top of page

FROM LINGGA WITH LOVE


FROM LINGGA WITH LOVE


Daerah kecil Lingga merupakan salah satu daerah kecil yang berada di dalam jurisdifikasi Bahagian Sri Aman. Rata-rata penduduk Lingga adalah dari etnik Melayu, Iban, kaum Cina serta beberapa etnik pribumi yang lain. Walaupun ianya sebuah daerah yang kecil namun begitu Daerah Lingga juga memainkan peranan yang penting di dalam menjana ekonomi setempat masyarakat tempatannya.


Di dalam daerah kecil Lingga ini terdapat sebuah pekan kecil yang sentiasa menjadi tumpuan penduduk sekitarnya membeli barangan atau memasarkan produk mereka iaitu Pekan Lingga yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Sri Aman. Boleh dihubungi dengan menggunakan perjalanan darat ke Bandar Sri Aman ataupun dengan jalan air menggunakan bot dari Lingga ke Ulu/Banting dan Engkeranji.

Menurut cerita orang tua-tua tempatan, nama Lingga wujud berasaskan sejarah seorang pahlawan Iban yang bernama Lingga. Dikatakan bahawa pahlawan Lingga ini telah meninggal dunia di dalam satu peperangan tempatan lalu dikebumikan di tebing sungai besar menghadap dengan penempatan sebuah kampong yang tidak bernama pada masa itu. Di kawasan perkuburan pahlawan Lingga ini kaya dengan hasil-hasil hutan seperti damar dan rotan serta sungainya adalah lubuk ikan menjadi kegemaran penduduk kampung untuk menangkap ikan jadi perkuburan ini acapkali dilewati.


Oleh kerana kawasan tersebut masih tidak mempunyai nama jadi apabila setiap kali penduduk ke kawasan tersebut maka akan disebut hendak pergi ke Lingga. Lama kelamaan, nama Lingga sudah menjadi sinonim dengan penduduk dan terus dijadikan nama daerah tersebut iaitu Lingga.


Kawasan Lingga telah dibuka sejak tahun 1840an lagi iaitu semasa pemerintahan Rajah Brooke. Dan penduduk Lingga dikatakan antara penduduk yang amat setia dengan pemerintahan Rajah Brooke. Dikatakan bahawa kawasan asal Lingga sering digenang air kerana terletak di tanah pamah yang rendah jadi Rajah Brooke telah mengarahkan kesemua penduduk Lingga untuk berpindah ke Muara Lingga iaitu Lingga sekarang. Sebenarnya kawasan asal Lingga adalah terletak di kawasan Bukit Banting iaitu lebih kurang sejam perjalanan dari Lingga.


Mengikut sejarah juga, dikatakan bahawa di daerah Lingga ini terkenal dengan seorang pahlawan Melayu yang amat taat dengan Rajah Brooke. Pahlawan ini bernama Abang Husin bin Abang Hasan yang juga merupakan ketua masyarakat Lingga pada masa itu. Ketaatan Abang Husin kepada Rajah Brooke telah membawa beliau mendapat gelaran daripada Rajah dengan gelaran Lela Pahlawan yang menjadi gelaran kekal sehingga sekarang. Dengan hanya dihuni oleh beberapa rumah penduduk di awal pembukaannya sekarang bilangan penduduknya telah bertambah dari sehari ke sehari sehinggalah sekarang.


Sesuatu yang amat unik di Pekan Lingga adalah sebuah tiang bendera yang diperbuat daripada kayu belian setinggi 100 kaki dan tiang bendera tersebut dikatakan mempunyai sejarahnya sendiri. Diceritakan bahawa sewaktu pemerintahan Rajah Brooke, Rajah Brooke telah membuat lawatan ke Lingga untuk cuba mengenal dan memantau jajahannya dan sebagai sambutan di atas kedatangan Rajah Brooke inilah penduduk Lingga telah berganding bahu mendirikan tiang bendera yang diperbuat daripada belian sebagai satu penghormatan ke atas lawatan orang besar ke Lingga pada masa itu. Sehingga sekarang tiang bendera tersebut masih utuh sebagai satu tinggalan sejarah yang menjadi kebanggaan penduduk setempat.


Pekan Lingga yang terletak di pinggir Sungai Batang Lupar merupakan sebuah pekan nelayan yang terkenal dengan sepsis ikan bermutu tinggi yang menjadi ikon pada setiap pelancong yang berkunjung ke Sarawak iaitu Ikan Terubuk. Spesis ikan terubuk Lingga ataupun dengan nama saintifiknya Tenualosa Toli merupakan spesis ikan terubuk yang banyak terdapat di Lingga. Maka tidak hairanlah ikan terubuk Lingga adalah antara ikan terubuk yang termahal di pasaran ikan terubuk Sarawak. Di sini, rata-rata nelayan tempatan masih mengamalkan kaedah tradisional untuk menangkap ikan dengan penggunaan seperti rantau hanyut dan pukat.


Kebanyakan nelayan menangkap ikan dalam jarak lingkungan 20 km dari jeti kecil yang terdapat di Dermaga Perdagangan Lingga. Atas betapa baiknya permintaan ke atas ikan terubuk Lingga maka kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk memastikan bahawa jenis ikan terubuk Lingga tidak pupus dan dikawal pembiakannya dengan lebih teratur. Segala urusan ini dibawah bidang selia Jabatan Pertanian dan Perikanan Sarawak dengan melakukan penyelidikan di dalam kolam-kolam penyelidikan di Pejabat Pertanian Lingga.


Semoga segala usaha ini akan terus menjadikan Lingga sebagai hub pembiakan ikan terubuk bermutu tinggi di Sarawak. Lingga juga akan diharap akan terus menjadi mendapat pembangunan yang pesat dengan infrastruktur jalinan jalanraya yang baik serta kemudahan asas yang lain.


Setiap daerah mempunyai nilai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page