KERAJAAN PENIHING, KALIMANTAN TIMUR, BORNEO
KERAJAAN PENIHING, KALIMANTAN TIMUR, BORNEO
Nun jauh di hulu Sungai Mahakam, siapa pernah tahu bahawa wujudnya satu politi pemerintahan kerajaan dayak yang diasaskan oleh pendirinya seorang dayak Kenyah dan dikatakan kerajaan kuno ini wujud sejak di abad ke-5 lagi. Kerajaan Penihing, Kalimantan Timur, Borneo itulah satu kerajaan kuno yang akan menjadi ruang informasi buat pengetahuan masyarakat Dayak Borneo amnya dan masyarakat Kenyah khususnya yang sudah pasti tidak mengetahui kewujudan kerajaan kuno ini kerana kurangnya informasi mengenainya.
Mengikut apa yang ditemui oleh seorang pakar arkeologi iaitu melalui jurnal sejarah yang ditulis oleh Muller pada tahun 1886 ada menyatakan tentang kewujudan sebuah politi purba yang bernama Kerajaan Penihing yang lokasinya adalah di kawasan pendalaman Sungai Mahakam. Menurut pendapat Muller itu, kerajaan dayak ini adalah kerajaan dayak yang didirikan sama garis waktunya berdirinya sebuah kerajaan dayak kuno yang dinamakan Kerajaan Kutai Martadipura yang juga merupakan sebuah kerajaan hebat yang mempunyai pengaruh Hindu di dalam sistem pemerintahan.
Pendiri Kerajaan Penihing ini adalah seorang anak dayak Kenyah yang bernama Raja Penihing dan beliau cukup terkenal dengan bijaknya beliau memilih lokasi kerajaannya serta amat pandai berurusniaga. Bijaknya beliau memilih lokasi kerajaannya kerana kerajaan dayak ini didirikan di kawasan yang penuh jeram di hulu Sungai Mahakam yang amat payah untuk dilalui oleh manusia melainkan mereka yang berani. Bijaknya beliau di dalam berurusniaga kerana beliau merupakan antara pelopor kepada mana-mana masyarakat di pedalaman Sungai Mahakam untuk mendapatkan bahan makanan mentah serta keperluan yang lain melalui sistem barter. Kekayaan Kerajaan Penihing ini juga sebenarnya terletak kepada gua-gua yang mana ianya adalah antara wilayah yang kaya dengan gua sarang burung yang berkelas dunia. Dan kerana itulah kerajaannya yang kecil ini menjadi pemain ekonomi di hulu Sungai Mahakam suatu waktu dahulu.
Sejajar dengan waktu seperti kerajaan-kerajaan dayak kuno yang lain apabila Kerajaan Kutai Martadipura sudah membangun dan berada di kemuncak kegemilangan maka pemerintah Kerajaan Kutai iaitu Raja Mulawarman juga telah mengadakan ekspedisi-ekspedisi untuk meluaskan empayarnya sehingga ke hulu Sungai Mahakam. Namun begitu kerana lokasinya yang jauh ke pedalaman menyebabkan Kerajaan Penihing ini merupakan kerajaan dayak yang terakhir berjaya ditewaskan oleh Kerajaan Kutai Martadipura berbanding kerajaan-kerajaan dayak yang lain yang lokasinya berada di sepanjang Sungai Mahakam suatu waktu dahulu.
Apa yang menjadi keunikan kepada Kerajaan Penihing ini adalah dikatakan bahawa istana serta ibukotanya didirikan di dalam batu di pinggiran batu-batu kapur yang gah disepanjang jeram-jeram Sungai Mahakam. Diceritakan juga bahawa di ketika Kerajaan Kutai melakukan perluasan wilayahnya dengan bala tenteranya yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan Kutai yang gagah mereka hanya bertempur di lokasi jeram-jeram sahaja tetapi tidak dapat menerjah sehingga ke istana Kerajaan Penihing. Ini kerana dikatakan bahawa Raja Penihing berserta dengan tentera-tenteranya telah terlebih dahulu menutup pintu masuk ke kota istana batu mereka.
Menurut legenda masyarakat setempat iaitu suku dayak yang menghuni hulu Sungai Mahakam tindakan Raja Penihing yang ketika itu diperintah oleh Raja Sumbang Lawing itu adalah untuk memastikan bahawa istananya itu akan selamat dan apabila sudah menang perang akan kembali untuk membuka semula pintu masuk istana tersebut. Namun amatlah malang sekali kerana Raja Sumbang Lawing berserta keseluruhan bala tenteranya telah kalah perang dan tiada siapa yang tahu dimanakah kedudukan istana batu itu sehingga sekarang. Kepala Raja Sumbang Lawing yang kalah dalam perang itu juga masih lagi tersimpan di Tenggarong sehingga sekarang sebagai saksi bisu bahawa dahulunya ada sebuah kerajaan kuno yang bergelar Kerajaan Penihing pernah wujud.
Sekitar tahun 1993, telah ada ekspedisi-ekspedisi arkeologi yang dihantar menyusuri hulu Sungai Mahakam untuk menjejak kota istana Raja Penihing ini kerana dikatakan sehingga sekarang apa yang ada di dalam istana Raja Penihing ini tidak pernah diketahui oleh manusia moden ini. Dan sehingga sekarang dikatakan ekspedisi arkeologi masih lagi diteruskan malah penggalian demi penggalian sedang rancak dijalankan bagi membongkar rahsia sebuah kerajaan dayak kuno ini.
Apa yang pasti di sepanjang hulu Sungai Mahakam itu sekarang ada banyak mempunyai penempatan-penempatan dayak yang dikenali sebagai suku Dayak Penihing iaitu antara sub suku Dayak Kenyah Borneo dan mereka dikatakan adalah generasi penerus rakyat Kerajaan Dayak Penihing suatu waktu dahulu yang berpindah ke luar daripada ibukota batu sehingga ke pinggiran Sungai Mahakam. Dan jika pernah berkunjung ke pedalaman Sungai Mahakam inilah kita akan mendapati banyaknya lamin-lamin yang didirikan yang merupakan tradisi masyarakat dayak kenyah suatu waktu dahulu.
#KamekSayangSarawakBah!