DATU PATINGGI ABANG ALI BIN ABANG AMIR
DATU PATINGGI ABANG ALI BIN ABANG AMIR
Melayu Datu-datu.. itulah yang merujuk kepada mereka yang banyak berjasa di rentetan sejarah Sarawak sejak dari menjadi tanah kuripan Brunei sehinggalah ke Sarawak Kingdom dan seterusnya Sarawak Bumi Kenyalang sekarang. Kehadiran mereka di dalam mewarnai calendar sejarah Sarawak tidak boleh dipertikaikan. Malah ada antara mereka diangkat menjadi pahlawan Sarawak dari dahulu sehingga sekarang dan salah satunya adalah Datu Patinggi Abang Ali bin Abang Amir atau lebih dikenali sebagai Datu Patinggi Ali bagi rakyat Sarawak.
Ramai generasi baru Sarawak sekarang mungkin tidak mengenalinya kerana begitu kurang pendedahannya selain namanya disebut beberapa patah perkataan di dalam subjek Sejarah yang dibelajar sekarang. Namun begitu jika ke Tugu Pahlawan Sarawak sudah tentu kita akan melihat namanya sebaris dengan pahlawan Rentap serta beberapa orang lagi pahlawan Sarawak yang terbilang yang sama-sama bangun menentang pemerintahan Brunei mahupun pemerintahan Brooke di Sarawak.
Datu Patinggi Ali merupakan antara pahlawan Sarawak yang bangun menentang pemerintahan Brunei di Sarawak suatu waktu dahulu. Beliau menurut ceritanya merupakan antara keturunan secara langsung dengan Datu Merpati Jepang iaitu antara bermulanya Melayu Perabangan ataupun Melayu Datu-datu di Sarawak. Mengikut cerita orang tua-tua di Sarawak, Datu Merpati Jepang mempunyai 2 orang anak yang dinamakan Pateh Mengada dan Pateh Sangguna.
Asal Keturunan Melayu Datu-datu Sarawak
Dari Pateh Mengada ini dikurniakan dengan seorang anak lelaki bernama Pateh Malang yang kemudiannya memperisterikan cucu kepada Abang Kuli. Abang Kuli merupakan antara pemimpin sebuah perkampungan di persisiran muara Sungai Sarawak yang bernama Pasir Kuning iaitu nama lama bagi Santubong sekarang. Dari sinilah bermulanya sebuah kerajaan kuno yang hilang yang dinamakan Kerajaan Negeri Santubong yang diasaskan oleh Raden Datu Merpati Jepang seorang putera dari Tanah Jawa.
Hasil perkahwinan Pateh Malang dengan cucu Datu Kuli telah dikurniakan dengan sepasang anak iaitu Abang Kuntum dan Dayang Paku. Dan oleh kerana ketika itu Sarawak merupakan tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei, maka diangkatlah Abang Kuntum menjadi Datu Patinggi bagi menguruskan wilayah Sarawak. Sudah menjadi adat dan tradisi setiap pembesar yang dilantik akan mewarisi pangkat ayahnya maka setelah pemergian Datu Patinggi Abang Kuntum maka jawatan tersebut diwarisi oleh Datu Patinggi Betong.
Dari keluarga Pateh Sangguna pula mempunyai seorang anak lelaki yang dinamakan Abang Kertang. Dari keturunan Abang Kertang ini lahirlah seorang anak lelaki yang bernama Abang Ali yang akhirnya dilantik dengan jawatan Temenggong. Dari keturunan Abang Ali inilah lahirnya nama-nama seperti Datu Temenggong Abang Metang dan juga akhirnya diwarisi oleh anaknya Datu Temenggong Abang Bunian. Kesemua gelaran pembesar-pembesar di Sarawak seperti Datu Patinggi Seri Setia, Datu Shahbandar Indera Wangsa, Datu Amar Seri Diraja dan Datu Temenggong Laila Wangsa merupakan gelaran yang dikurniakan oleh Sultan Brunei sejak dahulu lagi dan ianya masih lagi digunapakai sehingga sekarang.
Dari keturunan Pateh Malang iaitu Datu Patinggi Betong iaitu legasi keturunan ke-empatnya lahirlah seorang anak Melayu Datu-datu yang mula-mula sekali berpindah dari Kerajaan Santubong ke kawasan yang dinamakan Lidah Tanah iaitu satu lokasi antara 2 cabang Sungai Sarawak yang dinamakan Sungai Sarawak Kanan dan Sungai Sarawak Kiri. Beliau bernama Abang Kaim yang akhirnya meneruskan legasi Melayu Datu-datu melalui anak kembarnya yang bernama Datu Abang Kebar. Hasil perkahwinan anak kembarnya Datu Abang Kebar dititipkan 6 orang legasi keturunannya yang bernama Datu Patinggi Mir, Datu Patinggi Hashim, Dayang Daun dan Dayang Karamatiku. Diceritakan Dayang Karamatiku ini mengahwini seorang kerabat diraja Brunei.
Dari keturunan Datu Patinggi Hashim pula lahirnya penerus legasi Melayu Datu-datu di Sarawak iaitu yang bernama Abang Ali, Datu Bandar Rannah, Abang Razak dan Abang Amir. Menerusi perkahwinan Abang Amir dan isterinya Dayang Yong maka lahirlah seorang pahlawan Sarawak yang bernama Datu Patinggi Abang Ali atau lebih dikenali dengan nama Datu Patinggi Ali.
Datu Patinggi Ali di dalam kronologi sejarah Sarawak sebagai tanah kuripan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam.
Sekitar abad ke 18 masihi, Sultan Brunei telah melantik Abang ali sebagai Datu Patinggi Seri Setia bagi menjaga urusan pentadbiran di Sarawak. Pada ketika itu Sarawak bukanlah sebesar Sarawak sekarang Cuma ianya meliputi kawasan Lidah Tanah. Apabila adanya penemuan antimoni di Sarawak iaitu di kawasan yang bernama Bau maka ketika pemerintahan Sultan Muhammad Kanzul Alam iaitu Sultan Brunei yang memerintah pada waktu itu telah melantik seorang pembesar dari Kerajaan Brunei yang bernama Pengiran Muhammad Salleh ibnu Pengiran Sarifuddin sebagai Gabenor Sarawak yang baru.
Pada masa itu juga , etnik Melayu Sarawak, Bidayuh dan kaum Cina telah terlebih dahulu mendiami Sarawak. Mereka tinggal di Seniawan, Lidah Tanah dan Ketupang yang tidak berapa jauh dari bandar Kuching. Mereka ini adalah pengikut setia kepada Datu Patinggi Ali. Sewaktu Pangeran Indera Mahkota memerintah Sarawak inilah dikatakan beliau telah menjalankan dasar pentadbiran yang keras dan zalim terhadap penduduk tempatan Sarawak.
Dasar pentadbiran yang berbentuk “kuku besi” ini telah mengeksplotasi rakyat tempatan dengan Pangeran Mahkota dan pengikutnya yang terdiri daripada orang besar Brunei bukan sahaja telah mengambil beras, ikan, sarang burung dan hasil-hasil lain malah dengan sesuka hatinya mereka tidak membayar harga barang yang telah diambilnya. Mereka juga mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat tempatan.
Datu Patinggi Ali adalah antara pelopor di dalam membuka lombong mencari batu perak iaitu antimoni dan juga emas di Bau. Batu perak dan emas yang mereka perolehi itu telah dibeli oleh Pangeran Indera Mahkota dengan harga yang murah atau dirampas sahaja dengan sesuka hati. Pembesar-pembesar Brunei juga bagaikan “kaduk naik junjung” apabila dengan sesuka hatinya menangkap orang Melayu Sarawak, Bidayuh dan Cina untuk dijual sebagai hamba abdi.
Melihat kepada kezaliman pemerintahan pembesar Brunei ke atas rakyat tempatan Sarawak pada masa itu maka Datu Patinggi Ali bersatu dengan masyarakat Dayak dan Cina bangun memberontak pada tahun 1836 hingga 1840. Peristiwa pemberontakan ini telah mendesak Sultan Brunei untuk menghantar Pengiran Muda Hashim ke Sarawak tetapi malangnya kedatangan Pengiran Muda Hashim tidak juga mampu mengekang kezaliman Pengiran Mahkota yang terus-terusan menzalimi rakyat tempatan dan pemberontakan yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali juga semakin kuat apabila pada tahun 1838 telah mendapat pertolongan sepenuhnya daripada Sultan Sambas yang berbentuk sokongan untuk membekalkan ubat bedil dan barangan makanan.
Datu Patinggi Ali juga dikatakan memohon bantuan daripada Koloni Belanda tetapi permohonan beliau ditolak kerana pemerintah Belanda tidak mahu mencampuri urusan dalam negeri Sarawak. Mahu tidak mahu kerana keadaan terlalu mendesak maka Pengiran Muda Hashim memohon bantuan daripada James Brooke, pelayar Inggeris yang mempunyai armada laut dan meriam yang cukup kuat untuk mengekang pemberontakan tempatan.
Setelah kata sepakat diambil di antara Pengiran Muda Hashim dan James Brooke dengan menjadikan Seniawan dan Sarawak (Kuching) sebagai habuan maka pada tahun 1840, James Brooke dengan kapalnya “Royalist” yang dilengkapi dengan 2 buah meriam dengan beberapa pengikut setianya telah bergabung dengan pasukan Pengiran Muda Hashim dan memulakan peperangan menentang pasukan pemberontak yang diketuai Datu Patinggi Ali di Lidah Tanah. Namun pada masa itu pasukan James Brooke dan Pengiran Muda Hashim telah mengalami tentangan yang hebat daripada pasukan Datu Patinggi Ali sehingga memaksa mereka berundur ke Kuching semula.
Pada 20 Disember 1840, sekali lagi pasukan James Brooke dan Pengiran Muda Hashim melakukan peperangan keatas Datu Patinggi Ali dan pengikutnya dan kali ini ianya berlaku di Sikudis. Kali ini kemenangan berada di pihak James Brooke apabila Pangeran Matusin dan Datu Patinggi Ali telah datang kepada James Brooke dan memohon perdamaian dan dipersetujui sendiri oleh James Brooke. Dikatakan terdapat persefahaman antara mereka mengapa ingin berdamai kerana mereka juga mengetahui bahawa James Brooke akan memastikan pemerintahan Brunei di Sarawak akan menemui noktahnya.
Datu Patinggi Ali di dalam kronologi Sejarah Sarawak Kingdom di bawah Brooke
Setelah berjaya mendamaikan pemberontakan tempatan di Sarawak yang dipelopori oleh Datu Patinggi Ali, akhirnya James Brooke melalui perjanjiannya dengan Pengiran Raja Muda Hashim akhirnya mendapat Sarawak seperti yang dijanjikan. Kerana beliau telah berkuasa sepenuhnya maka hal pertama yang dilakukan oleh Brooke adalah memecat kesemua pembesar Brunei yang memegang pentadbiran di Sarawak ketika itu. Dikala inilah James Brooke mengangkat pemimpin-pemimpin Melayu serta anak tempatan yang lain yang dipercayai telah menyokong beliau di dalam memastikan tiada lagi pengaruh Kerajaan Kesultanan Brunei di Sarawak.
James Brooke telah mengangkat pemimpin-pemimpin seperti Datu Patinggi Ali, Datu Temenggung Abang Mersal, Datu Bandar Ranca, Muhammad Lana Ali, Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur dan Pangeran Matusin di dalam pentadbiran Sarawak Kingdom. Dari mereka inilah beliau mendapat khidmat nasihat kerana James Brooke percaya hanya anak tempatan Sarawak yang lebih memahami apa kehendak dan kemahuan rakyat Sarawak pada masa itu.
Sewaktu menjadi antara orang penting di dalam kerajaan Sarawak Kingdom dibawah James Brooke, Datu Patinggi Ali telah banyak menyertai ekspedisi-ekspedisi yang dijalankan oleh Brooke bagi memastikan rakyat menerima pentadbiran Brooke di Sarawak. Antaranya adalah pada tahun 1844, ketika bersama-sama dengan armada tentera Sarawak Kingdom iaitu yang dinamakan Perang Patusan 1844 di Datu Patinggi Ali telah terkorban.
Maka gugurlah seorang pahlawan Sarawak ini yang namanya sebaris dengan pahlawan-pahlawan Sarawak yang lain seperti Rentap dan sebagainya. Perlulah diketahui bahawa Datu Patinggi Ali adalah pahlawan yang menentang pemerintahan Brunei di Sarawak suatu masa dahulu. Dan beliau antara nama-nama besar yang menjadi tulang belakang pemerintahan anak tempatan Sarawak ketika Sarawak dibawah pentadbiran Rajah Brooke dan banyak jasa-jasa beliau di dalam mempengaruhi pemerintahan Sarawak Kingdom pada masa itu juga mengambilkira penglibatan anak Sarawak dan apa yang diperlukan oleh anak Sarawak didalam menggubal undang-undangnya .
Legasi keturunan Datu Patinggi Ali yang seterusnya yang sama berjuang untuk semangat anak Sarawak adalah Datu Patinggi Abang Haji Abdillah iaitu salah seorang pelopor gerakan anti-penyerahan Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo suatu waktu dahulu.