“NGAYAU ANAK” MASYARAKAT IBAN
“NGAYAU ANAK” MASYARAKAT IBAN
Selain perang perluasan kuasa yang melibatkan kumpulan besar pahlawan-pahlawan Iban atau dikenali dengan nama “Bujang Berani” di dalam tradisi masyarakat Iban juga mempunyai satu lagi tradisi ngayau yang dipanggil “Ngayau Anak”. Ngayau anak ini adalah tradisi mengayau yang dilakukan sekumpulan kecil pahlawan-pahlawan Iban yang dilakukan terhadap individu atau rumah panjang yang lebih bermotifkan untuk membalas dendam akibat sesuatu perkara.\
Oleh kerana itulah suatu waktu dahulu akibat daripada adanya tradisi Ngayau Anak dikatakan setiap masyarakat Iban yang hendak bekerja di sawah bendang akan dijaga oleh beberapa orang pahlawan yang lain sewaktu mereka bekerja kerana serangan “Ngayau Anak” tidak boleh diduga sama sekali iaitu ianya boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira siapa sahaja asalkan dendam itu sudah terbalas.
Walaupun motifnya adalah untuk membalas dendam dan serangan adalah lebih kepada serangan hendap namun begitu ianya juga mempunyai tertib-tertib yang tertentu lebih-lebih lagi ianya juga memerlukan pertolongan daripada pihak yang lain. Bantuan-bantuan yang diminta juga mempunyai makna dan simbolik yang tertentu yang hanya difahami oleh mereka sahaja. Di ketika inilah satu tradisi memohon pertolongan yang dinamakan “Bejalai Ka Bungai Jarau” akan diadakan.
Di dalam ekspedisi Ngayau Anak yang dikenali “Bejalai Ka Bungai Jarau” ini ianya bermaksud memohon bantuan daripada sahabat handai atau sanak-saudara yang tinggal di rumah panjang yang lain bagi membantu individu untuk membalas dendam ke atas musuh mereka yang telah menyerang rumah panjang mereka atau membunuh saudara mereka dengan bantuan seberapa segera.
Apabila telah dikenalpasti maka beberapa orang pahlawan rumah panjang akan segera dipilih secara rahsia dan seterusnya pahlawan ini akan membawa bersama mereka sebuah mangkuk seramik yang berisi darah dan bulu ayam. Mangkuk seramik yang berisi bulu dan darah ayam ini adalah seperti kod rahsia tentang pertolongan yang diminta. Apabila ianya dipersembahkan kepada keluarga dan rumah panjang yang lain maka sudah tentu mereka akan memahami kesulitan yang sedang dialami itu. Di ketika inilah mereka yang mendapat hantaran mangkuk seramik itu akan segera ke rumah panjang tersebut untuk mendapat penjelasan secara panjang lebar.
Setelah kesemua sanak saudara berjaya dihimpun maka bermulalah perancangan yang hendak dilakukan bagi membalas dendam. Pada ketika itu pemilihan siapa yang akan turut serta di kalangan keluarga akan bermula dan segalanya diadakan secara rahsia dan tertib agar rahsia untuk membalas dendam tidak bocor kepada pihak musuh. Walaupun di dalam “Kayau Anak” ahli ekspedisi hanya di antara 10 ke 20 orang namun begitu ianya juga mempunyai Tuai Kayau yang menjadi ketua ekspedisi.
Hanya di dalam tempoh masa yang singkat, ekspedisi Ngayau Anak akan diteruskan dan perang ngayau Anak ini boleh terjadi ketika musuh sedang bekerja di bendang mahupun ketika memburu mahupun menangkap ikan di sungai. Kesemuanya dilakukan dengan cara serang hendap dan seperti biasa hanya kepala musuh yang akan menjadi piala dendam kesumat itu berakhir. Dan kerana itulah suatu ketika dahulu sebenarnya “Ngayau Anak” itu lebih digeruni daripada perang ngayau perluasan wilayah.
Contoh “Ngayau Anak” yang menjadi legenda dari dahulu sehingga sekarang adalah mengenai seorang cucu pemimpin Iban yang bernama Belaki. Belaki merupakan cucu kepada seorang pemimpin Iban di kawasan Batang Paku, Betong yang bernama Demong. Di dalam ekspedisi “Ngayau Anak” yang diadakan oleh etnik Seru, Belaki telah terkorban ketika sedang sibuk mengerjakan sawah bendangnya di Tanjung Kundong, Batang Paku, Betong.
Di sawah bendang itulah Belaki yang turut dibantu oleh isterinya iaitu Beremas juga terkorban dan terpenggal kepalanya. Malah adik lelaki Belaki yang bernama Kadi juga turut terkorban di dalam Ngayau Anak etnik Seru itu. Beremas pula merupakan adik kepada seorang lagi “Bujang Berani” Iban yang terkenal di dalam ekspedisi ngayau perluasan wilayah yang dikenali dengan nama Uyut atau Bedilang Besi.
Serang hendap oleh etnik Seru ke atas Belaki dan keluarganya di sawah bendang telah disaksikan sendiri oleh anak buah Demong yang turut sama sedang mengerjakan sawah bendang mereka tidak jauh daripada sawah bendang Belaki. Di ketika itulah ketiga-tiga pahlawan Iban anak buah Demong yang bernama Jimbai, Uma, Jelema dan Buma telah menghunus senjata mengejar beberapa orang etnik Seru sehinggalah akhirnya mereka berpecah kepada dua. Satu kumpulan telah berjaya membawa lari kepala Belaki, Beremes dan Kadi ke rumah panjang mereka manakala satu lagi kumpulan dikatakan berjaya dibunuh oleh Jimbai, Uma, Jelema dan Buma di satu kawasan yang bernama Bukit Tampak Panas iaitu kawasan persimpangan antara Batang Paku dan Batang Rimbas.
Inilah tradisi Ngayau atau perang memenggal kepala di dalam etnik Iban yang juga dipecahkan kepada 2 iaitu perang ngayau perluasan wilayah dan satu lagi ngayau anak yang lebih kepada memenggal kepala kerana dendam kesumat. Kedua-duanya adalah tradisi yang sudah diharamkan berkurun lamanya namun begitu ianya tetap menjadi legenda sejarah yang akan terus menjadi simbolik kepahlawan masyarakat Dayak Borneo dulu, kini dan selamanya.
#KamekSayangSarawakBah!