top of page

KONFLIK MUKAH 1850an


KONFLIK MUKAH 1850an

- episod tergadainya wilayah Mukah ke tangan James Brooke


Konflik Mukah 1850an adalah satu sejarah panjang yang menjadi penyumbang kepada Sultan Abdul Momin untuk memajakkan wilayahnya pada 6hb September 1861 kepada Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan Rajah James Brooke. Wilayah-wilayah itu adalah dari Kuala Sungai Samarahan hingga ke Tanjung Kidurong dan ianya mencakupi 10 jajahan yang terdiri daripada Samarahan, Sadong, Batang Lupar, Saribas, Kalaka, Rejang, Matu, Oya, Mukah dan Bintulu. Menurut perjanjian asalnya dikatakan pajakan adalah sebanyak $12,000.00 namun setelah berunding akhirnya ia hanya dibayar oleh James Brooke sebanyak $6,000.00 setahun.


Sejak awal kurun ke-19 Masihi lagi, wilayah Mukah merupakan kawasan penting di dalam menjana ekonomi bagi Kesultanan Brunei Darussalam kerana wilayah ini merupakan pusat pengeluaran kepada satu komuditi yang berharga suatu waktu dahulu iaitu Sagu. Pada ketika itu juga sudah gah namanya wilayah Mukah sebagai pengeluar sagu utama di dunia dengan produksi sagu dunia 50% adalah dari wilayah Mukah itu sendiri. Jadi sememangnya tidak boleh ditidakkan bahawa nama Mukah malah juga Oya, Bintulu, Matu dan Bruit sudah lebih dahulu menjadi gah di kalangan bangsa Eropah mahupun saudagar-saudagar Timur Tengah yang datang berniaga di Mukah dan kawasan sekitarnya.


Sebelum menjelang tahun 1850 perkembangan ekonomi di wilayah-wilayah ini tidak mempunyai masalah malah ianya juga sentiasa menjadi pemain ekonomi setempat melalui penjualan sagu mentah namun selepas tahun 1850 itu telah terjadi satu konflik yang menjadikan urusan ekonomi setempat terganggu. Kesemuanya adalah didorong oleh persengketaan yang berlaku antara 2 keluarga bersaudara iaitu Pengiran Arshad dan Pengiran Matusin. Kedua-duanya mempunyai pertalian secara langsung dengan Sultan Abdul Momin iaitu pemerintah Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu.


Diceritakan bahawa Pengiran Arshad adalah putera sulung kepada Pengiran Temenggung Abdul Rauf dan beliau mempunyai seorang adik bongsu yang bernama Pengiran Badaruddin. Pengiran Arshad sesuai dengan pangkatnya sebagai salah seorang kerabat diraja Kesultanan Brunei Darussalam telah dilantik oleh Sultan Abdul Momin sebagai wakil atau Gabenor Mukah. Beliau yang berasal dari Brunei setelah dilantik telah membawa keluarganya yang seramai 23 orang untuk menetap di Mukah.


Pada masa yang sama, Pengiran Badaruddin adindanya telah dilantik sebagai wakil kerajaan di Oya. Dan Oya ketika itu juga dibawah kekuasaan Pengiran Arshad sebagai Gabenor Mukah dan jajahan takluknya. Pengiran Matusin yang juga dikenali sebagai Pengiran Mat Hussin Gagah pula merupakan sepupu sekali kepada Pengiran Arshad dan beliau dilantik sebagai pembesar tempatan berdasarkan beliau merupakan anak jati Mukah iaitu dari Kampung Telian dan dikatakan disebelah ibu Pengiran Matussin itu adalah dari keturunan 9 pikul mengikut keturunan Melanau manakala ayahnya adalah dari kalangan Pengiran berasal dari Brunei.


Apabila Pengiran Arshad dilantik oleh Sultan Abdul Momin ianya telah menjadi “duri dalam daging” bagi Pengiran Matussin kerana selain daripada beliau hanya sebagai pembesar tempatan tetapi beliau juga harus menerima perintah daripada Pengiran Arshad. Pemilihan Pengiran Arshad itu “tidak adil” baginya kerana yang seharusnya menjadi Gabenor itu adalah beliau memandangkan beliau adalah anak jati Mukah namun kerana Pengiran Arshad mempunyai pertalian saudara secara langsung dengan Sultan Abdul Momin, hak beliau telah ditidakkan.


Pengaruh Pengiran Matussin cukup kuat di Kuala Sungai Telian dan di kawasan ini beliau mempunyai pengikut yang setia kepada beliau. Untuk Pengiran Arshad pula mempunyai pengaruh yang kuat di sebelah Kampung Telian Ulu kerana disini beliau mempunyai pertalian keluarganya sendiri iaitu melalui perkahwinan Pengiran Dipa dengan gadis Melanau dari Kampung Telian Ulu. Dan atas perkahwinan itu, ramai masyarakat Melanau dari Kampung Telian Ulu lebih memihak kepada Pengiran Arshad sebagai Gabenor Mukah yang sah.


Apabila pemerintahan telah berpusat kepada Gabenor Mukah iaitu Pengiran Arshad maka sistem kutipan cukai juga telah menjadi satu isu besar di Mukah ketika itu. Diceritakan sebelum perlantikan Pengiran Arshad ini dikatakan pembesar-pembesar serta ketua-ketua kampung di Mukah dan jajahannya boleh mengutip cukai dan menaikkan cukai sesuka hati mereka sehingga menimbulkan perasaan kurang senang kepada penduduk Mukah ketika itu.


Atas aduan ini, Pengiran Arshad selaku Gabenor Mukah yang dilantik telah hanya mempercayai anak-anaknya iaitu Pengiran Dipa dan Pengiran Ladah meninjau pengutipan cukai di seluruh jajahan Mukah pada ketika itu. Apa sahaja yang berlaku akan dilaporkan terus kepada Pengiran Arshad yang terkenal dengan ketegasan di dalam pemerintahan. Hal ini sekali lagi menjadikan Pengiran Matussin semakin berang kerana selama ini beliau boleh mengutip cukai dengan caranya sendiri dan apabila harus melapor diri kepada Pengiran Arshad jadi ianya memberi seribu kepayahan kepada beliau untuk mengelak membayar cukai yang ditetapkan ditambahlagi beliau merupakan antara pemilik ladang rumbia di Mukah pada ketika itu.


Apabila bukti penyelewengan cukai Pengiran Matussin dilaporkan oleh Pengiran Dipa kepada ayahnya Pengiran Arshad, maka marahlah Pengiran Arshad. Hal penyelewengan Pengiran Matussin ini disampaikan pula kepada Sultan Abdul Momin dan akibat daripada itu Pengiran Matussin telah dibuang daerah iaitu ke Sibu Laut. Jawatan pembesar yang diberikan kepadanya turut dilucutkan dan diangkat pula Datu Setia Raja menggantikannya sebagai pembesar. Setelah beberapa ketika di Sibu Laut akhirnya Pengiran Matussin telah diampunkan kesalahannya oleh Sultan Abdul Momin dan Pengiran Arshad yang tidak mahu konflik keluarga ini berpanjangan akhirnya melantik Pengiran Matussin sebagai pembantu kanan di dalam pemerintahannya sebagai Gabenor Mukah.


Namun begitu akhirnya berlaku lagi sengketa diantara kedua-dua keluarga ini apabila dikatakan bahawa Pengiran Matusin yang tidak jauh beza usianya dengan Pengiran Arshad meminang Pengiran Aceh iaitu puteri Pengiran Arshad yang muda belia dan cantik orangnya. Pengiran Arshad yang marah dengan tindakan Pengiran Matussin itu kerana beliau sendiri tahu Pengiran Aceh sudahpun bertunang dengan seorang pemuda yang juga mempunyai keturunan Pengiran di Negara Brunei Darussalam. Rombongan pinangan daripada Pengiran Matusin telah dihambur kata-kata kesat oleh Pengiran Arshad dan akibat daripada pinangannya telah ditolak dan maruahnya dicabar menyebabkan Pengiran Matussin menyimpan dendam kesumat di dadanya.


Sementara itu di Oya yang dipimpin oleh putera Pengiran Badaruddin setelah Pengiran Badaruddin meninggal dunia iaitu yang bernama Pengiran Mentali lain pula yang terjadi. Dikatakan Pengiran Mentali mempunyai seorang perempuan simpanan yang bernama Dayang Bali. Dayang Bali ini pula mempunyai hubungan sulit dengan seorang pemuda Melanau bernama Bashar yang berasal dari Kampung Tutus Mukah. Akibat telah menaikkan kemarahan Pengiran Mentali tanpa membuat usul periksa telah menghukum mati si Bashar manakala Dayang Bali selepas kejadian tersebut dikatakan hilang entah ke mana.


Bertitik tolak daripada penjatuhan hukuman mati yang tidak melalui prosedur undang-undang yang sepatutnya menyebabkan keluarga Bashar dan masyarakat di Kampung Tutus, Mukah telah bersiap siaga untuk menyerang Oya. Kerana Pengiran Mentali tahu bahawa sekiranya Oya diserang maka ianya akan membawa keburukan kepadanya dan seluruh Oya akhirnya beliau meminta pertolongan daripada Pengiran Arshad. Pengiran Arshad telah menghantar Pengiran Matussin sebagai wakilnya lagipun Pengiran Arshad tahu bahawa Pengiran Matussin mempunyai pengaruh yang kuat dan dihormati oleh masyarakat di Tutus, Mukah. Jadi menghantar Pengiran Matussin membantu Pengiran Mentali merupakan satu jalan yang selamat mengelak perbalahan.


Sebaliknya lain yang disuruh lain pula yang dilakukan oleh Pengiran Matussin. Beliau tidak ke Oya berjumpa Pengiran Mentali sebaliknya beliau telah ke Tutus, Mukah berjumpa dengan keluarga Bashar dan dikala itulah juga beliau dikatakan telah menyampaikan amaran daripada Pengiran Mentali supaya jangan pandai-pandai untuk menuntut bela atau buruk jadinya. Pengiran Matussin telah memainkan peranan agar orang-orang Tutus berpindah beramai-ramai ke Rejang bagi menyelamatkan nyawa. Hakikatnya segala amanat serta perpindahan itu tidak pernah diperkatakan oleh Pengiran Mentali mahupun Pengiran Arshad.


Apabila mengetahui ramai masyarakat Tutus telah berpindah secara beramai-ramai ke Rejang dan ini sudah tentu akan menyebabkan hasil kutipan menjadi semakin kurang membuatkan Pengiran Arshad sekali lagi berang dengan tindakan Pengiran Matussin. Hal ini menyebabkan kedua-duanya tidak bertegur sapa malah seluruh keluarga kedua pihak juga dikatakan turut bermusuhan-musuhan. Dendam Pengiran Matussin semakin membara sehingga membawa kepada komplot untuk menjatuhkan Pengiran Arshad sebagai Gabenor Mukah ketika itu.


Setelah mengatur rancangan akhirnya Pengiran Matussin telah melancarkan serangan mengejut keatas Pengiran Arshad. Pada ketika itu kedua-dua anak Pengiran Arshad dikatakan tiada bersama keluarga mereka kerana kedua-duanya telah diarahkan oleh Pengiran Arshad untuk meninjau kawasan pedalaman di bawah jajahan Mukah. Serang hendap yang dilakukan ketika Pengiran Arshad seisi keluarga sedang tidur nyenyak menyebabkan mereka tidak berupaya untuk membalas serangan tersebut. Pengiran Arshad yang cedera teruk telah berjaya diselamatkan oleh pengikut-pengikutnya untuk dibawa ke Oya sementara kaum keluarganya yang lain termasuk Pengiran Aceh dan Dayang Iyung turut terkorban di dalam serangan itu.


Apabila mendengar ayahnya sedang cedera teruk dan berada di Oya akibat onar dari Pengiran Matussin, Pengiran Dipa telah memohon bantuan daripada Syarif Masahor untuk menangkap Pengiran Matussin. Pengiran Dipa bersama-sama dengan Syarif Masahor telah menuju ke Mukah untuk memburu Pengiran Matussin. Sementara Pengiran Ladah telah ke Oya untuk bersama dengan ayahnya Pengiran Arshad. Apabila Pengiran Dipa dan Syarif Masahur tiba di Mukah keadaan di Mukah dikatakan tidak aman dengan banyaknya perkelahian sehingga saling bunuh-membunuh antara pengikut Pengiran Matussin dan Pengiran Arshad. Apabila Syarif Masahor dan pengikutnya dari Rejang menyerbu kediaman Pangiran Matussin pada ketika itulah didapati Pengiran Matussin telah melarikan diri ke Rejang.


Dalam episode melarikan diri ini Pengiran Matussin telah dikatakan dilindungi oleh orang Tutus di Rejang dan dari sanalah dia mudik ke Kuching berjumpa dengan Rajah James Brooke untuk memohon perlindungan daripada amukan Syarif Masahor dan Pengiran Dipa. Di pihak Pengiran Arshad yang telah cedera teruk akibat serangan hendap itu akhirnya meninggal dunia di Oya. Bantuan yang diminta oleh Pengiran Matussin telah berjaya dan Rajah James Brooke bersama-sama dengan panglima masyarakat Melayu Kuchingnya iaitu Panglima Seman telah datang ke Mukah membantu memerangi pengaruh Pengiran Arshad yang didokongi oleh Pengiran Dipa dan Pengiran Masahor.


Sampai sahaja di bumi Mukah, Rajah James Brooke bersama armada tenteranya mendapati bahawa pengaruh Pengiran Dipa sebagai pengganti ayahnya Pengiran Arshad begitu kuat malah benteng pertahanannya yang diketuai oleh Syarif Masahor yang juga ipar Pengiran Dipa juga kuat jadi Rajah James Brooke mengambil jalan tengah iaitu cuba untuk mengajak kesemua yang bertelagah ke meja rundingan. Sebenarnya kedatangan Rajah James Brooke ke bumi Mukah ada mempunyai visi yang lain iaitu Mukah dan kawasan-kawasan seperti Oya, Bintulu, Sarikei seharusnya di dalam keadaan aman kerana disinilah sumber ekonomi yang boleh menjadi penjana ekonomi kepada Sarawak Kingdom dan meluaskan pengaruh Sarawak Kingdom sebagai pemain ekonomi sagu dunia adalah sesuatu yang penting dan sekiranya dibiarkan ianya bergejolak hanya kerana perang saudara ini akan memberikan kemusnahan yang berterusan.


Akhirnya konflik Mukah yang berpanjangan dan banyak membuatkan ekonomi terganggu dapat dihentikan apabila pada Rajah James Brooke dapat memujuk Sultan Abdul Momin bersetuju memajakkan wilayah seperti Samarahan, Sadong, Batang Lupar, Saribas, Kalaka, Rejang, Matu, Oya, Mukah dan Bintulu kepada Sarawak Kingdom. Di pihak Sultan Abdul Momin pula diceritakan ketika itu dikatakan menerima perjanjian pajakan itu memandangkan sepanjang konflik Mukah berlaku, Sultan Abdul Momin tidak pernah mendapat apa-apa imbuhan daripada wilayah-wilayah ini dan banyak merugikan banyak pihak. Hanya dengan memastikan bumi ini aman barulah ekonomi dapat dijanakan. Pada tanggal 6hb Disember 1861 akhirnya sahlah wilayah-wilayah ini sebagai pembentuk empayar Sarawak Kingdom ketika itu.


Di pihak Pengiran Dipa pula seluruh keluarganya telah dititahkan oleh Sultan Abdul Momin untuk kembali ke negara Brunei Darussalam. Bagi pihak Pengiran Matussin pula kerana beliau merupakan sekutu kuat kepada Rajah James Brooke akhirnya telah diangkat menjadi Gabenor Mukah di bawah pemerintahan Rajah Brooke di bumi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Banyak rentetan peristiwa penentangan Syarif Masahor ke atas pemerintahan Brooke akhirnya terhenti apabila Syarif Masahor telah dibuang negeri ke Negeri Selangor dan akhirnya meninggal dunia di bumi Selangor mencurahkan baktinya.


Inilah rentetan peristiwa sejarah yang membawa kepada terjadinya wilayah Mukah sebagai salah satu empayar besar Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Bermula daripada konflik sengketa antara 2 keluarga bersaudara akhirnya menjadikan ia titik tolak campurtangan pihak yang lain.



bottom of page