top of page

ETNIK IBAN REMUN @ MILIKIN, SARAWAK, BORNEO


ETNIK IBAN REMUN @ MILIKIN, SARAWAK, BORNEO


Selain daripada Iban Remun, nama lain untuk etnik ini adalah Milikin. Dan sudah tentu ada cerita kenapa nama Milikin juga menjadi salah satu nama apabila berkata tentang etnik Iban Remun. Dan bahasa etnik Iban Remun dikatakan tidak sama seperti bahasa standard etnik Iban yang lain namun begitu ianya masih boleh difahami oleh masyarakat Iban yang lain. Jika dirungkai dari kategori rumpun bahasa pula, bahasa Iban Remun dikategorikan dibawah rumpun bahasa Austronesian; Malayo-Polynesian, Malayo-Chamic, Malayic, Ibanic.


Jika dilihat daripada asal keturunan etnik Iban Remun juga sama seperti etnik Iban yang lain iaitu mereka juga adalah sekelompok masyarakat Dayak Iban yang berasal dari Sungai Kapuas, Borneo suatu waktu dahulu dan Iban Remun merupakan antara sekelompok masyarakat Iban yang antaranya melakukan penghijrahan yang lebih awal ke bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Sejarah penghijrahan mereka bermula dengan menyusuri Sungai Labuyan untuk ke Batang Ai atas. Di awal penghijrahan mereka, Iban Remun telah menetap di Lubang Baya dan Tapang Peraja. Setelah tinggal beberapa tahun di kawasan Lubang Baya dan Tapang Peraja akhirnya mereka berpindah sekali lagi dan menemui satu kawasan bernama Bukit Temudok.


Di Bukit Temudok mereka diketuai oleh beberapa pemimpin Iban Remun seperti Engkabi, Kekai, Bah dan Banteh. Kerana berkeinginan mencari tanah pamah yang subur dan aman ketika itu, Iban Remun dikatakan telah melakukan perjalanan darat yang jauh iaitu daripada banjaran Kalingkang sehingga ke Sungai Krang, salah satu cabang anak Sungai Sadong. Dari Sungai Krang inilah pula pemimpin Iban Remun bernama Bah dan Bateh membawa anak-anak buahnya berpecah daripada rombongan besar Iban Remun dan rombongan Iban Remun Bah dan Bateh berpindah dan menetap di Milikin. Di Milikin ini mereka telah membina rumah panjang mereka sendiri iaitu di Tembawai Munggang.


Pemilihan rombongan Bah dan Bateh dengan anak-anak buahnya untuk tinggal menetap di Milikin akhirnya telah berjaya menarik rombongan Iban Remun dibawah Kekai dan Engkabi yang masih tinggal di Banjaran Kelingkang untuk sama-sama berpindah ke Milikin. Kerana mereka adalah daripada kelompok yang sama maka Bah dan Bateh telah menerima kedatangan rombongan Kekai dan Engkabi untuk sama-sama tinggal di rumah panjang mereka di Tembawai Munggang. Hiduplah mereka semua di dalam satu komuniti yang aman damai dan saling tolong menolong antara satu sama lain.


Penghidupan mereka yang aman damai di Tembawai Munggang akhirnya membawa kepada penghijrahan Iban Remun dibawah Kekai dan Engkabi untuk berpindah sekali lagi atas satu peristiwa. Alkisahnya diceritakan bahawa anak kecil Iban Remun dibawah Bah dan Bateh telah ditipu oleh seorang lagi anak kecil Iban Remun dibawah Kekai dan Engkabi di dalam perebutan mengutip hasil buah-buahan. Perkelahian antara 2 orang kanak-kanak Iban Remun itu turut menular kepada perkelahian antara 2 keluarga dan sejak daripada itu dikatakan mereka bermasam muka antara satu sama lain.


Peristiwa ini menjadi titik tolak kepada pemimpin mereka iaitu Kekai dan Engkabi untuk berpindah mencari kawasan yang lebih spesifik untuk mereka. Maka bermulalah episod penghijrahan rombongan Iban Remun yang dipimpin oleh Kekai dan Engkabi ke Bukit Semuja. Dari Bukit Semuja inilah mereka menemui satu kawasan air terjun yang indah yang bernama Panchor Asu iaitu lokasinya terletak di aliran atas Nanga Remun. Dan dilokasi inilah Iban Remun dibawah pimpinan Kekai dan Engkabi membuka kawasan dan mengusahakan kebun serta mendirikan rumah panjang mereka di satu kawasan yang dinamakan Salapak.


Setelah beberapa tahun menetap di Salapak akhirnya pemimpin Iban Remun iaitu Kekai dan Engkabi berkeinginan untuk mencari kawasan baru maka pada kali ini hanya pemimpin Kekai dan Engkabi serta beberapa lelaki dewasa Iban Remun turut serta di dalam pencarian tanah pamah yang lebih luas itu. Kali ini rombongan kecil ini telah menyusuri satu kawasan yang bernama Samarahan dan dikatakan setelah meninjau kawasan Samarahan, rombongan ini telah berpatah pulang ke Salapak dan ketika inilah Kekai telah jatuh sakit dan meninggal dunia lalu disemadikan di sebuah bukit yang sehingga sekarang dinamakan Bukit Kekai.


Akhirnya sekali lagi Iban Remun dibawah pimpinan Engkabi menerima kedatangan rombongan Iban Remun dibawah pimpinan Bah dan Banteh untuk sama-sama tinggal di Salapak dengan mereka. Setelah beberapa tahun tinggal bersama, rombongan besar Iban Remun dibawah Engkabi, Bah dan Banteh telah melakukan penghijrahan bersama-sama iaitu mereka menuju ke Sadong dan akhirnya mereka menetap di Ensika. Rombongan Iban Remun dibawah pimpinan Bah juga menetap di Tebelu iaitu salah satu kawasan antara Batang Sadong dan Batang Lupar. Rombongan Iban Remun dibawah Bah yang menetap di Tebelu inilah dikatakan telah ramai yang mengahwini Iban Sebuyau akhirnya mereka menjadi pembentuk Iban Sebuyau yang kita kenali sekarang.


Untuk Iban Remun yang masih tinggal di Ensika telah membuat sekali lagi penghijrahan besar-besaran iaitu mereka berhijrah ke satu kawasan yang bernama Sejanggil dan Empadai. Sejanggil dan Empadai ini terletak tidak jauh daripada Simunjan sekarang. Dan mereka akhirnya terus menetap di kawasan yang dipanggil Bukit Remun sekali lagi sehingga sekarang.


Dari agama pula, etnik Iban Remun juga suatu waktu dahulu merupakan antara etnik Dayak di Borneo yang mengamalkan agama pagan atau animisme namun sejajar dengan waktu setelah kedatangan agama ke bumi Sarawak ramai antara mereka sudahpun memeluk agama Kristian sebagai panduan penghidupan mereka. Walaupun begitu ada sesetengah adat istiadat nenek moyang mereka masih lagi diamalkan dan ianya tidak melanggar norma-norma ajaran Kristianiti yang mereka anuti sekarang.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page