“BORNEO” NAMA DIBERI
“BORNEO” NAMA DIBERI
Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia. Ianya dikelilingi oleh Laut China Selatan di utara dan barat laut. Di bahagian timurnya pula menghampar Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Selat Makasar. Di bahagian selatan Borneo pula adalah Laut Jawa dan Selat Karimata. Pulau Borneo juga di sebelah baratnya adalah Semenanjung Malaysia dan Sumatera dan di sebelah selatan adalah Jawa manakala di sebelah timur adalah Sulawesi dan timurnya pula adalah Filipina.
Dengan keluasannya iaitu 743,330 km persegi, Pulau Borneo merupakan pulau terbesar di Nusantara dan pulau Borneo terdiri daripada 4 negara iaitu Sarawak dan Sabah yang dikenali sebagai Malaysia Timur. Sarawak dan Sabah berserta Semenanjung Malaysia adalah negara pembentuk Gagasan Malaysia. Kalimantan pula merupakan salah satu daripada wilayah Republik Indonesia. Manakala Negara Brunei Darussalam merupakan satu lagi negara yang juga lokasinya terletak di Pulau Borneo.
Di Borneo inilah terletaknya Gunung Kinabalu, Sabah, Malaysia iaitu merupakan puncak tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 4,095 meter dari aras permukaan laut. Gunung Kinabalu ini bukan sahaja puncak tertinggi di Malaysia malah ianya juga merupakan puncak ketiga tertinggi di Asia Tenggara. Selain daripada jika dilihat daripada sungainya pula Sungai Kapuas yang terletak di Kalimantan Barat merupakan sungai yang terpanjang di Republik Indonesia manakala Sungai Rejang merupakan sungai yang terpanjang di Malaysia.
Inilah Pulau Borneo yang gah namanya daripada puncak tertinggi sehingga ke sungai-sungainya yang panjang. Selain daripada Pulau Borneo juga mempunyai seribu satu lagi keindahan baik daripada segi budaya dan warisannya yang tidak pernah ada di tempat lain di seluruh dunia. Borneo Nama Diberi… itulah tajuk artikel pada kali ini sebagai satu perkongsian informasi untuk kita semua. Ini kerana dunia mengetahui bahawa Pulau Borneo ini adalah antara nama pulau yang mempunyai paling banyak panggilannya suatu waktu dahulu.
Po-Li / Po-Lo / Po-Ni / Bun-Lai
Menurut catatan daripada pengembara dari Tembok Besar China sekitar abad ke 8 hingga 9, Borneo dicatatkan sebagai Po-Li atau Po-Lo atau Po-Ni atau Bun-Lai. Di ketika itu dicatatkan juga bahawa di Borneo sudah pun mempunyai banyak peradaban iaitu kerajaan kuno negeri yang juga mempunyai hubungan perdagangan dengan saudagar dari Tembok Besar China.
Chua Jui Ka
Pada tahun 1225 seorang penjawat dari Tembok Besar Negara China yang datang ke Borneo pernah mencatatkan di dalam jurnal perjalanan yang merujuk Borneo sebagai Chua Jui Ka.
Suvarnadyipa
Jika Suvarnabhumi yang bermaksud Tanah Emas adalah merujuk kepada Semenanjung Asia Tenggara termasuk Burma dan Semenanjung Thai dan juga Semenanjung Malaysia suatu waktu dahulu. Suvarnadyipa pula yang bermaksud Kepulauan Emas adalah merujuk kepada kepulauan-kepulauan sekitaranya dan ini termasuk Pulau Borneo suatu waktu dahulu.
Ini termasuklah Sumatera dan Jawa seperti di kawasan tanah tinggi Minangkabau dan Borneo yang sememangnya kaya dengan perlombongan emas yang diusahakan secara kaedah primitif suatu waktu dahulu.
Nama Suvarnadyipa itu adalah ketika Borneo rata-ratanya wilayahnya adalah di dalam pengaruh empayar besar Srivijaya. Nama Suvarnadyipa ini juga digunakan di dalam teks-teks kuno Hindu dan Pulau Chryse yang merujuk kepada empayar Srivijaya yang kewujudannya adalah pada abad ke-7 sehingga ke-11.
Bona Fortuna
Asal nama Bona Fortuna ini adalah daripada bahasa Itali yang bermaksud bernasib baik atau Good Luck di dalam bahasa Inggeris. Bona Fortuna ini adalah merujuk kepada perjalanan bangsa Eropah yang telah masuk ke kawasan pendalaman di Pulau Borneo yang penuh dengan kekayaan fauna dan flora malah juga binatang-binatangnya yang unik yang tidak seperti di tempat lain.
Boni
Menurut sumber-sumber dokumen sejarah bangsa Cina juga menunjukkan bahawa Borneo juga dikenali sebagai Boni. Ini kerana hubungan diplomatic terawal di Borneo dengan negara China dicatatkan sudahpun terjalin sejak kewujudan Negara Brunei yang wujud pada sekitar abad ke-7 seperti yang dicatit di dalam Taiping Huanyuji (978M). Namun begitu pada ketika itu Negara Brunei diperintah oleh raja-raja yang mempunyai pengaruh Hindu dan beragama pagan.
Bornei
Sekitar abad ke-14 hampir keseluruhan bumi Borneo dikuasai oleh empayar Brunei dan pada ketika itu. Zaman ini adalah apa yang dipanggil zaman kegemilangan Sultan Bolkiah iaitu sultan ke-5 Kesultanan Brunei Darussalam. Nama Bornei ini merujuk kepada satu catatan yang direkodkan oleh Ludavico di Varthema yang datang di Borneo pada tahun 1550.
"We arrived at the island of Bornei which is distant from the “Maluch” about two hundred miles, and we found that it was somewhat larger than the aforesaid and much lower. The people are pagans and are men of goodwill. Their colour is whiter than that of the other sort....in this island justice is well administered..."
Kalimantan
Suatu waktu dahulu Borneo juga dikenali sebagai Kalimantan. Namun begitu persoalan nama Kalimantan itu berkisar kepada wilayah yang ada di Pulau Borneo sekarang. Mengikut sejarah sekarang Kalimantan adalah dibawah Republik Indonesia manakala Sabah dan Sarawak di dalam Malaysia dan Negara Brunei sebagai satu negara yang lain dan keempat-empatnya terletak di Pulau Borneo.
Jika dirujuk kepada asal nama Kalimantan atau Klemantan sebenarnya berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu Kalamanthana. Kalamanthana itu bermaksud pulau yang udaranya sangat panas kerana pulau Borneo dikelilingi oleh lautan dan selat di mana-mana bahagian. Penduduk asli Pulau Borneo yang rata-ratanya masyarakat etnik Dayak pulak memanggilnya Klemantan atau Quallmontan yang akhirnya mempertuturkannya menjadi Kalimantan.
Namun begitu, kita mengetahui bahawa wilayah yang dikenali sebagai nama Kalimantan sekarang juga mempunyai beberapa kerajaan kuno yang gah suatu waktu dahulu dan jajahan kerajaan kuno ini juga ada yang mencakupi wilayah Sabah mahupun Sarawak sekarang.
Ketika kegemilangan empayar Singhasari ianya disebut sebagai Bakulapura iaitu jajahan takluk empayar Singhasari di sebelah barat daya Pulau Borneo. Bakula mengikut bahasa Sanskrit bererti pohon tanjung atau nama saintifiknya Mimusops elengi. Bakulapura juga dipanggil Tanjungpura yang bermaksud kerajaan-kerajaan yang wujud di kawasan yang ada banyak pohon Tanjung.
Di ketika dibawah Kerajaan Majapahit pula Pulau Borneo juga disebut sebagai Tanjung Nagara seperti yang diceritakan di dalam Kekawin Nagarakretagama yang ditulis oleh Empu Prapanca pada tahun 1365 yang merujuk wilayah Tanjung Nagara adalah mencakau sehingga ke Saludung iaitu nama lama Manila dan juga Kepulauan Sulu.
Menurut Hikayat Banjar yang ditulis pada tahun 1663 pula, Kalimantan dirujuk sebagai Hujung Tanah. Nama Hujung Tanah ini lebih mengarah kepada bahagian timur Pulau Borneo sekarang kerana disinilah banyak kerajaan-kerajaan negeri yang menjadi penghantar ufti kepada Kerajaan Banjar suatu waktu dahulu.
Mengikut satu naskah yang dipanggil Ramalan Prabu Jayabaya yang ditulis sewaktu berdirinya Kerajaan Kadiri (Pajalu). Teks Jawa Kuno ini mengisahkan sesuatu yang akan terjadi di masa hadapan dan ianya menyebut Borneo sebagai Nusa Kencana.
Borneo
Nama Borneo itu sebenarnya wujud pada abad ke-15 iaitu ianya merujuk kepada sebuah pohon yang dinamakan Borneol. Di dalam bahasa saintifiknya adalah Dryobalanops camphora yang juga dikenali sebagai pohon kapur untuk mengeluarkan kapur barus. Pohon ini banyak terdapat di Borneo pada waktu itu dan ianya sememangnya antara tarikan bangsa Eropah untuk mengunjungi Pulau Borneo memandangkan pohon Borneol yang mengeluarkan kapur barus adalah antara produk utama di dalam penghasilan minyak wangi. Akhirnya pelat bahasa Eropah digunakan yang menyebabkan sebutannya menjadi Borneo.
Dan ada juga catatan yang mencatatkan bahawa perkataan Borneo itu merujuk kepada Brunei atau Baruni yang juga merupakan empayar besar di Borneo pada waktu itu. Akhirnya pelat bangsa Eropah menjadikan ianya dipanggil Borneo.
Inilah informasi perkongsian bagi kita cuba mengenali nama Borneo iaitu satu pulau yang ketiga terbesar di dunia dan Sabah, Sarawak, Negara Brunei dan Kalimantan adalah wilayah-wilayah yang berada di Pulau Borneo sekarang. Pulau Borneo yang sememangnya mempunyai banyak nama-nama sejak dari dahulu lagi iaitu melalui apa yang dicatatkan di dalam manuskrip sejarah kuno daripada pelbagai bangsa di dunia.
#KamekSayangSarawakBah