sarawak dari Julai 1946 sehingga 16hb September 1963.
Sarawak membentuk Gagasan Malaysia
Apabila Sarawak merdeka daripada menjadi tanah jajahan Kerajaan British Borneo pada 22hb Julai 1963 bagi memberikan sebuah Negara baru yang merdeka iaitu Sarawak bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia dengan 3 buah Negara yang lain iaitu Negara North Borneo, Negara Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Negara Singapura yang kemudiannya pengisytiharaan Gagasan Malaysia pada 16hb September 1963, bendera Sarawak tetap tidak bertukar malah ianya masih digunakan sehingga 10 tahun yang pertama. Pada tanggal 16hb September 1963 inilah berkibar bendera Gagasan Malaysia di bumi Sarawak disamping bendera Sarawak yang lama.
Bendera pertama Sarawak sebagai sebuah Negara yang membentuk Gagasan Malaysia hanya digantikan pada 31hb Ogos 1973 yang dinamakan “Trisakti”. Bendera ini adalah hasil ilham kepada Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu iaitu Tun Abdul Rahman bin Yaakub. Bendera “Trisakti” berkibar megah di bumi Sarawak disamping bendera Negara Malaysia dari 31hb Ogos 1973 sehingga 31hb Ogos 1988.
Pada 31hb Ogos 1988 akhirnya Kerajaan Negeri Sarawak dibawah kepimpinan Pehin Sri Datuk Abdul Taib bin Mahmud iaitu Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu telah menukarnya kepada bendera yang digunapakai sehingga sekarang.