SAYYID MASHHUR BIN MUHAMMAD AL-SHAHAB
SAYYID MASHHUR BIN MUHAMMAD AL-SHAHAB
Sayyid Mashhur bin Muhammad Al-Shahab atau lebih dikenali sebagai Sharif Masahor merupakan salah seorang pembesar Sarikei di kawasan Sungai Rajang. Beliau dilantik sebagai pembesar oleh Sultan Abdul Mu’mein dari Kesultanan Brunei pada masa itu. Kepimpinan beliau sebagai pembesar terbukti apabila beliau mampu menyatukan kaum melanau di Sungai Rajang dan kaum Iban di Sungai Skrang sehingga menyebabkan beliau antara pembesar yang amat berpengaruh dan dihormati di Sarawak pada masa itu.
Kewibawaan Sharif Masahor sebagai pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei tercabar apabila daerah Sarikei diletakkan dibawah pentadbiran Brooke. Ini berlaku apabile James Brooke mengambil wilayah Sungai Rajang daripada Kesultanan Brunei. James Brooke juga mencabar kewibawaan pembesar ini apabila mula membina Kubu di Kanowit. Bertindak daripada itu, pada tahun 1855, Sharif Masahor mengetuai 150 buah perahu menyerang Mukah dan mengusir Pangeran Matusin yang dikatakan merupakan barua dan penyokong kuat James Brooke di dalam memperluaskan kuasanya di Sungai Rajang.
Membalas pada penyerangan di Mukah itu, James Brooke telah bertindak balas melucutkan kuasa Sharif Masahor di Sarikei. Sekali lagi, umpama mencurah minyak di atas api, tindakan James Brooke itu telah menyebabkan kemarahan Sharif Masahor yang amat sangat. Kerana pengaruhnya yang kuat , Sharif Masahor telah berpakat dengan Datu Patinggi Abdul Ghapur untuk mengusir keluar James Brooke dari Sarawak selama-lamanya. Pada tahun 1859, pakatan bala tentera Sharif Masahor telah menyerang Kanowit dan penyerangan ini telah membimbangkan James Brooke sekali lagi.
Pada tahun 1860, pakatan Sharif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Ghapur kemudiannya telah bertambah kuat dengan bergabung dengan Temenggung Hashim dari Sadong dan mereka membuat pakatan sulit untuk menyerang Kuching iaitu kota pemerintahan James Brooke. Tetapi sayang, pakatan sulit tersebut telah dapat dihidu oleh James Brooke lalu James Brooke meminta pertolongan Belanda yang berkuasa di Kalimantan pada masa tersebut.
Belanda telah menahan Datu Patinggi Abdul Ghapur dan kemudiannya beliau dipenjarakan di Betawi sehingga meninggal dunia di sana. Dengan tertangkapnya Datu Patinggi Abdul Ghapur ianya masih tidak melemahkan semangat Sharif Masahor apabila beliau dengan pasukannya telah bertempur habis-habisan di Sungai Sadong. Banyak kapal dan perahu di pihak Sharif Masahor telah ditenggelamkan di dalam perang tersebut dan lebih kurang 64 orang terbunuh. Kejadian ini memaksa Sharif Masahor dan pasukannya berundur ke Mukah bagi memperkuatkan kembali barisan perang mereka.
James Brooke masih belum berpuashati atas penentangan Sharif Masahor dan pada tahun 1861, James Brooke telah memaksa Sultan Brunei untuk menyerahkan Mukah di bawah jajahannya dan apabila dipersetujui James Brooke tanpa membuang masa telah menahan Sharif Masahor dan dipenjarakan dan kemudiannya dibuang negeri ke Selangor.
Pada tahun 1861, Sharif Masahor tiba di bumi Tanah Melayu dan kakinya buat kali pertama berpijak di bumi Klang, Selangor. Kedatangan beliau telah disambut dengan baik oleh Raja Mahdi iaitu anak kepada bekas pembesar Kelang sebelum Sultan Muhammad menyerahkan Kelang kepada Raja Abdullah untuk dijaga. Untuk itu Raja Mahdi sebenarnya mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Kelang ketika itu walaupun tidak berkuasa lagi.
Persahabatan yang baik antara Sharif Masahor dan Raja Mahdi telah membolehkan Sharif Masahor diperkenalkan dengan ramai lagi kerabat diraja Selangor dan ini termasuklah Sultan Abdul Samad yang baru menaiki takhta ketika itu. Sultan Abdul Samad amat tertarik dengan kecekapan dan kepandaian Sharif Masahor di dalam ilmu peperangan ini memandangkan beliau merupakan pendekar tersohor di bumi Sarawak sehingga bangsa Eropah sendiri gerun mendengar namanya. Maka Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor ketika itu telah melantik Sharif Masahor sebagai penasihat kepada baginda.
Sekitar bulan Mac 1967, telah terjadi satu perang saudara di bumi Selangor yang dikenali sebagai Perang Kelang. Perang saudara ini berlaku diantara Raja Mahdi melawan Raja Abdullah gara-gara rasa tidak puashati apabila Raja Mahdi dipaksa membayar cukai kepada Raja Abdullah. Di ketika itulah Sharif Masahor telah meninggalkan tugasnya dengan Sultan Abdul Samad sebaliknya turun membantu Raja Mahdi di dalam mengatur strategi peperangan tersebut. Dengan strategi yang bijak akhirnya Kelang jatuh ke tangan Raja Mahdi. Raja Abdullah dan pengikutnya berundur dari Kelang dan Raja Mahdi menjadi penjaga Kelang setelah berkuasa. Namun begitu apabila Raja Mahdi memegang Kelang, beliau telah bertindak untuk tidak membayar $500 kepada Sultan Selangor seperti kebiasaannya. Sultan Abdul Samad naik murka lalu memutuskan pertunangan Raja Mahdi dengan puterinya iaitu Raja Arfah.
Perang Kelang ini semakin berpanjangan atas tindakan Sultan Abdul Samad itu dan selepas sahaja memutuskan pertunangan mereka, Sultan Selangor bertindak mengahwinkan bekas tunangan Raja Mahdi dengan Tengku Kudin, salah seorang kerabat diraja Kesultanan Kedah. Tengku Kudin pula diberikan Langat untuk dijaga dan sekali lagi ianya membangkitkan kemarahan Raja Mahdi. Akhirnya Tengku Kudin memilih untuk menyokong anak Raja Abdullah iaitu Raja Ismail menuntut kembali Kelang bagi pihaknya. Dengan bala tentera yang cukup ramai kali ini akhirnya Raja Mahdi yang mendapat khidmat strategi peperangan dari Sharif Masahor kalah jua di Kelang apabila hilir Kelang berjaya ditawan dan seterusnya daerah-daerah lain di keseluruhan jajahan Kelang. Sekitar 1874, Perang Kelang pun tamat dan Raja Mahdi berserta pengikut-pengikutnya termasuk Sharif Masahor yang menyokongnya telah mendapat pengampunan daripada Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor ketika itu. Kemudian Raja Mahdi membawa diri sehingga ke Johor dan akhirnya meninggal dunia di Johor dan dimakamkan di Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru. Sementara itu Syarif Masahor pula terus berbakti dengan Kesultanan Selangor.
Di ketika British cuba mencampuri urusan pentadbiran Negeri-negeri di Tanah Melayu suatu waktu dahulu lebih-lebih lagi di Selangor. Mengikut kajian oleh seorang ahli sejarah tersohor Buyong Adil, Sharif Masahor dan pengikut-pengikut yang setia kepada Sultan Abdul Samad telah bermati-matian menentang pihak British ketika itu. Sharif Masahor bersama-sama dengan anak jati Selangor dikatakan telah berjaya memenggal kepala beberapa pegawai tentera British di Selangor dan kepala tersebut diletakkan di tengah Bandar Kuala Lumpur sebagai tanda amaran kepada pihak British.
Pemberontakan yang didokongi oleh Sharif Masahor dan anak jati Selangor ini sengaja dirahsiakan oleh British dari pengetahuan umum kerana takut ianya menjadi pemangkin kepada anak Sarawak di Sarawak dan juga anak jati negeri di Semenanjung Tanah Melayu bangun memberontak ke atas pentadbiran Keluarga Brooke di Sarawak dan juga Koloni British di bumi Semenanjung Tanah Melayu suatu waktu dahulu. Akhirnya Sharif Masahor telah meninggal dunia pada tahun 1890 dan disemadikan di Kerling, Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan. Makamnya masih lagi terjaga oleh Muzium Selangor sehinggalah sekarang sebagai memberi penghormatan kepada pendekar Sarawak dan juga pendekar Selangor ini.
Sejarah tentang seorang pendekar Sarawak ini harus diketahui oleh kita sebagai anak Sarawak kerana ternyata Sharif Masahor yang merupakan antara pahlawan Bangsa Sarawak yang bangun menentang Rajah Brooke di bumi Sarawak dan kemudiannya menaburkan bakti di bumi Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Negeri Selangor dengan menaburkan keringatnya membantu Kesultanan Selangor di dalam perang saudara dan juga memerangi penjajahan Koloni British di bumi Selangor suatu waktu dahulu.
Orang tua jangan disanggah, Budi baik jadi sanjungan; Kepahlawananmu aku bermegah, Matimu dikenang sepanjang zaman.
#KamekSayangSarawakBah!