top of page

MISTERI NAGA DI DALAM CERITA LEGENDA ETNIK SARAWAK


MISTERI NAGA DI DALAM CERITA LEGENDA ETNIK SARAWAK


NAGA itulah satu makhluk yang amat misteri bagi seluruh umat manusia di dunia ini sejak dari zaman dahulu lagi. Ini kerana kewujudannya sering dikaitkan di dalam cerita-cerita legenda atau mitos bagi setiap bangsa di dunia. Susuk seekor naga pula digambarkan seakan-akan ular yang panjang, bersisik, berkaki empat dan mempunyai sayap serta berkebolehan untuk mengeluarkan api dari mulutnya. Inilah yang sering digambarkan oleh penglipurlara apabila menceritakan tentang naga suatu waktu dahulu.


Persoalannya adakah benar naga itu wujud? Atau adakah ianya hanya salah satu cara penglipurlara menarik perhatian penontonnya agar terus duduk mendengar ceriteranya. Jika di dalam cerita mitos masyarakat Cina di seluruh dunia, sememangnya naga itu merupakan satu simbol untuk menterjemahkan lambang kekuatan dan tuah. Namun begitu sebenarnya kewujudan naga bukan sahaja digambarkan di dalam cerita legenda masyarakat Cina mahupun Eropah tetapi ianya juga wujud di dalam cerita legenda di dalam masyarakat pribumi Sarawak sendiri iaitu dari etnik Penan, Kenyah, Tatau dan juga Melayu Perabangan itu sendiri sebagai contoh betapa kayanya seni sastera rakyat di Sarawak Bumi Kenyalang.



1. Naga Di Dalam Etnik Penan


Menurut kepercayaan masyarakat Penan, beratus-ratus tahun dahulu tinggallah seorang lelaki Penan bernama Beluluk yang pekerjaannya adalah mencari pokok sagu untuk diproses menjadi tepung sagu di tebing sungai bernama Sungai Peresek. Pada suatu hari, ketika Beluluk sedang sibuk memproses sagu untuk dijadikan tepung bersama-sama dengan isterinya dan seorang anak lelaki tiba-tiba hari yang cerah dan panas terus menjadi mendung dan tiada lagi cahaya matahari seperti hari-hari sebelum nya malah telah bertukar menjadi gelap seakan-akan malam.


Melihat kepada kejadian itu, Beluluk yang merasa tidak selamat dan bimbang akan keselamatan anak dan isterinya telah bertindak mengarahkan isteri dan anaknya berlari dengan cepat menuju ke penempatan mereka. Maka berlarilah mereka menyelamatkan diri kerana takut akan dirasuk oleh roh-roh jahat. Di dalam perlarian itu lah juga si Beluluk sempat mendongak ke langit dan dia sendiri melihat bagaimana bebola api yang sentiasa memberikan cahaya di waktu siang ini telah diselaputi oleh gegelang kuning.


Apabila sampai di kawasan penempatan mereka, Beluluk segera memanggil seluruh warga Penan di dalam penempatan itu berkumpul dan ternyata bukan Beluluk dan keluarganya sahaja yang merasa ketakutan malah kesemua warga Penan juga begitu. Mereka duduk pegun sambil berpelukan diantara satu sama lain dan sekali sekala memandang langit dan keadaan sekeliling. Di dalam mereka asyik bercerita tentang kejadian pelik ini tiba-tiba suasana menjadi cerah kembali dan sekali lagi mereka ini merasa bimbang dengan kejadian ini kerana takut tempat tinggal mereka akan terus bergelap sehingga menyusahkan mereka untuk memburu di hutan, menangkap ikan di sungai ataupun membuat sagu yang mana merupakan makanan ruji masyarakat Penan.


Kebimbangan mereka ini dipanjangkan Beluluk dan lelaki Penan yang lain kepada ketua mereka iaitu Nyagung. Nyagung bukanlah sembarangan orang kerana Nyagung juga merupakan dukun yang amat pandai di dalam dunia mistik. Beluluk dan penduduk Penan yang lain telah memohon Nyagung untuk berkomunikasi dengan dunia mistik bagi meminta apakah caranya untuk memastikan keselamatan mereka kelak apabila hal seperti ini berulang kembali. Nyagung pun mulalah membuat meditasi hendak berkomunikasi dengan dunia mistik bagi mencari punca masalah tersebut. Ketika Nyagung di dalam alam mistik ini, dia telah mendapat alamat bahawa sebenarnya roh-roh jahat memang suka menyusahkan masyarakat Penan untuk mencari rezeki.


Dikatakan bahawa roh-roh jahat ini akan cuba untuk menggelapkan hari siang mereka kerana pada waktu itulah ramai masyarakat Penan sibuk mencari rezeki. . Mendengar kata-kata Nyagung itu, maka marahlah Beluluk dan warga Penan pada masa itu dan berazam untuk menentang roh-roh jahat ini kerana menganggu pekerjaan mereka. Menurut Nyagung ihanya satu sahaja yang boleh membantu mereka agar masa siang mereka tidak terus malap seperti malam iaitu dengan memanggil Naga, Penjaga Alam. Naga ini hanya akan bangun dari tidurnya sekiranya ada yang menyerunya memohon bantuan. Melalui semburan api daripada mulut Naga ini, bebola cahaya akan dapat menyinarkan cahayanya kembali dan tidaklah mereka akan terus berada di dalam kegelapan.


Mendengar kata-kata itu gembiralah Beluluk dan warga Penan kerana permasalahan mereka mampu dirungkaikan. Sejak daripada itu dikatakan bahawa masyarakat Penan yang hidup nomad sudah tidak berada di dalam ketakutan lagi kerana sekiranya berlaku kegelapan di waktu siang, mereka akan sentiasa membawa kain yang dicelupkan dengan madu dan kemudiannya akan dijadikan colok dan pembakaran colok ini akan membangunkan Sang Naga daripada tidurnya dan Sang Naga akan datang membantu dengan menghamburkan apinya ke arah matahari untuk menyahkan roh-roh jahat yang cuba untuk mengelapkan bebola api tersebut.



2. Naga Di Dalam Etnik Kenyah


Diceritakan beratus-ratus tahun dahulu telah datang seorang saudagar dari Tembok Besar China yang bernama Haka. Beliau merupakan satu-satunya saudagar China yang mampu untuk meredah kepayahan menuju ke Usun Apau dan berniaga dengan masyarakat Kenyah di situ. Beliau akan membeli hasil-hasil hutan daripada masyarakat Kenyah dan kemudiannya akan menjual hasil-hasil hutan tersebut ke negeri-negeri yang dilalui beliau.


Pada suatu hari ketika di dalam perjalanan pulang daripada Usun Apau dengan berjalan kaki bersama-sama dengan pekerjanya yang sedang sarat mengangkat hasil-hasil hutan, hujan pun turun dengan lebatnya dan Haka mengarahkan semua orang-orangnya untuk berteduh di sebuah gua yang tidak jauh daripada situ. Ketika sedang menunggu hujan teduh inilah Haka melihat satu cahaya berkilauan di dalam gua tersebut.


Perasaan ingin tahu pun membuak di sanubari Haka untuk mengetahui apakah gerangan cahaya maka dengan langkah perlahannya Haka menghampiri arah cahaya itu dan alangkah terkejutnya beliau rupa-rupanya cahaya yang berkilauan itu adalah cahaya batu permata yang terletak di atas kepala seekor naga yang sedang nyenyak tidur. Timbul di sanubari Haka untuk memiliki batu permata itu dan beliau tahu bahawa batu permata itu mempunyai kesaktiannya yang tersendiri dan memilikinya sudah tentu akan membuatkan Haka lebih kaya dan dikenali. Namun begitu beliau tahu mencuri batu permata dari seekor naga bukanlah mudah.


Apabila hujan teduh, Haka mengarahkan orang-orangnya untuk memulakan perjalanan mereka menuju ke perahu mereka yang terletak di Sungai Tinjar. Walaupun ada ralat di hatinya kerana membiarkan batu permata begitu sahaja namun jauh di sudut hatinya Haka akan mengusahakannya dan mencari jalan yang sebaik mungkin untuk mendapatkan batu permata tersebut. Setelah melalui Sungai Tinjar akhirnya Haka dan orang-orangnya telah sampai di pelabuhan besar yang mana disitu tersedia kapal milik Haka. Di ketika Haka dan orang-orangnya tengah bersiap sedia untuk meneruskan pelayaran mereka ke destinasi seterusnya tiba-tiba datanglah satu bahtera besar yang lengkap dengan perajurit-perajurit daripada China, negeri asal Haka.


Seperti lagak seorang pengembara yang gembira bertemu dengan saudara dari jauh, Haka pun menyambut kedatangan perajurit-perajurit dan laksamana dari China dengan ria sekali. Sewaktu jamuan makan di atas kapal Haka inilah, Haka menceritakan kepada Laksamana tentang batu permata di kepala seekor naga. Laksamana China amat tertarik dengan cerita Haka dan kemudiannya setelah mereka berbincang akhirnya Laksamana sanggup membantu Haka mendapatkan batu permata tersebut dengan sedikit imbuhan.


Haka akhirnya telah membatalkan niat beliau untuk ke destinasi seterusnya sebaliknya telah mengarahkan agar kapal beliau untuk melayari Sungai Tinjar dan kembali ke Usun Apau. Hanya kapal Haka boleh memudiki Sungai Tinjar kerana kapalnya agak kecil berbanding dengan kapal Laksamana. Setelah kelengkapan disediakan maka mereka pun mula memudiki Sungai Tinjar menuju ke Usun Apau.


Dipendekkan cerita ketika berlabuh di Sungai Tinjar, rombongan Haka dan Laksamana China telah dibahagi kepada 2 iaitu 1 rombongan akan bersama-sama menuju ke Usun Apau manakala sejumlah kecil daripada mereka akan menunggu kapal di Sungai Tinjar. Setelah bersusah payah melalui pelayaran dengan air dan kemudiannya berjalan kaki meredah hutan untuk menuju ke gua di Usun Apau akhirnya rombongan Haka dan Laksamana China telah sampai di kaki gua tersebut. Ketika inilah Haka tercengang-cengang melihat bagaimana parajurit-parajurit Laksamana China telah mengenakan baju perisai kalis api. Rupa-rupanya tanpa Haka sedari bahawa parajurit-parajurit Laksamana China sebenarnya sememangnya sudah bersedia dengan segala kelengkapan tersebut semenjak meninggalkan Tanah Besar China lagi bagi sebarang kemungkinan ketika di dalam pelayaran mereka.


Haka amat kagum dan keyakinannya untuk merampas batu permata di kepala Naga semakin membuak-buak. Setelah siaga semuanya, akhirnya rombongan Haka dan Laksamana China telah masuk ke gua tersebut. Ketika mereka menghampiri gua tersebut ternyata Naga sedang tidur dan timbullah idea daripada salah seorang parajurit Laksamana China agar jangan mengejutkan naga tersebut sebaliknya adalah lebih elok untuk salah seorang daripada mereka pergi senyap-senyap menghampiri naga yang tidur dan cuba mencuri batu permata daripada kepala naga yang sedang tidur.


Haka dan Laksamana China pun bersetuju dengan idea parajuritnya dan akhirnya mengarahkan parajurit tersebut mencuri batu permata tersebut. Dengan patuh pada arahan, parajurit itu pun menghampiri naga tersebut dan akhirnya berjaya mencuri batu permata daripada kepala naga tersebut tanpa naga sedari. Setelah mendapat batu permata tersebut, secara senyap-senyap rombongan Haka mengundurkan diri ke pintu masuk gua. Di ketika inilah, Haka dan Laksamana China beserta rombongan mereka telah ketawa terbahak-bahak kerana mereka gembira atas kejayaan mencuri batu permata tersebut dengan tidak payah bertarung dengan naga yang sudah tentu akan menyebabkan korban yang banyak.


Akibat bunyi bising ini telah mengejutkan naga yang sedang tidur. Naga tersebut telah marah kerana ternyata batu permata kesayangannya yang terletak di kepalanya juga telah dicuri. Naga itupun mengamuk dan menghembuskan api daripada mulutnya. Melihat kepada itu, maka melintang pukanglah Haka dan Laksamana China serta parajurit-parajuritnya menyelamatkan diri. Naga mengejar mereka sehinggalah ada diantara mereka yang tersesat di dalam hutan Usun Apau.


Laksamana China yang sememangnya tangkas tidak sukar untuk meloloskan diri. Beliau dan beberapa parajurit telah berjaya sampai ke kapal mereka di Sungai Tinjar dan tanpa memikirkan mereka yang dibelakang, Laksamana China telah mengarahkan kapal itu untuk memudiki Sungai Tinjar. Dalam pada itu, Laksamana China juga telah berpuashati kerana rupa-rupanya batu permata yang dicuri itu ada pada beliau. Maka tinggallah Haka dan beberapa parajurit beliau di Usun Apau.


Sejak daripada itu dikatakan tiada sebuahpun kapal yang mudik ke Usun Apau bagi membawa Haka pulang ke tanahairnya. Haka dan saki baki parajurit yang ditinggalkan sudah tiada pilihan selain daripada tinggal bersama masyarakat Kenyah di Usun Apau. Mereka kemudiannya telah meresapi masyarakat Kenyah dengan perkahwinan campur dan akhirnya setelah seketika di Usun Apau akhirnya mereka berhijrah ke seluruh pelusuk tanah pamah di Belaga dan kawasan sekitarnya. Mungkin kerana itulah agaknya kenapa masyarakat Kenyah Sarawak mempunyai kulit putih bermata sepet seakan-akan masyarakat Cina sekarang.



3. Naga Di Dalam Etnik Tatau


Menurut cerita orang tua-tua daripada masyarakat etnik Tatau bahawa suatu waktu dahulu ketika ramai etnik Tatau masih lagi mendiami kawasan bergelar Lubok Sebubong iaitu satu kawasan yang berada di Sungai Kakus, terdapat seorang lelaki yang handal berburu. Pada suatu hari, lelaki ini telah keluar memburu sehingga ke Rantau Kemesu iaitu salah satu kawasan di Sungai Kakus.


Apabila dia menghampiri satu kawasan maka beliau menjumpai seekor naga sedang asyik memakan buah-buahan di atas pokok kasai. Seperti pemburu yang lain, lelaki ini begitu teruja untuk mengalahkan naga yang bersaiz besar ini maka disediakannya segala peralatan pemburuan yang dibawanya. Dengan penuh keyakinan, lelaki ini telah menyumpit naga tersebut dengan sumpit beracun. Walau sudah banyak sumpit beracun yang digunakan ternyata naga tersebut belum tewas malah terus memakan buah-buahan di atas pokok kasai tersebut. Pada fikiran lelaki ini mungkin racun sumpitnya belum lagi menyerap ke badan naga tersebut lalu dia pun kembali ke rumah panjangnya.


Sampai sahaja di rumah panjangnya, lelaki ini telah memberitahu kepada rakan-rakannya jika ada sesiapa di antara mereka mendengar bunyi yang kuat seakan-akan benda yang jatuh daripada langit maka segeralah memberitahu beliau. Rakan-rakan lelaki ini hanya mengiyakan sahaja percakapan lelaki tersebut tanpa mahu bertanya apakah cerita tersebut. Pada malam itu ketika rakan-rakan lelaki ini berehat di ruai rumah panjang mereka maka terdengarlah mereka bunyi yang amat kuat dan mereka terus memberitahu lelaki ini tentang berita tersebut.


Mendengar perkhabaran itu, lelaki itu terus ceria dan mengajak rakan-rakannya pergi bersama ke arah dari mana datangnya bunyi tersebut. Setiba di kawasan pokok kasai itu, rakan-rakan lelaki ini amatlah terkejut dengan apa yang dilihat mereka kerana ternyata seekor naga telah tersungkur jatuh tanpa nyawa dan tersadai menyembah bumi. Maka gembiralah mereka semua dan lelaki itu telah mendapat puji-pujian yang amat tinggi daripada rakan-rakannya.


Tanpa berlengah lagi lelaki ini telah bertindak memotong daging naga tersebut untuk dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakannya agar boleh sama-sama dijadikan juadah untuk makan bersama keluarga mereka nanti. Setelah menjelang dinihari sudah menjadi amalan wanita-wanita di rumah panjang untuk memasak dan menyediakan juadah untuk bersarapan keluarga masing-masing. Maka sibuklah mereka memasak daging naga tersebut.


Daging naga tersebut telah dimasukkan ke dalam buluh bersama-sama dengan ramuan tradisional etnik Tatau. Sewaktu mereka sedang sibuk menyediakan masakan tersebut ada antara mereka telah terdengan satu suara pelik daripada daging tersebut . Mula-mula mereka merasa kaget tetapi mana mungkin mereka mempercayai daging yang telah dihiris halus-halus boleh berkata-kata maka mereka terus menerus memasak sehinggalah juadah daging naga ini boleh dimakan oleh keluarga mereka pada pagi itu.


Selesai kesemua suami dan anak-anak mereka makan sarapan itu tiba-tiba muncullah seorang wanita asing ke rumah panjang mereka. Wanita asing ini agak pelik dan terus menerus meminta kesemua penduduk rumah panjang tersebut membuka mulut mereka. Rupa-rupanya wanita ini cuba untuk mencari sisa-sisa daging naga yang masih terlekat di celah-celah gigi mereka.


Dalam ramai yang diperiksanya hanya 2 orang sahaja yang dipastikan tidak memakan daging naga tersebut iaitu 2 orang anak yatim yang tinggal bersama-sama di rumah panjang tersebut. Dengan secara lembut, wanita ini telah mengarahkan agar kedua-dua anak yatim ini meninggalkan rumah panjang tersebut dan meminta mereka jangan kembali lagi ke rumah panjang tersebut jika tidak mahu terkena sumpahan. Maka kedua-dua anak yatim ini terus keluar daripada rumah panjang tersebut kerana tidak mahu terkena sumpahan.


Sebaik sahaja mereka melangkah keluar, mereka dapati keseluruhan warga rumah panjang tersebut telah mati. Rupa-rupanya wanita asing itu adalah jelmaan kepada seekor naga betina iaitu isteri kepada naga jantan yang dibunuh semalam dan dia datang ke rumah panjang tersebut untuk menuntut bela atas kematian suaminya.



4. Naga Di Dalam Etnik Melayu Perabangan


Apabila Majapahit menguasai persisiran Sarawak, maka bermulalah penghijrahan masyarakat Melayu dari Sumatera ke kawasan persisiran ini. Kerajaan Santubong telah dibuka oleh Raden Menteri Dipati Jipang atau Datu Merpati Jepang yang telah berhijrah ke Sarawak pada kurun ke-15. Diriwayatkan Datu Merpati Jepang adalah seorang putera yang telah diusir oleh neneknya iaitu Betara Andera Kala sewaktu perebutan kuasa di Pulau Langka Putra (Pulau Jawa). Setelah diusir, beliau telah pergi mengembara ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu. Sewaktu mengembara di Johor, Datu Merpati Jepang telah berkahwin dengan puteri Raja Jarom Jawa seorang kerabat diraja Johor iaitu Datu Permaisuri Kemala.


Setelah berkahwin, Datu Merpati Jepang telah meneruskan pengembaraannya sehingga ke Tanjung Datu dan disinilah bermulanya pertemuan beliau dengan Datuk Kuli atau Datuk Kuali. Beliau telah membantu Datuk Kuli yang terdampar di sebuah tanjung dan atas pertolongan ini, Datuk Kuli telah mengundang Datu Merpati Jepang dan pengikut-pengikutnya untuk tinggal di persisiran Sarawak. Memandangkan isterinya Datu Permaisuri Kemala sedang sarat mengandung, Datu Merpati telah berniat untuk tinggal di sebuah penempatan di persisiran Sarawak yang menghadap Laut China Selatan iaitu daerah Santubong.


Setelah beberapa ketika maka isterinya telah melahirkan seorang puteri iaitu anak bongsu mereka yang dinamakan Dayang Seri Bulan. Perkahwinan Datu Merpati juga dikurniakan dengan 2 orang lagi cahayamata iaitu seorang putera lelaki sulung diberi nama Merpati Jepang dan satu lagi dikatakan seekor ular yang telah dilepaskan oleh Datu Merpati dan dikatakan ular ini apabila dewasa menjadi seekor naga.


Dikala kawasan persisiran Sarawak masih lagi kuat dengan ancaman lanun, Datu Merpati sekeluarga telah menyelamatkan diri ke Brunei setelah diserang oleh Pego, angkatan lanun yang ganas di perairan Sarawak pada masa itu. Di katakan ketika menyelamatkan diri daripada ancaman lanun ini sebenarnya Datu Merpati sekeluarga telah hampir ditawan oleh lanun Pego tetapi kerana adanya anaknya seekor Naga inilah yang membantu mereka sekeluarga yang mengawal bahtera ayahandanya sehingga mampu sampai ke Negara Brunei Darussalam.


Inilah antara misteri kewujudan Sang Naga di dalam cerita legenda masyarakat di Sarawak yang mana kewujudannya seperti "pernah ada" suatu waktu dahulu. Sudah tentu banyak lagi versi cerita legenda dari etnik-etnik Sarawak yang memaparkan Sang Naga di dalam cerita mereka. Hakikatnya Sarawak Bumi Kenyalang sebenarnya mempunyai banyak cerita legenda yang tidak kurang daya tarikan seperti bangsa-bangsa yang lain di seluruh antero dunia CUMA amat kurang pendedahannya kepada generasi Sarawak sekarang.


Adakah benar Naga itu wujud?


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page