SISTEM “KITA BORUNEO”
SISTEM “KITA BORUNEO”
- Pemerintahan Tentera Jepun Di Sarawak (1941-1945)
Perang Dunia Kedua yang meletus pada akhir tahun 1941 telah banyak menukar senario politik di seluruh dunia pada suatu ketika dahulu dan ini tidak terkecuali dengan tanahair kita iaitu Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan keluarga Brooke iaitu ketika pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke, rajah ketiga Sarawak Kingdom. Walaupun pada tahun 1888, Sarawak Kingdom menjadi negara perlindungan bagi Kerajaan Mahkota British namun ianya masih juga tidak dapat membantu Sarawak Kingdom kerana pada masa itu juga Koloni British bergelumang dengan perang yang sama di negara jajahannya.
Banyak juga persediaan yang telah dilakukan oleh Rajah Charles Vyner Brooke untuk menghadapi Perang Dunia Kedua ini ketika itu namun akhirnya Sarawak Kingdom jatuh juga di tangan tentera Nippon Go pada tanggal 16hb Disember 1941 dengan lokasi Bandar Miri sebagai Bandar yang pertama di Sarawak ditakluki.
Setelah keseluruhan Sarawak Kingdom ditakluki akhirnya pihak tentera Jepun telah mula memperkemaskan sistem pentadbiran di Sarawak mengikut apa yang dipanggil sebagai sistem “Kita Boruneo”. Untuk artikel sejarah pendudukan Jepun pada kali ini, Borneo Oracle akan memaparkan sejarah sistem pemerintahan tentera Jepun di Sarawak memandangkan amat sedikit informasi sejarah tentang Sarawak di waktu Jepun berada di Sarawak
Sistem pentadbiran yang digunapakai di bumi Sarawak dan juga keseluruhan Pulau Borneo (termasuk North Borneo, Koloni Belanda) pada masa itu dikenali dengan nama KITA BORUNEO. Pada ketika ini keseluruhan taklukan Jepun di Pulau Borneo adalah dibawah kawal selia Leftenan Jeneral Marquess Toshinari Maeda. Pusat pemerintahan tentera Jepun di Sarawak pada asalnya adalah Miri, Sarawak namun sekitar April 1942 ianya telah berpindah ke Kuching, Sarawak.
Ini kerana Leftenan Jeneral Maeda merasakan tidak ada kesesuaian untuk menjadikan Miri sebagai pusat pemerintahan tentera di Sarawak sedangkan selama ini sewaktu Sarawak di bawah pemerintahan Brooke, Kuching merupakan ibukotanya. Setelah Leftenan Jeneral Maeda terkorban sewaktu nahas udara ketika di dalam perjalanan ke Pulau Labuan pada 5hb September 1942, pemerintah tentera Jepun telah diambilalih oleh Leftenan Jeneral Yamawaki Masataka. Beliau berkhidmat sebagai pemerintah tentera sehingga 22hb September 1944.
Melalui pentadbiran Kita Boruneo, setiap jajahan takluk di bumi Sarawak boleh diawasi dengan sebaik mungkin oleh tentera-tentera Jepun. Di dalam pentadbiran Kita Boruneo ini Sarawak dan Brunei dirangkumkan menjadi satu dan setiap pentadbiran yang Sarawak/Brunei dikenali sebagai “shu”. Pembahagian “shu” ini adalah seperti berikut:
i. Kuching-shu, ii. Miri-shu (termasuk Brunei) iii. Sibu-shu.
Di setiap “shus” ini akan dilantik seorang yang berpangkat Gabenor yang boleh dipilih di kalangan orang-orang Jepun yang ada di Sarawak atau rakyat tempatan Sarawak yang layak dan menyokong pendudukan Jepun di Sarawak. Inilah kriteria pemimpin-pemimpin atau ketua-ketua yang diiktiraf oleh pentadbiran tentera Jepun pada masa itu. Di samping itu jawatan Residen dikekalkan dan seterusnya barulah penglibatan daripada Ketua Kampung. Pada dasarnya setiap ketua penjawat awam bagi pentadbiran Sarawak pada masa itu adalah di kalangan tentera Jepun sendiri dan penjawat-penjawat biasa adalah di kalangan masyarakat tempatan Sarawak sendiri. Namun begitu setiap keputusan dan halatuju jabatan adalah urusan pegawai tentera Jepun yang sudah terpilih.
Walaupun pihak tentera mempunyai kuasa yang penuh di dalam apa jua situasi di bumi Sarawak sewaktu pendudukan Jepun namun begitu untuk pendekatan dengan masyarakat tempatan, pemerintah tentera Jepun di Sarawak juga menggunakan perkhidmatan polis mereka yang dikenali sebagai Kempetai. Kempetai adalah anggota polis Jepun yang dibawah seliaan Panglima Tentera Jepun dan Kementerian Pertahanan Jepun. Mereka yang menganggotai Kempetai adalah mereka yang berasal daripada penduduk tempatan Sarawak sendiri dan merekalah umpama mata dan telinga bagi pemerintahan tentera Jepun di Sarawak pada waktu itu.
Di Sarawak, ibu pejabat Polis Kempeitai adalah di sebuah banglo 2 tingkat di Jalan Jawa, Kuching. Di banglo inilah seringkali dilakukan penyiksaan yang kejam dilakukan oleh Kempeitai anak tempatan Sarawak ke atas rakyat Sarawak yang lain yang enggan tunduk kepada pemerintahan tentera di Jepun pada masa itu. Melihat kepada banyak juga penentangan yang dilakukan oleh rakyat Sarawak maka pada bulan November 1942, akhirnya pemerintahan tentera Jepun di Sarawak telah menubuhkan Mahkamah Tempatan Sarawak dengan setiap kes penentangan ke atas Jepun akan diadili di bawah Kanun Keseksaan Sarawak.
Sebenarnya tidak banyak yang perubahan pentadbiran yang dapat dilakukan oleh Jepun di Sarawak pada masa itu kerana kesan kepada Perang Dunia Kedua ke atas Sarawak amatlah teruk sekali. Sewaktu disaat akhir kalahnya Rajah CV Brooke, beliau juga telah mengarahkan perintah “bumi hangus” iaitu satu prosedur yang akan meletupkan semua infrastruktur ekonomi di Sarawak bagi mengelakkan Jepun dapat menuai penghasilannya. Ini menyebabkan banyak daripada masa Jepun adalah untuk membaiki semula telaga minyak, sistem perhubungan seperti landasan keretapi, lombong-lombong antimoni agar Jepun dapat membawa hasilnya kembali ke negara mereka iaitu Negara Jepun.
Secara totalnya rakyat Sarawak ketika zaman pendudukan Jepun juga hidup sengsara dengan kadar pengangguran yang tinggi serta kadar jenayah curi juga meningkat. Ditambah lagi dengan Jepun yang cuba untuk menukar matawang Sarawak Dollar kepada matawang Jepun yang tidak mempunyai nilai pada masa itu. Ekonomi Sarawak merundum dan tiada usaha untuk Jepun membaikinya.
Ketika pendudukan Jepun di bumi Sarawak ini, pihak tentera berikat yang diwakili oleh Tentera Australia telah menjalankan operasi gerila di bumi Sarawak iaitu satu taktik serang hendap keatas mana-mana tentera Jepun ketika itu. Operasi Komando Semut yang bermula di Bario, Miri ini telah menular keseluruh bumi Sarawak pada waktu itu dengan penglibatan daripada anak Sarawak sendiri iaitu pahlawan-pahlawan etnik Dayak seperti Kelabit, Iban, Penan dan banyak lagi.
Oleh kerana pemerintah Jepun menggeruni mereka maka pada tahun 1944, Leftenan Jeneral Yamawaki juga telah mengwujudkan pasukan separa tentera yang mana kira-kira 1,300 orang dari kalangan anak tempatan Bangsa Sarawak daripada etnik Dayak juga diambil dan tujuannya adalah bersama-sama dengan tentera Jepun untuk membanteras sebarang perang gerila yang dijalankan oleh Operasi Komando Semut. Namun begitu dikatakan bahawa idea ini tidak begitu berkesan kerana etnik Dayak tidak mahu memberi kerjasama seperti yang dipinta oleh pemerintah tentera Jepun.
Apabila Jepun menyerah kalah setelah pengeboman Nagasaki dan Hiroshima oleh tentera perikatan., pemerintah tentera Jepun di Borneo turut melakukan perkara yang sama. Wilayah Borneo pada masa itu adalah dibawah pemerintah tentera nya iaitu Jeneral Masao Baba telah menyerah kalah di Surrender Point, Labuan pada 10 September 1945. Serentak dengan itu juga, pemerintah tentera di Sarawak iaitu Jeneral Yamamura telah menyerahkan pedang samurainya kepada Brigadier Eastwick iaitu seorang pemerintah tentera Australia yang mewakili Sarawak pada masa itu.
Musim Jepun merentah Sarawak bukanlah sesuatu yang memori yang indah bagi seluruh rakyat Sarawak kerana secara totalnya sepanjang pendudukan Jepun di Sarawak tiada banyak yang dilakukan melainkan penghidupan yang susah dan payah akibat daripada bencana peperangan. Sesungguhnya perang itu hanyalah membawa kebinasaan semata-mata .
#KamekSayangSarawakBah!