top of page

TRADISI NYABONG MANOK


TRADISI NYABONG MANOK (SABUNG AYAM)

- Asal Bermulanya Tradisi Nyabong Manok Di Dalam Masyarakat Iban


Sabong Manok dengan perjudian berpisah tiada! Itulah pandangan skeptikal masyarakat yang tidak mengetahui mengapa sukan ini diadakan. Hakikatnya tradisi nyabong manok atau di dalam bahasa standard sabung ayam atau laga ayam merupakan salah satu permainan tradisi yang telah diwarisi dari generasi ke generasi di dalam masyarakat etnik Iban Sarawak sejak dahulu lagi.


Yang menjadikan ianya dikatakan penuh perjudian apabila ada unsur-unsur luar yang bukan tradisi masyarakat Iban mula menular di dalam sukan tradisi ini sekarang. Hakikatnya nyabong manok ini juga turut menjadi permainan tradisi bagi masyarakat yang lain samada Melayu, Kedayan, Kenyah, Kayan dan banyak lagi namun untuk kali ini kita akan melihat konteksnya dengan cerita legenda dan peraturan-peraturan yang digunapakai oleh masyarakat Iban itu sendiri.


Suatu waktu dahulu nyabong manok merupakan permainan hiburan bagi warga penduduk rumah panjang terutamanya di dalam musim perayaan atau perkahwinan dan sebagainya yang mana ketika itu keseluruhan kaum keluarga sahabat handai berkumpul. Dan kerana itulah ianya tidak menghairankan ada sesetengah keluarga mempunyai jagoan-jagoan manok sabong yang handal-handal belaka. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa tradisi nyabong manok ini sebenarnya mempunyai nilai-nilai penghidupan yang sendiri kerana bukan satu kerja yang mudah untuk menjadi jagoan manok sabong kerana pemerhatian, penjagaan serta mengetahui tentang sifat manok sabong itu juga sesuatu yang menuntut keperluan dan kaitan dengan penghidupan seorang anak iban.


Mengikut sejarah oral masyarakat Iban, bermulanya tradisi nyabong manok ini dimulai oleh 2 versi cerita yang berbeza-beza. Versi pertama ada menyebut bahawa nyabong manok ini dimulai oleh seorang Raja Iban yang bernama Raja Machan. Beliau dikatakan telah mengadakan pertandingan nyabong manok ini dengan seorang lagi pemimpin Iban suatu waktu dahulu yang bernama Ambong Mungan. Kerana jagoan manok sabong Raja Machan lebih kuat daripada jagoan manok sabong Ambong Mungan akhirnya manok sabong Ambong Mungan kalah dan mati di dalam pertandingan tersebut. Kerana merasa maruahnya tercalar akibat kalah di tangan pertandingan nyabong manok itu akhirnya telah membawa Ambong Mungan mengembara sehingga ke alam ghaib bagi mencari jagoan manok sabong yang terhandal.


Di dalam pencarian itulah dikatakan Ambong Mungan telah berjumpa dengan Raja Petara iaitu dewa suci masyarakat Iban. Permintaan Ambong Mungan dengan Raja Petara yang meminta beliau diberikan jagoan manok sabong yang terkuat akhirnya diperkenankan dan Raja Petara telah menghadiahkan beliau seekor manok sabong yang bernama “Tuntong Lang Ngindang Terbai, Biring Belangking Pipit Kechuai”. Jagoan manok sabong ini adalah jagoan manok sabong yang tidak pernah kalah di dalam pertandingan nyabong manok. Gembira dengan hadiah yang diterimanya akhirnya Ambong Mungan kali ini telah mengatur sendiri pertandingan nyabong manok dengan Raja Machan.


Apabila pertandingan semula ini berlangsung ternyata jagoan “Tuntong Lang Ngindang Terbai, Biring Belangking Pipit Kechuai” menang dan ini telah berjaya menebus maruah Ambong Mungan kembali dan akhirnya membawa kepada kembali bertaut hubungan silaturrahim antara Raja Machan dengan Ambong Mungan yang agak goyah sebelum ini. Sejak itu juga dikatakan pertandingan nyabong manok terus berlangsung di dalam komuniti Iban.


Sejarah oral masyarakat Iban untuk versi kedua mengatakan bahawa tradisi nyabong manok ini dimulai oleh seorang anak Iban yang bernama Kendawa. Diceritakan Kendawa ini seorang yang tidak pernah kenal erti mengalah dan walaupun beliau banyak kali kalah di dalam pertandingan nyabong manok, beliau sentiasa tidak pernah lelah untuk berusaha. Akhirnya membawa beliau untuk berkunjung ke alam yang lain semata-mata untuk mencari jagoan manok sabong yang terhandal. Di alam lain inilah Kendawa dikatakan telah bertemu dengan Ensing Jara iaitu dewa yang bertanggungjawab menjaga kesemua jagoan manok sabong di dunia. Dari Ensing Jara inilah Kendawa diceritakan mendapat jagoan manok sabong yang bernama “Biring Gerunggang”. Sejak itu “Biring Gerunggang” dikatakan jagoan manok sabong yang tiada tara kekuatannya di dalam pertandingan nyabong manok.


Berdasarkan kepada 2 versi cerita legenda oral masyarakat Iban ini yang mengatakan asal bermulanya pertandingan nyabong manok ini memberikan kesimpulan bahawa nyabong manok ini sebenarnya bukanlah satu yang boleh dianggap suka-suka sahaja sebaliknya memerlukan keazaman yang utuh si pemilik jagoan manok sabong. Hanya mereka yang benar-benar berusaha sahaja akan melakukan apa sahaja untuk memiliki yang terbaik. Malah nyabong manok ini juga dikatakan satu pertandingan yang suci di alam lain kerana disinilah Dewa perang Iban seperti Sengalang Burong berjaya menewaskan musuhnya seperti Apai Sabit Berkait, Nising dan Beduru.


Di dalam sejarah masyarakat Iban juga adanya menyatakan bahawa pertandingan nyabong manok ini juga adalah satu pertandingan yang diadakan bagi mendapat wilayah ataupun perluasan kuasa. Ianya terjadi suatu waktu dahulu apabila tiada kata pemutus untuk mendapatkan wilayah Sebayan. Dikatakan Raja Niram dari Sebayan telah menggunakan pertandingan nyabong manok untuk mengalahkan Bujang Langgah Lenggan yang terkenal dengan keperwiraannya. Kalahnya Bujang Langgah Lenggan pada pertandingan nyabong manok akhirnya Raja Niram memiliki wilayahnya tanpa perlu untuk bermandikan darah manusia sebagai korbannya.


Suatu waktu dahulu pertandingan nyabong manok bukan boleh diadakan sebegitu sahaja sebaliknya ianya mempunyai etika dan peraturan yang tertentu yang melibatkan warisan adat dan tradisi masyarakat Iban itu sendiri. Dahulu dikatakan bahawa ianya hanya diadakan 2 kali setahun iaitu yang pertama diadakan antara Jun hingga Julai iaitu ketika kemuncak kepada pesta menuai bagi masyarakat Iban. Kemudian untuk yang kedua pula diadakan antara Ogos dan September. Kedua-duanya inilah dipanggil “Sabong Taun” menurut tradisi masyarakat Iban.


Di dalam tradisi masyarakat Iban juga pada sebelah malam sebelum “Sabong Taun” dimulai, kesemua pemilik jagoan manok sabong yang hendak bertanding akan berhimpun di rumah panjang mereka dengan adanya Lemambang yang akan memulakan pemujaan ritual bagi memanggil kesemua semangat di alam ghaib untuk bersama-sama turut serta . Di ketika inilah Lemambang akan menyanyikan mantera yang bernama “Renong Kayau” iaitu salah satu lagu mantera yang juga dinyanyikan sebelum pahlawan Ngayau memulakan ekspedisi Ngayau mereka.


Melihat kepada kesamaan ini bolehkah dikatakan bahawa pertandingan nyabong manok ini bukanlah sesuatu yang biasa-biasa sahaja sebaliknya ianya melibatkan maruah dan simbol kepahlawanan masyarakat Iban itu sendiri berdasarkan kepada kekuatan jagoan manok sabong yang akan menyertai pertandingan nyabong manok itu kelak. Jadi kepada mereka yang skeptikal tentang tradisi nyabong manok ini adalah diminta untuk memahami dahulu apakah tradisi ini kepada masyarakat Iban itu sendiri kerana ianya merupakan satu tradisi dan juga budaya yang telah diwarisi beratus-ratus tahun dahulu daripada nenek moyang masyarakat Iban itu sendiri.


Sejajar dengan waktu apabila arus dunia kemodenan telah meliputi keseluruhan aspek penghidupan masyarakat Iban di Sarawak, pertandingan nyabong manok ini masih lagi diteruskan cuma sekarang ianya mempunyai undang-undang yang telah dikeluarkan oleh pemerintah Kerajaan Negeri Sarawak. Setiap acara nyabong manok yang diadakan sekarang haruslah memohon lesen daripada kerajaan tempatan di kawasan yang hendak diadakan. Gelanggang nyabong manok juga harus menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Bagi yang engkar dengan tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan sudah tentu hukuman akan menanti mereka jika ditangkap kelak.


Perlulah difahami bahawa tradisi nyabong manok bagi masyarakat Iban Sarawak iaitu satu sukan tradisi yang telah diwarisi berkurun lamanya. Nyabong manok ini juga ada sejarahnya dan juga ritual tradisi yang sememangnya simbolik kepada kepahlawanan dan norma penghidupan positif di dalam masyarakat Iban itu sendiri.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page