top of page

BUAH ENGKABANG


BUAH ENGKABANG @ BUAH BILUN


Buah engkabang atau dengan nama saintifiknya Shorea Macrophylla yang banyak didapati di Borneo dan juga beberapa negara di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Filipina. Sudah tentu di banyak negara yang sebutannya agak berbeza tetapi untuk di Sarawak ianya dikenali dengan nama Buah Engkabang

.

Buah engkabang adalah dari rumpun keluarga sejenis tumbuhan yang dikenali dengan nama Genus Shorea merupakan satu buah yang dikeluarkan oleh pohon engkabang. Ianya dikatakan mengandungi seribu kegunaan seperti pohon engkabang yang tumbuh di Sarawak adalah daripada spesis Dipterocarpaceae yang dikatakan hanya satu-satunya yang boleh tumbuh di Pulau Borneo.


Daripada spesis Dipterocarpaceae ini terdapat lebih kurang 7 lagi sub-spesisnya iaitu engkabang jantung (shorea macrophylla), engkabang bintang (shorea splendida), engkabang gading (shorea helmsleyana). engkabang terendak (shorea simins), engkabang asu (shorea palembanica), engkabang rusa (shorea stenoptera) dan engkabang langai bukit (shorea pinanga). Ketujuh-tujuh spesis buah engkabang ini hidup dengan banyaknya di kawasan seperti Krian, Saratok, Sarawak.


Secara saintifiknya menerusi ujian klinikal telah terbukti bahawa buahnya mempunyai kandungan minyak yang tinggi. Minyak daripada buah engkabang ini jika diproses dengan cara yang betul boleh dijadikan minyak untuk tujuan perubatan tradisional seperti minyak urut untuk membuang angina. Selain daripada itu buah engkabang ini juga jika diproses boleh dijadikan asas untuk membuat mentega serta boleh dijadikan asas untuk peralatan kosmetik seperti krim muka, gincu dan juga losyen.


Selain daripada itu bagi masyarakat tempatan Sarawak ramai juga yang menjadikannya sebagai menu hidangan keluarga iaitu hanya dengan merebus bijinya yang sudah masak kemudian bolehlah jadi ulam-ulaman dimakan bersama sambal belacan.


Bukan senang untuk mendapatkan buah engkabang kerana ianya adalah daripada tumbuhan bermusim iaitu ianya hanya mengeluarkan buah sekali di dalam ke 7 tahun. Yang menariknya apabila musim engkabang ini ramai masyarakat tempatan Sarawak akan berpesta untuk mengutip buah engkabang yang gugur. Dan yang uniknya diketika inilah ianya dipanggil buah bilun atau buah pesawat kerana dikatakan apabila buah engkabang gugur ianya akan berpusing-pusing seperti helicopter yang hendak mendarat. Dan kerana itulah ianya sinonim dengan panggilan buah bilun jua.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pohon engkabang itu merupakan antara jenis pokok yang mampu menghasilkan produk kayu papan lapis yang bermutu tinggi kerana tekstur kayunya yang keras menjadikan ianya amat digemari oleh perusahaan-perusahaan papan menjadikan produk untuk membuat rumah. Akibat daripada kegiatan yang tidak dikawal menjadikan pohon engkabang ini sebenarnya antara pohon yang diancam kepupusan.


Di dalam satu jurnal yang dikeluarkan oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List ada menyatakan bahawa pokok engkabang yang spesisnya ada di Sarawak sekarang antara spesis-spesis yang diambang bahaya. Jadi bertitik tolak daripada itu, Kerajaan Negeri Sarawak telah menubuh satu rang undang-undang di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak Seksyen 31 yang dikhaskan untuk melindungi pohon engkabang ini daripada terus menjadi mangsa rakusnya manusia mengejar pembangunan. Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri Sarawak juga telah mengenakan rang undang-undang Ordinan Hidupan Liar Bab 26 pada tahun 1998 bagi membuktikan kesungguhan untuk melindungi pohon engkabang yang serba guna ini diancam kepupusan.


‪#‎KamekSayangSarawakBah

bottom of page