top of page

RAJAH MUDA ANTHONY WALTER DAYRELL BROOKE (1912-2011)


RAJAH MUDA ANTHONY WALTER DAYRELL BROOKE (1912-2011)


Suatu waktu dahulu ketika Sarawak dibawah pemerintahan Keluarga Brooke yang memerintah Negara Sarawak selama lebih 100 tahun, kita mengetahui bahawa terdapat 3 rajah yang ditabalkan secara rasmi sebagai Rajah Brooke iaitu Rajah James Brooke, Rajah Charles Brooke dan akhirnya Rajah Charles Vyner Brooke. Namun disebalik daripada tindakan Rajah terakhir ini terdapat satu konspirasi yang menidakkan hak kepada seorang Rajah Muda keluarga Brooke yang sepatutnya mewarisi tampuk pemerintahan legasi Brooke iaitu Rajah Muda Anthony Walter Dayrell Brooke, satu-satunya waris lelaki kepada Bertram Willes Dayrell Brooke, adik kepada Rajah Charles Vyner Brooke.


Umum mengetahui bahawa di dalam sistem beraja di Sarawak Kingdom berdasarkan kepada konstitusi penubuhan Sarawak Kingdom, hanya waris lelaki yang dibenarkan untuk menjadi Rajah Sarawak Kingdom tetapi malangnya untuk Rajah Charles Vyner Brooke, beliau hanya dikurniakan dengan 3 orang anak perempuan. Untuk itu, gelaran rajah muda pada masa pemerintahannya telah diberikan kepada adik beliau iaitu Bertram Willes Dayrell Brooke. Selepas Rajah Kedua Rajah Charles Brooke meninggal dunia tampok pemerintahan telah diberikan kepada Rajah Charles Vyner Brooke dengan dikongsi bersama Rajah Muda Bertram Willes Dayrell Brooke.


Setiap kali Rajah Charles Vyner Brooke ke luar negara untuk bercuti terutamanya, Rajah Muda Betram Willes Dayrell Brooke akan mengemudi jentera kerajaan Sarawak Kingdom. Selepas beliau jatuh sakit saraf dan tidak boleh menjalankan tugas-tugas beliau sebagai Rajah Muda, gelaran tersebut telah diberikan kepada Anthony Walter Dayrell Brooke, satu-satunya waris lelaki kepada Rajah Muda Betram Willes Dayrell Brooke.


Anthony Walter Dayrell Brooke lebih dikenali sebagai nama Peter di kalangan ahli keluarganya. Beliau dilahirkan pada 10hb Disember 1912. Beliau merupakan anak keempat dan anak lelaki tunggal bagi Rajah Muda Bertram Willes Dayrell Brooke dan Ranee Muda Gladys.


Anthony dibesarkan di England dan mendapat pendidikan di Eton dan setahun kemudian meneruskan pengajiannya di Trinity Cambridge. Beliau telah mengambil jurusan Bahasa Melayu dan Undang-undang Islam di Oriental School of London sebagai persediaan beliau untuk ke Borneo. Pada Jun 1934, Anthony telah belayar ke Borneo untuk kali pertama di dalam hidupnya. Semasa di Borneo, Anthony telah dipinjamkan untuk menjalan tugas di bawah Perkhidmatan Awam Malaya dibawah pemerintahan Koloni British. Beliau menjawat jawatan sebagai Majistret di Malaya sehinggalah pada tahun 1936 beliau diarahkan untuk kembali ke Sarawak Kingdom bagi berkhidmat dengan bapa saudaranya Rajah Charles Vyner Brooke.


Di Sarawak, beliau telah dihantar untuk bertugas di dalam pentadbiran di Nanga Meluan, Marudi dan di ibu pejabat Sekretariat Kuching sebelum bertindak melanjutkan pelajaran di dalam jurusan pentadbiran kolonial di University of Oxford pada tahun 1938. Pada tahun 1939 iaitu selepas menamatkan pengajiannya di Oxford, Anthony telah kembali berkhidmat semula di Sarawak Kingdom dan kali ini ditugaskan untuk menjadi Pegawai Daerah di Mukah.


Pada masa inilah ayahnya Rajah Muda Bertram telah jatuh sakit dan tidak berupaya untuk meneruskan tanggungjawabnya sebagai Rajah Muda Sarawak Kingdom. Rajah Charles Vyner Brooke kemudian menganugerahkan gelaran Rajah Muda kepada Anthony sebagai pengganti kepada ayahnya maka jadilah beliau sebagai Rajah Muda Anthony Walter Dayrell Brooke, Rajah Muda bakal pengganti kepada Rajah Ke-3 Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Vyner Brooke pada waktu itu. Tugas pertama Rajah Muda Anthony adalah semasa pada bulan April 1939 iaitu semasa Rajah Charles Vyner Brooke kembali ke England untuk bercuti selama 6 bulan. Rajah Muda Anthony telah menjadi peneraju pentadbiran kerajaan Sarawak Kingdom.


Di dalam tempoh itu, Rajah Muda Anthony telah membuat beberapa pembaharuan seperti penggubalan peraturan pendidikan, undang-undang hukuman sebat serta polisi perlindungan untuk wanita dan gadis bawah umur di Sarawak. Dalam waktu yang sama, Rajah Muda Anthony juga membuat pengistiharan mengenai sokongan Sarawak Kingdom kepada Britain di dalam perang terhadap Jerman dan Itali pada masa itu. Boleh dikatakan sepanjang ketiadaan Rajah Charles Vyner Brooke, Rajah Muda Anthony telah menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi dan bersemangat sehingga Gabenor Negeri Selat, Sir Shenton Thomas memuji pentadbiran beliau yang disifatkan lebih baik daripada Rajah Charles Vyner Brooke sendiri.


Sekembali Rajah Charles Vyner Brooke dari bercuti di England pada tahun 1939, beliau telah mendengar cerita-cerita tidak baik tentang Rajah Muda Anthony daripada penjawat-penjawat kanan Eropah di pentadbiran Sarawak Kingdom yang pastinya tidak gemar dengan pembaharuan yang telah dibuat oleh Rajah Muda Anthony. Beliau dilaporkan sebagai seorang yang bongkak, tidak mahu menerima nasihat daripada penjawat kanan yang lain dan ternyata Rajah Charles Vyner Brooke termakan hasutan daripada mereka.


Ini dtambah lagi dengan kecenderungan daripada Ranee Sylvia yang menabur fitnah bahawa Rajah Muda Anthony telah menyalahguna kuasa di atas kedudukannya sebagai Rajah Muda pada masa ketiadaan Rajah Charles Vyner Brooke. Kemuncaknya Rajah Charles Vyner Brooke telah melucutkan gelaran Rajah Muda daripada Anthony yang ketika itu yang baru sahaja mengahwini Kathleen Hudden dan sedang bercuti berbulan madu di Sumatera. Kesemua tudukan fitnah ini disangkal sama sekali oleh Anthony.


Pada tahun 1941, sekali lagi Rajah Charles Vyner Brooke telah mengembalikan gelaran Rajah Muda kepada Anthony dan beliau telah diperintahkan untuk kembali ke Sarawak Kingdom. Kali ini Rajah Muda Anthony telah ditugaskan untuk menjadi Pegawai Daerah di Kuching. Walau bagaimanapun, sekali lagi Rajah Muda Anthony tidak sependapat dengan Rajah CV Brooke dan beliau telah terlalu banyak membantah pelbagai aspek perlembagaan baru yang dicadangkan oleh penjawat kanan Eropah di Sarawak dan sekali lagi Rajah Charles Vyner Brooke bertindak mengusir Anthony dari bumi Sarawak dan melucutkan gelaran Rajah Mudanya.


3 bulan kemudian, Sarawak telah jatuh ke tangan Jepun dan Rajah Charles Vyner Brooke telah kembali ke England. Ketika di England inilah, Anthony telah mendaftar untuk menjadi askar di dalam Tentera Diraja British. Pada tahun 1944, beliau ditugaskan sebagai askar dibawah Lord Louis Mountbatten di Ceylon, sewaktu inilah Kerajaan Koloni British melalui wakilnya telah membuat perbincangan dengan Rajah Charles Vyner Brooke untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu tanah jajahan Koloni British.


Pada mulanya Rajah Charles Vyner Brooke tidak mahu menyerahkan Sarawak dan mengambil cara mudah dengan memberikan gelaran Rajah Muda kembali kepada Anthony agar semua permasalahan ini terletak di bahu Rajah Muda Anthony yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Kerajaan Sementara Sarawak Kingdom di London. Rajah Muda Anthony menentang sekeras-kerasnya usaha menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan Koloni British. Walaupun ada bantahan daripada Rajah Muda Anthony namun Rajah Charles Vyner Brooke yang telah muak untuk memerintah akhirnya bersetuju untuk menyerahkan Sarawak dengan sedikit imbuhan kepada dirinya dan keluarganya. Sekali lagi di dalam memastikan bahawa usaha ini berjaya, Rajah Charles Vyner Brooke telah melucutkan gelaran Rajah Muda Sarawak daripada Anthony buat kali terakhirnya.


Penyerahan Sarawak ini telah membangkitkan semangat Anti-Penyerahan daripada rakyat Sarawak Kingdom yang mahukan Rajah Muda Anthony diberikan kuasa semula dan menggantikan Rajah Charles Vyner Brooke. Ini kerana hanya dengan kembalinya Rajah Muda Anthony Brooke barulah Perlembagaan 1841 itu berjaya dilunaskan iaitu mengembalikan Sarawak kepada pemerintahan rakyatnya sendiri dan menjadi merdeka sebagai sebuah Negara.


Kerana tidak mahu hal ini terjadi, Koloni British telah MENGHARAMKAN Anthony untuk kembali ke Sarawak Kingdom sepanjang anti-cessionist itu berlangsung kerana dikatakan akan lebih memburukkan keadaan. Malah Anthony juga telah didakwa bersekongkol di dalam plot pembunuhan Sir Duncan Steward oleh Koloni British. Gabenor British Sir Duncan Stewart yang telah dibunuh oleh Allahyarham Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13, walau bagaimanapun tiada bukti kukuh yang dapat mensabitkan beliau di dalam plot pembunuhan tersebut.

Anthony yang terkenal sebagai seorang yang menyintai keamanan dan tidak mahu adanya sebarang keributan berlaku di Sarawak, akhirnya pada tahun 1951 telah melucutkan semua tuntutannya ke atas Sarawak Kingdom secara rasmi dan beliau lebih selesa untuk hidup sebagai rakyat biasa di perantauan. Anthony akhirnya menghembuskan riwayatnya yang terakhir pada 2hb Mac 2011 di Wangunui, New Zealand pada usia 98 tahun.


Pada 21hb September 2013, satu lagi peristiwa mewarnai rentetan sejarah Brooke di Sarawak apabila abu kepada Rajah Muda Anthony Walter Dayrell Brooke, akhirnya selamat disemadikan di kawasan perkuburan bersebelahan dengan Kubu Margherita, Kuching, Sarawak. Dan sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Keluarga Brooke serta Kerajaan Negeri Sarawak sekarang itu adalah semata-mata untuk menunaikan wasiat terakhir Rajah Muda Anthony Walter Brooke yang mahukan abunya disemadikan di Sarawak.


bottom of page