KERAJAAN SEKADAU , KALIMANTAN BARAT, BORNEO
KERAJAAN SEKADAU , KALIMANTAN BARAT, BORNEO
- Pendirinya suku Dayak Mualang
Kerajaan Sekadau merupakan salah satu kerajaan yang diasaskan oleh masyarakat pribumi Borneo dan ianya wujud sekitar pada abad ke 15 Masihi lagi. Lokasinya adalah di Kabupaten Sekadau, Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia. Keunikan kerajaan yang diasaskan oleh suku dayak Mualang ini adalah dari segi susur galur keturunannya serta pengasasnya iaitu Patih Bangi yang juga merupakan pecahan rombongan Dara Nante dan Singa Patih Bardat. Rombongan yang mencari satu tanah suci masyarakat Dayak Borneo yang bernama Tampung Juah adalah susur galur kebanyakan masyarakat Dayak di Borneo.
Menurut ceritanya, Patih Bangi dan rombongannya adalah mereka yang mula-mula membuka wilayah Sekadau dan terdapat 2 versi di dalam menceritakan bagaimana Sekadau mendapat namanya. Menurut versi yang tercatat di dalam dokumen sejarah lama menyatakan bahawa Sekadau itu mendapat nama dari sejenis pohon yang tumbuh meliar di sungai dan pohon tersebut dipanggil Batang Adau. Dan apabila dipertuturkan oleh masyarakat tempatan akhirnya ianya menjadi Sekadau.
Bagi versi kedua berdasarkan kepada cerita legenda masyarakat suku dayak Mualang pula berdasarkan kepada cerita lisan dari satu generasi ke satu generasi yang lain mengkisahkan bahawa Sekadau mendapat nama apabila Patih Bangi dan rombongannya kali pertama menjejakkan kaki di kawasan Sekadau. Mengikut dialek mereka setiap hal baru mereka akan menyebut “Baru Adau” yang bermaksud baru melihat dan akhirnya ia dipertuturkan berulang-ulang jadilah Sekadau.
Apabila membuat pencerahan mengenai kerajaan kuno ini maka tidak boleh tidak ianya hampir sama dengan kerajaan-kerajaan kuno yang lain iaitu pada awalnya diasaskan oleh masyarakat dayak Borneo yang mempunyai pengaruh Hindu dan seterusnya apabila kedatangan agama Islam di bumi Borneo ianya menjadi satu kerajaan yang mengamalkan corak Islam di dalam pemerintahannya yang dikenali dengan nama Kesultanan Sekadau.
Kerajaan Sekadau Di Bawah Pengaruh Hindu
Pendiri awal Kerajaan Sekadau adalah seorang masyarakat pribumi Dayak Borneo yang bernama Patih Bangi. Pada masa itu diceritakan bahawa rombongan Patih Bangi telah meneruskan perjalanan ke hulu Sungai Kapuas setelah berpecah dengan rombongan Dara Nante dan Patih Singa Barbai. Apabila mereka menemui satu kawasan yang subur dan amat molek untuk dijadikan satu kerajaan di Sungai Sekadau akhirnya mereka membuka satu kerajaan Dayak disitu.
Patih Bangi bukanlah sembarangan orang malah beliau juga diceritakan sebagai seorang pahlawan suku dayak Mualang yang terkenal jadi amatlah tidak menghairankan jika kewujudan Sekadau sebagai sebuah kerajaan dayak kuno suatu waktu dahulu amat digeruni oleh banyak kerajaan-kerajaan kuno yang lain. Apabila beliau meninggal dunia maka ditabalkan puteranya yang bernama Cuat menggantikan beliau sebagai raja di Kerajaan Sekadau. Cuat memerintah dari tahun 1530 Masihi sehingga ke 1550 Masihi.
Selepas Cuat meninggal dunia ianya diganti oleh anakandanya iaitu Nang Manlang (1550 – 1570), Nang Lukis (1570-1600) dan seterusnya Abang Budang yang merupakan pemerintah terakhir Kerajaan Sekadau yang masih lagi di dalam pengaruh Hindu di dalam sistem pemerintahannya. Pada ketika ini lokasi ibukota bagi Kerajaan Sekadau adalah di Daerah Kematu.
Kerajaan Sekadau Di Bawah Pengaruh Islam
Kerajaan Sekadau benar-benar sebagai sebuah kerajaan yang gah dan makmur adalah apabila ianya diperintah oleh Pangeran Engkong. Beliau digambarkan sebagai seorang pemerintah yang paling bijak mentadbir sehingga memungkinkan Kerajaan Sekadau itu sebagai satu kerajaan yang kuat. Walaupun beliau sudah memeluk Islam pada ketika itu dikatakan bahawa beliau tetap menghormati mana-mana masyarakat Sekadau yang masih enggan memeluk Islam dan mereka dibenarkan untuk menjalankan ritual agama mereka. Inilah menyebabkan raja Sekadau ini amat disayangi oleh rakyatnya.
Diceritakan Pangeran Engkong ini dikurniakan dengan 3 orang putera dan seharusnya putera sulungnya iaitu Pangeran Agong yang layak untuk mewarisi raja Sekadau namun begitu sejak dari awal lagi Pangeran Engkong mengetahui bahawa putera keduanya iaitu Pangeran Kadar lebih bijak untuk memerintah Kerajaan Sekadau. Apabila ayahandanya Pangeran Engkong meninggal dunia yang ditabalkan menjadi Raja Sekadau adalah Pangeran Kadar dan ini menyebabkan Pangeran Agong merajuk membawa diri sehingga ke Lawang Kuwari. Di Lawang Kuwari dikatakan Pangeran Agong hidup sendiri dengan masyarakat pribumi yang lain.
Sebaliknya putera yang bongsu iaitu Pangeran Senarong telah diamanahkan oleh Pangeran Kadar untuk menjadi penguasa di wilayah Belitang iaitu salah satu tanah jajahan Kerajaan Sekadau ketika itu. Dan adik yang bongsu ini merupakan seorang adinda yang taat kepada kakandanya dengan lebih menumpukan kemajuan wilayah Belitang yang agak mundur ketika itu menjadi antara daerah yang paling banyak perhasilan uftinya bagi Kerajaan Sekadau suatu waktu dahulu.
Perginya Pangeran Kadar menyahut seruan ilahi telah membenarkan Kerajaan Sekadau mempunyai seorang raja yang baru iaitu anakanda Pangeran Kadar sendiri yang bernama Pangeran Suma. Diceritakan Pangeran Suma ini adalah seorang yang pandai ilmu agama Islam kerana sejak di zaman remaja lagi telah dihantar untuk mempelajari selok belok agama Islam di Kerajaan Mempawah. Apabila beliau memerintah beliau telah memindahkan lokasi Kerajaan Sekadau ke Sungai Bara dan disanalah beliau telah mendirikan Masjid Sekadau yang menjadi simbol keutuhan agama Islam di bumi Sekadau suatu waktu dahulu.
Kerajaan Sekadau Di Bawah Pengaruh Belanda
Di ketika pemerintahan Pangeran Suma ini syiar Islam di bumi Sekadau telah banyak memakmurkan Kerajaan Sekadau dan sekitarnya. Pada ketika inilah Belanda yang pada asalnya datang ke Sekadau untuk berniaga akhirnya mencampuri urusan pemerintahan Kerajaan Sekadau. Apabila Abang Tondong yakni anakanda Pangeran Suma naik takhta dengan gelaran Sultan Anum sudah ada suara-suara sumbang daripada pemerintahan Belanda di Sekadau pada masa itu.
Dan ianya semakin rumit apabila Abang Ipong dinaikkan menjadi raja Sekadau akibat campurtangan daripada Belanda walaupun Abang Ipong bukanlah berasal dari susur galor raja Sekadau. Ini kerana putera mahkota iaitu Abang Usman masih kecil. Abang Usman adalah putera hasil perkahwinan Pangeran Suma dengan seorang puteri ketua adat suku Dayak Sekadau yang amat dihormati. Kerana tidak mahu anakandanya yang masih kecil diapa-apakan maka dibawanya Abang Usman kembali ke kampungnya di Nanga Taman hidup seperti rakyat biasa.
Sementara raja Sekadau berikutnya adalah Gusti Mekah yang menggelar dirinya Panembahan Gusti Mekah Kesuma Negara. Kerana Gusti Mekah ini mempunyai salsilah sebenar raja Sekadau maka beliau tidak begitu menyukai campurtangan Belanda di dalam sistem pemerintahan Kerajaan Sekadau. Maka apabila anakandanya Panembahan Gusti Ahmad Sri Negara naik takhta ianya tidak diterima oleh Belanda. Pada ketika itulah Belanda telah memainkan taktik kotor dengan menangkap kesemua kaum keluarga Panembahan Gusti Mekah tidak kira lelaki dan perempuan, tua ataupun muda dan mereka kesemuanya diasingkan ke Malang, Jawa Timur atas tuduhan menghasut para pembesar dan rakyat Sekadau melawan Belanda di Sekadau.
Sebagai raja boneka Belanda, diangkat pula Panembahan Haji Gusti Abdullah yang bergelar Pangeran Mangku. Namun begitu ketika itu ianya bukan bercorak raja lagi di dalam sistem pemerintahannya sebaliknya ianya dijatuh taraf oleh Belanda sebagai Penguasa Sekadau sahaja. Kemudian diangkat pula Panembahan Gusti Akhmad dan seterusnya Gusti Hamid. Kesemua mereka ini hanyalah “raja boneka” Belanda tanpa ada apa-apa kuasapun terhadap Sekadau pada masa itu.
Kerajaan Sekadau Sewaktu Penaklukan Jepun di Borneo
Apabila Perang Dunia kedua meletus, Sekadau juga turut sama jatuh dibawah penaklukan Jepun. Pada masa itu Gusti Kelip menjadi penguasa Sekadau namun begitu diceritakan Gusti Kelip tidak boleh menerima pendudukan Jepun di Sekadau. Gusti Kelip dengan beberapa pembesar serta rakyat jelata yang menyokongnya cuba menentang Jepun di Sekadau namun begitu akhirnya beliau ditangkap pada tahun 1944 dan dihukum pancung oleh pemerintahan Jepun.
Jepun yang cuba memainkan peranannya di Sekadau telah mengangkat Gusti Adnan iaitu seorang pembesar Kerajaan Sekadau sebagai Raja Sekadau. Gusti Adnan bukanlah orang asal Sekadau sebaliknya beliau adalah rakyat di wilayah Belitang yang dikuasai oleh Gusti Kolen. Setelah Jepun menyerah kalah, Sekadau kekal diperintah oleh Gusti Adnan dengan dibantu oleh Gusti Kolen sebagai penasihatnya.
Pembubaran Kerajaan Sekadau
Di ketika banyak kerajaan-kerajaan di Kalimantan, Borneo yang dimansuhkan sistem pemerintahan berajanya pada awal tahun 1949 kerana di ketika itu bagi membenarkan sebuah republik yang bernama Republik Indonesia ditubuhkan, Kerajaan Sekadau masih lagi utuh sebagai sebuah kerajaan bercorak raja. Sehinggalah pada awal Jun 1952, barulah Kerajaan Sekadau dimansuhkan dan Sekadau kekal sebagai sebuah wilayah Republik Indonesia sehinggalah sekarang.
#KamekSayangSarawakBah!