top of page

PERANG "NGAYAU" DI DALAM ETNIK DAYAK BORNEO


PERANG "NGAYAU" DI DALAM ETNIK DAYAK BORNEO

- Tradisi Memenggal Kepala Musuh


“Borneo, The Land Of The Head hunters”… itulah antara judul nama buku-buku olahan Bangsa Eropah serta judul sebuah filem yang diproduksi oleh bangsa America di dalam memperkatakan tentang masyarakat di Borneo. Seantero dunia mengenali bahawa masyarakat Dayak yang mendiami Borneo suatu waktu dahulu adalah antara pahlawan-pahlawan yang amat digeruni kerana keberanian serta ketangkasan mereka memenggal kepala-kepala musuh mereka. Walaupun ianya tidak lagi menjadi tradisi di Borneo setelah ianya diharamkan sejak di tahun 1840an lagi namun begitu ianya tetap menjadi kebanggaan sehingga sekarang kerana darah yang mengalir di setiap etnik Dayak Borneo itu sudah semestinya ada darah “Bujang Berani” di dalam DNAnya.


Jika di Sarawak, hampir kesemua etnik-etnik Dayak Sarawak seperti Iban, Kenyah, Kayan, Lunbawang dan banyak lagi sememangnya mempunyai sejarah di dalam tradisi Ngayau ini. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di Sabah juga ada mempunyai keturunan si pemenggal kepala seperti etnik Kadazan, Dusun dan Murut. Di Kalimantan yang juga merupakan salah satu daripada kawasan asal keturunan masyarakat Dayak Borneo juga tidak kurang hebatnya. Jadi boleh dikatakan bahawa tradisi Ngayau ini sememangnya satu tradisi lumrah bagi masyarakat Dayak Borneo suatu waktu dahulu.


Dikenali dengan nama “Ngayau” yang bermaksud memenggal kepala kerana di dalam setiap perang mesti ada sahaja kepala musuh yang tewas akan bercerai dari badan. Tujuannya bukannya satu yang boleh dianggap suka-suka kerana untuk memenggal kepala musuh itu bukan satu yang mudah. Sebaliknya ianya memerlukan ketangkasan yang tinggi serta semangat berani di dalam diri. Ketangkasan menggunakan parang ilang atau parang nyabor juga adalah salah satu daripada kepakaran yang harus ada bagi setiap pahlawan-pahlawan Dayak Borneo suatu waktu dahulu.


Sebenarnya ada banyak sebab Perang Ngayau itu akan terjadi suatu waktu dahulu dan yang sering menjadi perkara pokok adalah perang perluasan wilayah. Umum mengetahui bahawa suatu waktu dahulu, etnik-etnik Dayak Borneo sering berpindah randah untuk mencari kawasan yang subur dan hal ini memungkinkan mereka bertembung dengan etnik-etnik yang lain di kawasan yang sama. Satu cara untuk berkuasa adalah dengan turun berperang dan seterusnya kepala musuh adalah “piala kemenangan” untuk dibawa pulang ke rumah-rumah panjang masing-masing. Bagi pihak yang kalah pula mereka harus akur akan kekalahan itu dan terpaksa menerima perintah daripada pihak yang menang.


Selain daripada itu Perang Ngayau juga merupakan satu petunjuk status seseorang contohnya bagi setiap pahlawan etnik Dayak yang masih bujang, dikatakan bawa kepala musuh yang dibawa pulang selepas perang itu merupakan satu status kedudukan kepada mereka. Diceritakan bahawa suatu waktu dahulu ramai wanita-wanita etnik Dayak dan keluarganya meletakkan syarat untuk menjadi suami mereka haruslah mempunyai “kepala musuh” sebagai memenuhi syarat mas kahwin untuk mereka. Hanya dengan cara ini si dara akan menerima pinangan kerana nescaya si uda yang gagah dan berani sudah tentu lengkap untuk menjadi pelindung kepada keluarganya kelak.


Bagi yang sudah berkahwin pula, setiap kali mampu membawa pulang “kepala musuh” sudah tentu status kedudukan dirinya dan keluarganya di dalam masyarakat setempat dipandang tinggi. Keberanian itu kadang-kadang mampu melayakkan dirinya untuk menjadi pemimpin masyarakatnya suatu hari kelak. Bolehlah disimpulkan bahawa Ngayau ini sebenarnya melambangkan keberanian, simbol “kejantanan” serta darjat sosial setiap pahlawan Dayak.


Agak sukar sebenarnya untuk menyatakan bilakah tarikh sebenar tradisi Ngayau ini terjadi kerana setakat ini belum ada lagi kajian-kajian ilmiah yang memperkatakannya. Setiap etnik Dayak Borneo mempunyai cerita legendanya tersendiri apabila berkata tentang Ngayau ini. Contohnya di dalam cerita tradisi etnik Iban yang sememangnya antara yang tersohor dengan cerita Perang Ngayau mereka di bumi Borneo menghikayatkan bahawa tradisi Ngayau yang pertama dilakukan oleh orang Libau Lendau Dibiau Takang Isang atau orang yang berasal dari kayangan.


Ketika itu ianya dipimpin oleh seorang tuai rumah bernama Keling. Kerana keberanian dan kegagahannya maka Keling telah dianugerahkan gelaran sebagai Keling Gerasi Nading Bujang Berani Kempang. Gelaran itu diberikan oleh seorang pemimpin etnik Iban yang paling dihormati yang tinggal di Tatai Bandam (Lubuk Antu, Sarawak sekarang) yang bernama Merdan Tuai Iban. Inilah merupakan salah satu daripada cerita legenda lisan yang di kalangan masyarakat Iban dan sudah tentu bagi etnik-etnik yang lain tidak kurang penceritaannya.


Sewaktu Sarawak dibawah pemerintahan dinasti Keluarga Brooke yang bergelar Sarawak Kingdom, sekitar tahun 1841 lagi, Rajah James Brooke telah mengeluarkan perintah untuk tiada lagi mana-mana etnik Dayak di dalam Sarawak Kingdom yang masih menjalankan tradisi Ngayau ini kerana ianya dikatakan tidak bertamadun. Selain daripada itu Rajah Brooke sepanjang keluarganya memerintah telah mencuba sebaik mungkin dengan mengadakan beberapa perjanjian damai contohnya Perjanjian Marudi yang diusahakan agar tiada lagi perperangan antara etnik-etnik Dayak di Baram berlaku. Selain daripada denda yang berat untuk barangsiapa yang masih meneruskan tradisi Ngayau di bumi Sarawak Kingdom juga berjaya mengekangnya daripada terus dilakukan.


Di Sabah pula untuk kaum Kadazan, Dusun dan Murut yang juga mengamalkan tradisi Ngayau di dalam penghidupan mereka dengan tujuan perluasan kuasa dan sebagainya juga mendapat tentangan daripada pemerintah Kompeni Inggeris North Borneo pada waktu itu. Seperti juga Rajah Brooke, mereka juga turut mengharamkannya dan hukuman yang berat bagi sesiapa yang melanggar perintah juga telah menyebabkan Ngayau itu telah terus ditinggalkan.


Bagi etnik-etnik Dayak di Kalimantan pula apa yang diharamkan oleh Kerajaan Belanda pada masa itu tidak begitu diendahkan oleh mereka. Namun satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Tumbang Anoi pada tahun 1894 yang diadakan di Desa Huron Anoi Kahayan Ulu, Kalimantan Tengah telah berjaya mencari kata sepakat untuk kesemua etnik-etnik Dayak di Kalimantan ketika itu menghentikan tradisi Ngayau ini. Kesepakatan daripada setiap pemimpin etnik-etnik Dayak ini memungkinkan Ngayau dihentikan terus di bumi Kalimantan ketika itu.

Selain daripada itu salah satu yang berjaya menghentikan Ngayau terus diadakan di bumi Borneo adalah apabila kedatangan agama di segenap penghidupan masyarakat Dayak Borneo pada waktu itu sekitar awal abad ke 19. Kedatangan missionari-missionari Kristianiti telah berjaya mengubah fahaman daripada agama pagan kepada agama Kristian telah banyak membantu untuk menghentikan Ngayau daripada terus dilakukan.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page