top of page

LEGENDA DAYANG ISAH TANDANG SARI


LEGENDA DAYANG ISAH TANDANG SARI


Pusa adalah salah satu daripada pekan kecil di Daerah Saribas. Jika berkunjung ke sini adalah tidak lengkap sekiranya seseorang itu tidak melawat Makam Dayang Isah Tandang Sari, salah seorang puteri yang diceritakan sebagai seorang puteri yang mempunyai kesaktian yang tiada tolok bandingnya suatu waktu dahulu. Cerita Dayang Isah Tandang Sari ini sentiasa diperturunkan dari generasi ke generasi di kalangan Melayu Saribas.


Al-sahibul hikayat suatu waktu dahulu ketika Saribas di bawah kekuasaan Sultan Brunei, Sultan Brunei telah menghantar wakilnya untuk memerintah Saribas iaitu Datuk Temenggung Pengiran Abdul Kadir. Maka datanglah Datuk Temenggung dan isterinya mendiami Saribas Pusat yang dikenali dengan nama Tandang Sari (Sekarang dikenali dengan nama Pusa). Datuk Temenggung diceritakan sebagai seorang pemerintah yang sangat adil dan saksama serta amat dikasihi oleh rakyat Saribas.


Walau bagaimanapun, perkahwinannya dengan Dayang Siti Hajar belum lagi dikurniakan cahayamata biarpun sudah tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan. Walaupun mereka hidup bahagia tetapi jauh di sudut hati mereka berdua hidup akan lebih bahagia jika mempunyai anak. Diceritakan pada satu malam, Datuk Temenggung telah bermimpi yang dia telah mendengar satu suara di dalam mimpinya yang mengarahkan beliau pergi ke hulu Sungai Tandang Sari. Di Sungai Tandang Sari ini dia dikatakan akan menemui serumpun buluh betong dan di dalam buluh betong itulah nanti beliau akan menjumpai apa yang diimpikan selama ini.


Setelah bangun keesokan harinya, mimpi itu telah diceritakannya kepada isterinya Dayang Siti Hajar, maka setelah keizinan diberikan oleh isterinya maka berangkatlah Datuk Temenggung ke Sungai Tandang Sari. Pemergian Datuk Temenggung ke hulu Sungai Tandang Sari tidak membawa pengiringnya seperti kebiasaan pembesar yang lain kerana Datuk Temenggung merasakan ini adalah suatu yang terlalu bersifat peribadi dan tidak mahu ianya menjadi buah mulut rakyat setempat nanti.


Maka berkayuhlah Datuk Temenggung seorang diri dengan perahu koleknya dan yang menjadi peneman adalah sebilah pedang turun temurun warisan keluarganya yang dikatakan mempunyai kesaktian tersendiri yang diberi nama “Pedang Gempetar Alam”. Di dalam perjalanan ini, Datuk Temenggung sentiasa siaga andainya ada rumpun buluh betong seperti yang diceritakan di dalam mimpinya. Akhirnya terlihatlah beliau serumpun buluh betong yang bertepatan dengan mimpinya.


Beliau terus mengikat perahunya dan naik ke darat. Terus ditebangnya buluh betung tersebut dan dijumpainya sebiji telur di dalam buluh betong seperti apa yang diceritakan di dalam mimpinya semalam. Datuk Temenggung membalut telur tersebut dengan kain agar telur ini tidak pecah untuk dibawa pulang ke rumah. Sesampai di rumah terus diberinya telur tersebut kepada isterinya Dayang Siti Hajar sambil berpesan agar menjaga telur tersebut dengan baik-baik.


Pada sebelah malam sewaktu Datuk Temenggung dan isterinya sedang tidur di dalam keheningan malam, tiba-tiba mereka terdengar seperti ada suara budak kecil menangis. Dan setelah diselidiki rupa-rupanya suara tangisan itu datang daripada telur yang dibawanya tadi dan ternyata telur tersebut telah menetaskan seorang bayi yang cukup comel di dalam serba serbi. Walaupun kehairanan, kedua-dua suami isteri tetap bersyukur kerana apa yang dipohon selama ini telah dimakbulkan.


Datuk Temenggung dan isterinya Dayang Siti Hajar sebulat suara menamakan anak mereka ini dengan nama Dayang Isah. Dayang Isah sebagai anak tunggal keluarga telah dibesarkan umpama menatang minyak yang penuh kerana dialah cahaya di dalam rumahtangga Datuk Temenggung. Apabila menjangkau dewasa, Dayang Isah diceritakan amat cantik rupa parasnya. Kulitnya putih melepak dengan rambut yang ikal mayang sudah tentu inilah gadis rebutan pemuda-pemuda di Tandang Sari pada masa itu.


Namun Datuk Temenggung sesuai dengan pangkat kebesarannya tidak mahu mereka yang sembarangan menjadi menantunya lalu menetapkan sesiapa yang boleh memberi maskahwin 100 tahil emas dan mempunyai keturunan keluarga yang disalsilahkan maka itulah pilihannya. Di dalam diam-diam, rupanya Dayang Isah menaruh hati kepada seorang pemuda tempatan iaitu Abang Bunut. Abang Bunut diceritakan seorang pemuda yang peramah, jujur, bersopan-santun dan berbudi bahasa telah mengait hati Dayang Isah dan oleh kerana Abang Bunut bekerja di istana Datuk Temenggung maka seringlah mereka berdua bersua muka. Hubungan mereka ini berjalan dalam rahsia tanpa diketahui oleh Datuk Temenggung, ayahanda Dayang Isah.


Kejelitaan Dayang Isah akhirnya sampai ke pendengaran seorang saudagar Palembang iaitu Nakhoda Khar. Nakhoda Khar yang di dalam pelayaran untuk berniaga ke Brunei telah singgah ke muara Sungai Saribas telah diberitahu tentang perkara ini. Berbunga-bungalah hati Nakhoda Khar untuk mengambil Dayang Isah sebagai permaisuri hatinya lagipun tiada masalah untuknya mengadakan mas kahwin 100 tahil emas kerana dia seorang saudagar dan dari keturunan keluarga yang baik-baik dan diketahui salsilahnya di Palembang.


Maka mengadaplah Nakhoda Khar ke istana Datuk Temenggung dan meluahkan hasrat hatinya. Pada mulanya Datuk Temenggung agak keberatan untuk menerima pinangan tersebut kerana hasrat hatinya biarlah Dayang Isah berkahwin dengan pemuda Tandang Sari kerana inilah satu-satu puteri tunggalnya tetapi apabila melihat kepada kesungguhan Nakhoda Khar yang berjanji tidak akan membawa Dayang Isah keluar daripada Tandang Sari selepas berkahwin maka pinangan itu diterima juga.


Sebagai seorang anak yang patuh kepada kehendak orangtua, Dayang Isah menuruti pilihan ayahandanya walaupun jauh di sudut hatinya kecewa mengenang si Awang Bunut tetapi inilah jodoh. Kita hanya mampu merancang hanya Allah yang menentukan segalanya. Selang sebulan maka berkahwinlah Dayang Isah dengan Nakhoda Khar yang mana majlis perkahwinan itu diadakan dengan besar-besaran sesuai dengan taraf Datuk Temenggung dan Nakhoda Khar yang kaya-raya itu.


Kerana tuntutan mencari nafkah, selang sepurnama selepas melayari bahtera perkahwinan bersama dengan Dayang Isah tibalah masanya untuk Nakhoda Khar pergi ke Brunei untuk berniaga. Belayarlah Nakhoda Khar menuju ke Brunei bersama-sama dengan anak-anak kapalnya. Walau bagaimanapun diceritakan sepanjang perjalanan itu hati Nakhoda Khar tidak berasa enak dan asyik teringat dengan isterinya Dayang Isah.


Di dalam kerisauan itu akhirnya Nakhoda Khas telah menukar haluan kapalnya menghala ke Tandang Sari kembali demi kasihnya kepada isterinya yang tercinta. Maka tibalah kapal Nakhoda Khar ke muara Sungai Saribas. Kerana kepulangannya hanya untuk menjenguk isterinya maka beliau meminta tiada anak kapal yang turun ke darat dan cukuplah beliau seorang kembali ke rumahnya. Nakhoda Khar terus mengayuh sampan seorang diri menuju ke Tandang Sari.


Semakin dekat langkahnya ke istana Datuk Temenggung semakin hatinya berdebar-debar dan alangkah murkanya Nakhoda Khar apabila mendapati isterinya yang beliau cintai iaitu Dayang Isah sedang berbual-bual mesra dengan Awang Bunut di tangga rumah mereka. Timbullah api cemburu Nakhoda Khar dan diselangi dengan hasutan syaitan maka berlakulah pergaduhan antara Nakhoda Khar dan Awang Bunut. Di dalam pergaduhan itu, Awang Bunut telah tewas di tangan Nakhoda Khar tanpa disengajakan. Kerana menyedari dirinya telah membunuh rakyat tempatan Tandang Sari, Nakhoda Khar melarikan diri dan terus menuju ke kapalnya yang berlabuh di muara Sungai Saribas.


Si Dayang Isah yang telah menyaksikan pergaduhan antara suaminya dan Awang Bunut sehingga “kekasih rahsianya” Awang Bunut terkorban, merasa sungguh kecewa dan akhirnya atas rasa bersalah yang amat sangat, Dayang Isah telah bertindak membunuh dirinya sendiri kerana beliau tidak mahu ada lagi kematian kerana berebut akan dirinya. Diambilnya keris untuk membunuh diri tetapi sayangnya keris tidak lut di badannya. Akhirnya Dayang Isah mengambil 7 helai rambutnya yang panjang dan dililitnya di leher lalu ditarik dan matilah Dayang Isah.


Kisah pergaduhan antara Awang Bunut dan Nakhoda Khar serta Dayang Isah yang membunuh diri tidak diketahui oleh Datuk Temenggung dan isterinya kerana mereka tiada di rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan rakyat tempatan di Tandang Sari. Apabila sampai di rumah, kedua-dua suami isterinya sedih dengan apa yang berlaku dan melalui penceritaan dayang-dayang di istana barulah beliau mengetahui hal yang sebenarnya. Datuk Temenggung amat marah dengan Nakhoda Khar kerana dialah punca segala kekecohan ini kerana terlalu cemburu tidak bertempat.


Bersama-sama pengikutnya yang setia yang bernama Lancang Mayang, Datuk Temenggung telah berperahu mengejar Nakhoda Khar. Diceritakan perahu kolek Datuk Temenggung yang dikayuh oleh Lancang Mayang amat laju sekali dan dikatakan Lancang Mayang menggunakan pengayuh selebar tiga hasta. Apabila sampai di kapal Nakhoda Khar maka terus dihunusnya pedang saktinya “Gempetar Alam” lalu terputus dua kapal Nakhoda Khar. Nakhoda Khar dan semua anak kapalnya mati lemas di Pulau Burung. Selepas itu pulanglah Datuk Temenggung dengan Lancang Mayang ke Tandang Sari dan terus menguruskan urusan pengebumian puteri tunggalnya yang tercinta iaitu Dayang Isah dan juga rakyat tempatan Awang Bunut.


Kewujudan makam Puteri Dayang Isah di Pusa sehingga sekarang adalah saksi bisu mengenai kebenaran legenda Dayang Isah Tandang Sari ini di dalam masyarakat Melayu Saribas. Walau apa juga ceritanya legendanya, yang pasti kehadiran Datuk Temenggung Pengiran Kadir, Datu Godam dan Dayang Isah mempunyai perkaitan yang rapat dengan asal keturunan Melayu Saribas serta kerajaan kuno yang hilang di bumi Sarawak yang dinamakan Kerajaan Negeri Saribas.



Nota : Foto untuk teaser artikel milik Chabien aka. McKibben Agin


bottom of page