RAJAH MUDA BERTRAM WILLES DAYRELL BROOKE (1876 – 1965)
RAJAH MUDA BERTRAM WILLES DAYRELL BROOKE (1876 – 1965)
Bertram Willes Dayrell Brooke merupakan Rajah Muda Sarawak Kingdom ketika Rajah Charles Vyner Brooke menggantikan Rajah Charles Brooke. Pada ketika itu Rajah CV Brooke tidak mempunyai anak lelaki untuk mengwarisi legasi pemerintahan Dinasti Brooke di Sarawak Kingdom pada waktu itu.
Beliau yang dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 8hb Ogos 1876 merupakan anak kedua kepada pasangan Rajah Ke-2 Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Brooke dan Ranee Margaret Brooke. Terkenal dengan seorang yang peramah dan amat meminati sukan sejak kecil lagi dan dikatakan sering bersama-sama dengan ayahnya Rajah Charles Brooke menunggang kuda di satu kawasan hijau di Kuching yang sekarang dikenali dengan nama Jalan Green.
Mendapat pendidikan awal di Winchester College dan Trinity College di Cambridge, United Kingdom. Dan minatnya di dalam sukan telah meletakkannya menjadi Presiden Kelab Sukan Perahu di kampusnya. Selain daripada itu dia juga merupakan salah seorang pemain perahu yang terbaik pernah dikeluarkan oleh University Of Cambridge apabila mampu menjadi juara di dalam pertandingan perahu peringkat universiti di United Kingdom pada tahun 1900 dan 1901.
Setelah menamatkan pengajian seperti juga ayahnya, Rajah Muda Bertram telah menyertai angkatan tentera dan bertindak sebagai “Special Commissioner” di dalam Unit Berkuda Diraja ketika perang dunia pertama berlangsung. Ketika itu beliau adalah Special Commissioner mewakili Sarawak Kingdom di dalam angkatan tentera British. Beliau telah memberikan perkhidmatan yang terbaik pada ketika itu sehingga beliau dianugerahkan dengan pangkat Kapten di dalam pasukan tentera.
Setelah Rajah Charles Vyner Brooke diangkat menjadi Rajah Ke-3 Sarawak Kingdom, Rajah Muda Bertram telah kembali ke Sarawak dan berkhidmat membantu abangnya di dalam urusan pentadbiran Sarawak Kingdom. Dikatakan juga beliau adalah seorang yang taat dan mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan abangnya. Di ketika Rajah CV Brooke pulang bercuti ke tanahair mereka di Britain maka Rajah Muda Bertram adalah orangnya yang mendapat kepercayaan sebagai “Pemangku Rajah” pada masa itu. Kepercayaan ini adalah atas hubungan yang baik dan akrab beliau dengan abangnya Rajah CV Brooke dan sepanjang pemerintahan beliau sebagai Rajah Muda di dalam era pemerintahan Rajah CV Brooke hampir 3 kali beliau menjadi “Pemangku Rajah” yang tempoh masanya adalah selama 6 bulan setiap tahun.
Pada tanggal 28hb Jun 1904, Rajah Muda Bertram melangsungkan perkahwinan dengan Gladys Milton Palmer iaitu salah seorang wanita aristocrat bangsa Eropah di United Kingdom. Sesuai dengan perkahwinan beliau dengan seorang Rajah Muda Sarawak Kingdom, Rajah CV Brooke telah menganugerahkan gelaran “Dayang Muda” kepada isterinya iaitu Dayang Muda Gladys Milton Palmer. Dayang Muda Gladys yang merupakan puteri tunggal kepada Sir Walter Palmer seorang Baron di dalam Kerajaan Mahkota British.
Hasil perkahwinan antara Rajah Muda Bertram dan Dayang Muda Gladys ini telah dikurniakan dengan seorang anak tunggal lelaki iaitu Rajah Muda Anthony Brooke yang telah ditidakkan haknya sebagai Rajah Ke-4 Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Sebenarnya mengikut ceritanya Rajah CV Brooke lebih memilih untuk Rajah Muda Bertram sebagai penggantinya namun atas permuafakatan Rajah Muda Bertram dengan abangnya Rajah CV Brooke ditambah lagi keadaan kesihatan Rajah Muda Bertram ketika itu tidak memungkinkan beliau boleh mentadbir Sarawak Kingdom sebagai “Rajah” akhirnya anak lelaki tunggalnya iaitu Rajah Muda Anthony Brooke diangkat menjadi Rajah Muda Sarawak Kingdom selepas ayahnya Rajah Muda Bertram pulang ke tanahair mereka di United Kingdom pada ketika itu.
Setelah memberikan “Rajah Muda” kepada anak lelaki tunggalnya, Rajah Muda Bertram telah kembali ke United Kingdom meneruskan sisa penghidupan bersama isterinya Dayang Muda Gladys Palmer. Namun begitu perkahwinan Rajah Muda Bertram dan Dayang Muda Gladys terhenti di pertengahan jalan dan akhirnya mereka membawa haluan masing-masing di dalam penghidupan.
Setelah bercerai inilah dikatakan Dayang Muda Gladys menceburi bidang perfileman di England sehingga beliau mampu membuka sebuah syarikat perfileman yang dinamakan Big Four Production bersama dengan 3 lagi rakan kongsi lain. Filem arahan beliau yang juga beliau menjadi pelakonnya diterbitkan pada tahun 1922 berjudul “Potter’s Clay”.
Setelah usahasama Big Four Production terlerai akibat daripada salah faham kewangan akhirnya Dayang Muda Gladys telah membawa diri serta mencari arah hidup. Pada tahun 1932, Dayang Muda Gladys telah memeluk Islam dan menggunapakai namanya Islamnya iaitu Khairunisa binti Abdullah. Akhirnya bekas isteri Rajah Muda Bertram ini meninggal dunia pada 12hb June 1952 di Galle Face Court, Colombo, Ceylon.
Sementara itu, selepas perpisahan Rajah Muda Bertram dikatakan lebih banyak menghabiskan masanya di rumah ladang mereka di Weybridge, Surrey, London dan beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 15hb September 1965. Seperti keluarga Brooke yang lain, Rajah Muda Bertram juga disemadikan di Sheepstor Churchyard, Devon, England.
.
#KamekSayangSarawakBah!