top of page

THE BRASS RINGS LADY OF SARAWAK


THE BRASS RINGS LADY OF SARAWAK


Budaya pemakaian gegelung tembaga (Brass Rings) adalah salah satu daripada budaya unik yang sebenarnya masih ramai lagi etnik-etnik di dunia ini yang memakainya. Etnik Karen melalui sub-etnik Kayan atau Padaung di Myanmar misalnya masih lagi bangga dengan budaya pemakaian gegelung tembaga di bahagian leher dan kaki mereka. Malah budaya pemakaian ini juga terdapat di dalam masyarakat Ndebele atau Matabele yang ramai tinggal di Afrika Selatan dan juga Zimbabwe.


Mungkin ramai rakyat Malaysia sendiri yang tidak mengetahui bahawa di Sarawak juga mempunyai budaya pemakaian gegelung tembaga ini yang sebenarnya telah lama dipraktikkan sejak zaman berzaman cuma sekarang ianya semakin menghilang kerana peredaran zaman. Satu-satunya etnik pribumi Sarawak yang mempunyai budaya ini adalah daripada etnik Bidayuh, Sarawak, Borneo.


Etnik Bidayuh merupakan antara etnik pribumi di Sarawak Bumi Kenyalang. Kebanyakan daripada masyarakat ini mendiami kawasan barat daya Sarawak seperti di Daerah Serian, Kuching dan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan. Terdapat 4 pecahan sub-etnik bagi masyarakat Bidayuh iaitu:Selako/Lara, Jagoi/Singai, Biatah dan Bukar Sadong. Dan pemakaian gegelung tembaga ini hanya berlaku di dalam etnik Bidayuh Biatah yang mendiami satu perkampungan yang dinamakan Kampung Semban, Daerah Kecil Padawan, Serian.


Budaya pemakaian gegelung tembaga ini juga dikenali sebagai rasung atau ruyang di dalam masyarakat Bidayuh Biatah. Budaya rasung atau ruyang ini adalah dengan memakai gegelung yang diperbuat daripada tembaga di bahagian betis kaki atau lengan tangan. Pemakaian gegelung tembaga ini dikatakan dilakukan sejak dari kecil lagi iaitu seawal usia kanak-kanak perempuan 10 tahun dan sesuai dengan tumbesaran semulajadi seorang manusia maka gegelung ini akan sentiasa ditukar mengikut peringkat umur si pemakai.


Jika dilihat daripada mata kasar, gegelung yang digunakan seakan-akan diperbuat daripada emas tetapi ianya diperbuat daripada campuran tembaga. Gegelung ini diperbuat sendiri oleh wanita masyarakat Bidayuh Biatah mengikut segala kepakaran yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Setakat ini di mana asal-usul budaya gegelung tembaga untuk masyarakat Bidayuh Biatah ini masih lagi belum terungkap kerana pemakaiannya hampir sama dengan apa yang menjadi warisan masyarakat Kayan di Burma dan juga Matabele di Afrika.


Suatu waktu dahulu, budaya memakai gegelung ini merupakan satu kemestian di dalam masyarakat Bidayuh Biatah kerana ianya adalah simbol kepada kecantikan seorang wanita di dalam masyarakat tersebut. Dikatakan bahawa proses pemakaiannya untuk kali pertama adalah satu proses yang amat menyakitkan namun kerana ini adalah lambang kepada kecantikan maka segala kesakitan akan ditahan asalkan ianya memberi satu impak apabila dilihat kepada masyarakat kelak.


Pada zaman dahulu dikala amalan pagan atau animesme masih lagi diamalkan, masyarakat Bidayuh Biatah mempercayai hanya wanita yang memakai gegelung tembaga sahaja yang dibenarkan untuk menghadiri upacara perayaan serta turut serta di dalam melakukan Rejang iaitu Tarian Helang yang merupakan salah satu ritual suci di dalam masyarakat Bidayuh. Selain itu, status wanita yang memakai gegelung akan dipandang tinggi di dalam mencari calon suami kerana suatu waktu dahulu ini adalah antara perkara asas yang dilihat oleh calon mentua di dalam masyarakat Bidayuh Biatah. Dikatakan sewaktu dahulu, lagi banyak gegelung tembaga yang dipakaikan maka lagi tinggi status seseorang wanita Biatah tersebut.


Walau bagaimanapun sesuai dengan masa yang beredar dengan begitu pantas, budaya pemakaian gegelung tembaga ini sudah tidak diwajibkan keatas generasi muda masyarakat Bidayuh Biatah lagi. Ditambah lagi ramai generasi muda masyarakat Bidayuh Biatah yang berpendidikan dan tidak merasakan ianya satu keperluan untuk meneruskan pemakaian gegelung tembaga ini.

Budaya pemakaiannya juga semakin pudar apabila pada tahun 1970an, pemakaian gegelung tembaga untuk pelajar ke sekolah telah diharamkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga tiada lagi generasi yang meneruskan kesinambungan pemakaian gegelung tembaga ini di bumi Sarawak sekarang. Sehingga ke hari ini hanya tinggal 6 orang sahaja wanita daripada masyarakat Bidayuh Biatah yang masih mengamalkan budaya memakai gegelung tembaga ini dan kesemua mereka sudah pun di mencecah usia emas.


Apakah ada generasi muda yang masih ingin mewarisi kesinambungan budaya ini atau suatu hari nanti mungkin kita hanya mampu melihat gambar-gambar sahaja sebagai satu memori silam bahawa budaya ini pernah wujud di Sarawak Bumi Kenyalang.


Lan Berambeh Ke Sarawak!


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page