top of page

LIPAN BARAM


LIPAN BARAM (TENTERA BARAM)


"….beta mempunyai 30,000 orang seperti ini yang sedia menurut perintah, dan beta yakin Orang Inggeris, Belanda, Perancis dan Sepanyol tidak akan mampu menentang mereka? Beta tahu orang-orang putih mahu mengambil Borneo, tetapi beta tidak pernah gentar....." - Sultan Abdul Kahar –


Inilah antara titah Sultan Brunei suatu waktu dahulu ketika ada rombongan bangsa Eropah yang berkunjung ke istana baginda di Negara Brunei Darussalam. 30,000 orang yang gagah berani ini adalah merujuk kepada pahlawan-pahlawan yang berasal daripada masyarakat pribumi di Baram yang juga dikenali sebagai “Lipan Baram”. Inilah sejarah yang akan dikongsi oleh Borneo Oracle pada kali ini dan sejarah ini sudah tentu tidak diketahui oleh bangsa Sarawak sendiri. Siapakah mereka yang digelar “Lipan Baram” atau tentera Baram ini kerana amat sedikit informasi mengenainya lebih-lebih lagi bangsa Sarawak sendiri amat kurang pendedahan tentang sejarah-sejarah sewaktu Sarawak menjadi tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam beratus-ratus tahun dahulu.


Suatu waktu dahulu dikala Baram merupakan salah satu tanah kuripan bagi Kesultanan Brunei Darussalam, penduduk pribumi Baram seperti etnik-etnik dari rumpun kaum Orang Ulu Sarawak merupakan antara pahlawan yang amat digeruni suatu waktu dahulu. Ianya adalah satu kenyataan yang tidak boleh disangkal kerana banyak penceritaannya di dalam dokumen-dokumen sejarah kuno Sarawak yang memperjelaskan betapa etnik-etnik seperti Kayan, Punan, Narum, Belawan serta banyak lagi etnik-etnik yang mendiami daerah Baram merupakan antara mereka yang begitu patuh kepada Kesultanan Brunei. Pada merekalah Kesultanan Brunei suatu masa dahulu bersandar harapan untuk menjaga tanah jajahan mereka daripada dicerobohi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Dan disinilah timbulnya nama Lipan Baram kerana pahlawan-pahlawan Dayak dari Baram inilah yang sebenarnya menjaga tanah kuripan Kesultanan Brunei yang lain seperti Miri, Tutong, Belait dan Limbang.


Menurut satu laporan daripada seorang bangsa Inggeris iaitu Tradescent Lay ada menyatakan di dalam laporannya iaitu “….tiga buah perahu kaum Dayak yang mengandungi 70 orang telah datang daripada kawasan pendalaman Baram..” peristiwa ini merujuk pada satu peristiwa bersejarah yang berlaku pada tahun 1837 apabila ada beberapa orang rombongan Inggeris telah datang mengunjungi Sultan Brunei. Tujuan kedatangan 3 buah perahu ini adalah atas kehendak Sultan Brunei yang cuba untuk menakut-nakutkan rombongan Inggeris ini memandangkan Sultan Brunei sudah mengetahui tujuan mereka adalah untuk membincangkan perluasan wilayah yang cuba dilakukan oleh Inggeris ke atas tanah jajahan milik Sultan Brunei.


Di dalam pertemuan tersebut, Sultan Brunei telah memberitahu kepada rombongan Inggeris ini betapa setianya kaum Dayak di Baram dengan pemerintahan mereka dan kerana itulah mereka dipanggil Lipan Baram atau Tentera Baram. Nama itu sahaja sudah cukup menggerunkan rombongan tersebut kerana siapa menduga di kawasan pendalaman seperti Baram mempunyai ramai pahlawan-pahlawan Dayak yang tidak gentar untuk berperang lebih-lebih lagi sudah menjadi tradisi kaum Dayak di Pulau Borneo yang terkenal dengan “ngayau” iaitu adat memotong kepala yang sememangnya amat ditakuti oleh bangsa Inggeris.


Kepercayaan Kesultanan Brunei di dalam menyandarkan harapan untuk tujuan keselamatan jajahannya kepada Lipan Baram terbukti pada tahun 1578 yang mana ketika itu Kota Batu, ibu kota Brunei Darussalam telah berjaya ditakluki oleh tentera Sepanyol. Pada masa itu Sultan Abdul Kahar yang juga lebih terkenal dengan jolokan “Marhum Keramat” telahpun turun takhta menjadi Paduka Seri Begawan Sultan Abdul Kahar dikatakan telah berundur bersama-sama dengan Lipan Baram yang mengawal baginda sehingga ke daerah Baram pada waktu itu. Sultan Abdul Kahar dijaga rapi oleh Lipan Baram sehingga baginda mangkat di Baram pada tahun itu juga. Ini sudah cukup untuk membuktikan betapa Lipan Baram amat sinonim di dalam pemerintahan Kesultanan Brunei sehingga pemerintah Brunei sendiri mempercayai mereka untuk menjaga keselamatan nyawannya sehingga baginda menghembus nafas yang terakhir di bumi Baram pada tahun 1578.


Umum mengetahui bahawa di sepanjang pemerintahan Sarawak menjadi salah satu tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam akan ada pemimpin-pemimpin di kalangan masyarakat pribumi akan diangkat menjadi wakil kepada Kesultanan Brunei itu sendiri. Jadi untuk di Baram, ada ramai nama-nama pemimpin yang telah menjadi pembesar Kesultanan Brunei dan kesemuanya adalah mewakili etnik-etnik yang dipanggil Lipan Baram itu. Dari etnik Lakiput atau Kiput diangkat Sakan Dapa menjadi Orang Kaya Pemancha Sakan. Sehingga ke hari ini dikatakan bahawa keturunannya masih lagi menyimpan sebilah keris yang dikurniakan kepada beliau sebagai tanda beliau pernah menjadi pembesar di Long Bam. Nama-nama besar seperti Orang Kaya Mana, Orang Kaya Tajan, Orang Kaya Ludan, Orang Kaya Talasat, Orang Kaya Lidam, Orang Kaya Panglima Lu merupakan antara pemimpin-pemimpin etnik-etnik pribumi dari Kaum Orang Ulu yang mendiami Baram suatu waktu dahulu adalah antara barisan pemimpin Lipan Baram yang gah namanya di seluruh tanah kuripan Kesultanan Brunei suatu waktu dahulu.


Inilah sejarah yang TIDAK DIDENDANGKAN buat pengetahuan kita sebagai Bangsa Sarawak di dalam memperjelaskan kaitan Lipan Baram atau Tentera Baram iaitu mereka yang pernah menjadi tulang belakang kepada keagungan empayar Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Sesungguhnya sejarah bangsa Sarawak BUKAN hanya bermula ketika pemerintahan Keluarga Brooke selama 100 tahun sebaliknya sejarah bangsa Sarawak adalah lebih lama daripada itu. Ketahuilah ia kerana sejarah ini adalah sejarah kita dan disinilah kita bermula sebagai satu bangsa yang utuh dan terbilang dengan kegagahannya sejak ratusan tahun dahulu.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page