FROM JULAU WITH LOVE
FROM JULAU WITH LOVE
Julau merupakan satu daerah kecil yang diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Sarikei, Sarawak. Berkeluasan 1703.39 km persegi merupakan satu daerah yang gah namanya di dalam rentetan sejarah Sarawak Bumi Kenyalang. Majoriti penduduk di Julau ini didominasi oleh etnik terbesar di Sarawak iaitu dari etnik Iban disamping kaum Cina Sarawak.
Semenjak Sarawak masih lagi menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei sehinggalah kepada peralihan menjadi sebuah Negara bergelar Sarawak Kingdom yang diperintah oleh Keluarga Brooke, Julau diletakkan dibawah juristifikasi Kanowit bidang kuasa Bahagian Ketiga. Apabila Sarawak membentuk Gagasan Malaysia pada tahun 963, Julau dipindahkan untuk menjadi sebahagian pembentuk kepada Bahagian Ke-6 iaitu Bahagian Sarikei.
Terkenal dengan jolokan daerah lada hitam di Sarawak kerana disinilah banyaknya penanaman lada hitam yang menjadi antara komoditi utama Sarawak Bumi Kenyalang. Ini sejajar dengan ceritera sejarah penghijrahan kaum Cina Sarawak iaitu dari etnik Fuzhou (Foochow) yang berasal dari daerah Fujian, China. Sekitar tahun 1900an, mereka telah dibawa masuk oleh pentadbiran Brooke untuk mula menanam lada hitam dan sebagainya. Dari daerah Sibu, akhirnya kaum Cina Fuzhou ini juga telah mula menduduki kawasan pendalaman Sarawak yang lain seperti Julau dan banyak lagi.
Salah satu keunikan untuk masyarakat di Julau adalah pada penduduknya yang berbilang kaum dan agama. Dan ianya terserlah pada perkahwinan campur di antara masyarakat yang mendiami Julau itu sendiri. Sudah menjadi lumrah di Julau sekiranya adanya raut wajah seperti anak Iban tetapi namanya mirip kepada nama kaum Cina dan begitulah sebaliknya kerana di Julau, perkahwinan campur antara etnik Iban dan kaum Cina sudah menjadi sebahagian daripada tradisinya. Malah bahasa juga tidak mempunyai masalah di Julau kerana rata-rata masyarakat yang mendiami Julau boleh berbahasa Iban dengan baik sekali.
Jika dilihat dari perspektif Julau sebagai salah satu empayar pembentuk Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu, sudah tentu ada penentangan yang dilakukan oleh penduduk tempatannya kerana tidak berpuashati dengan sistem pentadbiran Brooke di bumi Julau pada masa itu. Di Julau inilah seorang pahlawan Iban yang bernama Penghulu Asun “Bah Tunggal” telah bangun menentang pentadbiran Brooke di Julau.
Sekitar tahun 1929, telah berlaku satu penentangan yang dimulai oleh Penghulu Asun “Bah Tunggal” dari Entabai. Di dalam sejarah penentangan ini dikatakan bahawa Penghulu Asun dan ramai lagi ketua masyarakat Iban telah bertindak menentang perintah Rajah Brooke yang mengwajibkan setiap masyarakat Iban untuk membayar cukai atas senjata api yang dimiliki malah memiliki tajau juga turut dikenakan cukai.
Ini menimbulkan rasa ketidakpuasan hati masyarakat Iban pada masa itu kerana setiap meriam mahupun tajau yang dimiliki adalah harta warisan masyarakat Iban yang diwarisi zaman berzaman dari peninggalan nenek moyang mereka. Lagipun, masyarakat Iban telahpun mengeluarkan belanja yang banyak untuk membeli dan memulihara barangan warisan ini dan adalah tidak wajar ianya dikenakan cukai oleh Kerajaan Negara Sarawak. Walaupun ketidakpuasan hati mereka telah dipanjangkan kepada pentadbiran Kerajaan Negara Sarawak pada waktu itu namun tiada kesepakatan yang berjaya dilakukan antara kedua belah pihak.
Akhirnya Penghulu Asun dengan sokongan daripada Penghulu Kana dari Engkari, pahlawan Kendawang yang merupakan anak kepada Penghulu Janting “Lang Labang” dari Julau, Manang Bakak dari Pakan, Julau serta ramai lagi pahlawan-pahlawan masyarakat Iban dari generasi muda dari Machan, Poi, Ngemah, Kanowit, Julau dan Ulu Batang Ai telah bersatu menentang pemerintahan Rajah Brooke ketika itu.
Rajah Brooke yang berang kerana adanya penentangan daripada masyarakat Iban yang diketuai oleh Penghulu Asun “Bah Tunggal” telah bertindak memerangi mereka ini. Mereka telah bertempur dengan sengit sekali dan kekuatan tentera angkatan tentera Sarawak Kingdom tidak dapat ditangani oleh mereka.
Pada tahun 1935, Penghulu Asun “Bah Tunggal” telah ditangkap dan selepas itu saki baki sekutunya telah menyerah diri kepada pentadbiran Sarawak Kingdom pada waktu itu. Dengan perintah daripada Rajah Brooke, Penghulu Asun, Kana, Kendawang dan Mikai telah dibuang negeri ke Lundu. Manakala Manang Bakak telah dipenjarakan di Penjara Marudi pada waktu itu.
Pembinaan kubu adalah sinonim dengan pentadbiran Brooke di bumi Sarawak dan ianya tidak ketinggalan di bumi Julau apabila Brooke membina sebuah kubu yang dinamakan Kubu Brooke (Fort Brooke) di Nanga Meluan pada tahun 1935. Kubu ini dibina atas alas an untuk menyekat penentangan yang dilakukan oleh Penghulu Asun dan masyarakat Iban Julau pada masa itu. Pada ketika itu juga dikatakan bahawa pembinaan kubu ini adalah hasil jerit perih masyarakat Iban Julau yang mana telah diarahkan oleh Rajah Charles Vyner Brooke untuk mencari dan menyediakan buluh dan kayu belian.
Menurut ceritanya juga, tiang utama untuk setiap Kubu Brooke ini yang mana diperbuat daripada kayu belian merupakan hasil sumbangan daripada setiap rumah panjang Iban yang berada di dalam daerah Julau. Pembinaan Kubu Brooke ini siap pada tahun 1938 dan menjadi pusat pentadbiran Brooke di Julau pada waktu itu. Sekitar tahun 1954 sehinggalah 1981, Kubu Brooke ini digunakan oleh pentadbiran Julau dibawah Kerajaan Koloni British Borneo di Sarawak dan akhirnya digunakan oleh Jabatan Pendidikan Sarawak setelah Sarawak membentuk Gagasan Malaysia. Buat masa sekarang, Kubu Brooke masih lagi megah berdiri di Nanga Meluan sebagai salah satu saksi bisu rentetan Julau di dalam sejarah Sarawak Bumi Kenyalang.
Inilah sekelumit sumber informasi di dalam kita cuba mengenal satu lagi daerah kecil di Sarawak Bumi Kenyalang yang sudah tentu mempunyai cerita sejarahnya sendiri. Julau sebenarnya mempunyai banyak khazanah untuk diterokai lebih-lebih lagi di dalam mengenal budaya masyarakatnya.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.