ULAT MULONG
ULAT MULONG
“ Kamek urang Sarawak bukan jak makan pakuk TAPI kamek pun makan ulat tauk!”… mesti ramai yang terbeliak mata bila mendengar kenyataan itu jika dipertuturkan mengikut dialek bahasa melayu Sarawak. Di dalam bahasa Melayu standard ianya berbunyi “Kami orang Sarawak bukan sahaja makan paku pakis tetapi kami juga makan ulat ”.
Mungkin ramai yang geli geleman bila mendengar ulat menjadi hidangan tetapi itulah keunikannya yang akan menjadi satu lagi bahan wacana ilmu di dalam kita mengenal Sarawak. Ulat mulong yang gemuk serta berlemak ini mempunyai rasa yang enak seakan-akan keju. Ianya merupakan makanan tradisional bagi etnik-etnik pribumi di Sarawak Bumi Kenyalang sejak dahulu lagi. Ulat mulong di dalam bahasa Melanau dikenali dengan nama “si’et” manakala bagi masyarakat iban pula lebih dikenali dengan nama tinduh.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sebenarnya ulat mulong ini adalah sejenis larva yang dikeluarkan oleh sejenis kumbang yang habitatnya berada di dalam pokok sagu. Kumbang tersebut yang mengikut nama saintifiknya dikenali dengan nama Rhynchophorus ferrugineus,akan menjadi pohon sagu sebagai tempatnya untuk bertelur dan kitarannya setelah menjadi ulat akan membesar sebagai seekor kumbang bila ianya telah matang. Jadi sekiranya seseorang hendak mendapatkan ulat mulong bukanlah satu yang mudah kerana seseorang itu harus menebang pokok sagu untuk mendapatkan ulat tersebut yang berada di dalamnya. Inilah bermulanya ulat mulong ini yang ramai menyalah tafsirkan sama seperti spesis ulat-ulat yang lain.
Sebenarnya banyak kebaikan di dalam kita mengadaptasi ulat mulong sebagai satu makanan berkhasiat kerana ulat mulong di kaca mata masyarakat tempatan di Sarawak adalah satu makanan kesihatan yang tinggi nilainya. Jadi tidak menghairankan sekiranya harga untuk seekor ulat mulong ini di pasaran amatlah mahal iaitu ianya boleh mencecah sehingga RM0.50 sen seekor.
Ada beberapa kajian saintifik telah dijalankan yang menunjukkan bahawa ulat mulong mempunyai nilai protein yang tinggi serta ianya juga boleh mengurangkan masalah obesiti bagi manusia. Selain daripada itu minyak yang dihasilkan oleh ulat mulong ini sebenarnya amat berguna untuk mereka yang sedang mengalami keguguran rambut yang banyak kerana minyaknya boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan rambut yang lebat secara semulajadi.
Selera seseorang itu ada pelbagai di dalam memperkatakan keenakan memakan ulat mulong kerana ada seribu satu cara untuk memakannya. Ulat mulong juga boleh dimakan mentah dengan mencecahnya di dalam garam halus ataupun dinikmati bersama sagu. Hanya yang berani sahaja boleh memakannya hidup-hidup tetapi bagi yang tidak berani maka ulat mulong biasanya akan digoreng menjadi menu masak kicap. Sejajar dengan waktu juga menu ulat mulong telah ditransformasi mengikut selera sehingga ada yang menjadikan ulat mulong dimasak salai ataupun panggang.
Menu ulat mulong sebagai hidangan ini walaupun telah mula dimakan berabad lamanya di Sarawak Bumi Kenyalang dan ianya merupakan menu tradisi masyarakat Melanau Sarawak namun setelah ianya difatwakan oleh Majlis Agama Islam Sarawak sebagai haram memakannya bagi penganut agama Islam, sedikit demi sedikit masyarakat Islam telah tidak menjadikannya sebagai menu hidangan keluarga lagi Walaupun begitu, menu ulat mulong tetap menjadi pilihan popular bagi masyarakat bukan beragama Islam yang lain di seluruh pelusuk Sarawak Bumi Kenyalang.
Inilah antara makanan eksotik daripada Sarawak iaitu Ulat Mulong yang merupakan menu tradisi yang berabad lamanya telah wujud di bumi Sarawak. Sejajar dengan waktu ulat mulong sekarang juga mempunyai nilai komersil yang tinggi kerana khasiatnya yang pelbagai dan ramai juga yang menjadikan pemasaran ulat mulong sebagai satu pekerjaan untuk menyara keluarga mereka.
#KamekSayangSarawakBah!