KERAJAAN KUTAI KARTANEGARA ING MARTADIPURA (1300M - 1960M)
KERAJAAN KUTAI KARTANEGARA ING MARTADIPURA (1300M - 1960M)
Di dalam dokumen-dokumen sejarah ada menyatakan bahawa Kerajaan Kutai adalah antara kerajaan-kerajaan tertua di Nusantara. Di dalam memahami makna Kerajaan Kutai ini sendiri, Borneo Oracle telah membuat pencerakahan tentang Kerajaan Kutai sebenarnya mempunyai 2 kerajaan yang berbeza iaiu kerajaan yang pertama wujud sekitar 350M adalah sebuah kerajaan yang diasaskan oleh masyarakat pribumi Dayak Borneo yang bernama Raja Kadungga dan kerajaan ini dinamakan Kerajaan Kutai Martapura.
Kerajaan kuno dayak ini adalah satu kerajaan yang mendapat pengaruh hindu secara keseluruhannya. Setelah kekalahannya sekitar abad 1600 Masihi, maka lahirlah sebuah lagi kerajaan iaitu Kerajaan Kutai Kartanegara Ing Martadipura. Dan kerajaan ini tidak sama dengan Kerajaan Kutai Martapura memandangkan salsilah rajanya juga berbeza malah lokasinya juga turut berbeza.
Di dalam satu dokumen sejarah kuno yang ditulis di dalam bahasa Jawa kuno yang bernama Kekawin Nagarakretagama karya agung Empu Prapanca yang dihasilkan pada tahun 1365 ada menyatakan bahawa salah satu jajahan empayar besar Kerajaan Majapahit dibawah Pateh Gajahmada adalah sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Tanjung Kute. Kerajaan yang dinamakan Kerajaan Tanjung Kute itu adalah merujuk kepada keberadaan Kerajaan Kutai Kartanegara Ing Martadipura yang sebenarnya didirikan pada awal abad ke 13 Masihi di satu kawasan yang dinamakan Tepian Batu atau Kutai Lama. Pengasas kepada kerajaan ini adalah Aji Batara Agung Sakti yang memerintah dari tahun 1300 – 1325.
Kewujudan Kerajaan Kutai Kartanegara di satu lokasi yang tidak jauh daripada Kerajaan Kutai Martapura adalah kerana sekitar abad ke 13, kerajaan Kutai Martapura berada di zaman kemunduran sehingga mengakibatkan banyak daripada jajahan takluknya telah melepaskan diri. Dan ketika itulah Kerajaan Kutai Kartanegara terbina dan menjadi gagah apabila banyak jajahan takluk Kerajaan Kutai Martapura yang secara rela hati menjadi jajahan lindungan mereka. Sekitar abad ke 16, Raja Dharma Setia daripada Kerajaan Kutai Martapura tewas ditangan Aji dari Kerajaan Kutai Kartanegara dan akhirnya Kerajaan Kutai Martapura yang lokasinya di Muara Kaman lenyap dan lahirlah sebuah kerajaan yang gah di Tepian Batu iaitu Kerajaan Kutai Kartanegara.
Sekitar abad ke-14, Kerajaan Kutai Kartanegara merupakan salah satu kerajaan yang menghantar ufti kepada Raden Aria Gegombak Janggala Rajasa yang juga digelar anumerta Maharaja Suryanata dari Kerajaan Negara Dipa. Pada ketika itu Kerajaan Negara Dipa adalah dibawah pengaruh hindu namun hubungan mereka tetap berlangsung sehingga Kerajaan Negara Dipa digantikan oleh Kesultanan Banjar. Kerana ada pengaruh inilah tidak menghairankan mengapa suku Kutai dikatakan mempunyai pengaruh bahasa banjar di dalam bahasa mereka.
Di awal abad ke-16, Kerajaan Kutai Kartanegara adalah dibawah jajahan takluk Kesultanan Makassar iaitu satu kesultanan Islam yang kuat suatu waktu dahulu apabila 2 kerajaan iaitu Kerajaan Gowa dan Kerajaan Tallo di Makassar, Sulewesi bersatu. Akibat adanya pengaruh Kesultanan Makassar ini maka syiar Islam telah mula mempengaruhi semua aspek penghidupan raja-raja dan juga rakyat jelata di dalam Kerajaan Kutai Kartanegara. Ketika inilah kedatangan Tuan Tunggang Parangan seorang ulama Minangkabau bersama-sama dengan teman akrabnya seorang pendakwah Islam yang bernama Datuk Ri Bandang dijemput datang ke Kerajaan Kutai Kartanegara pada masa itu
Kedua-dua ulama Islam ini adalah antara ulama tersohor yang menyebarkan agama Islam di Kesultanan Makassar Pada ketika itu Kerajaan Kutai Kartanegara diperintah oleh Raja Aji Mahkota yang memerintah dari tahun 1525 hingga 1589. Setelah kemangkatan Raja Aji Mahkota, anakandanya iaitu Aji Gendung (1580 hingga 1605) naik takhta dan bersama-sama dengan Tuan Tunggang Parangan inilah, baginda bersama-sama mengembangkan syiar Islam di bumi Kerajaan Kutai Kartanegara kerana ketika itu Datuk Ri Bandang telahpun kembali ke Kesultanan Makassar lebih awal lagi bagi meneruskan syiar Islam di sana.
Setelah berpuluh-puluh tahun mengembangkan syiar Islam akhirnya Sultan Aji Muhammad Idris yang memerintah dari tahun 1735 – 1778 merupakan Sultan Kesultanan Kutai Kartanegara Ing Martadipura yang pertama. Sejak dari itu Kerajaan Kutai Kartanegara yang merupakan salah satu kerajaan pada mulanya telahpun bertukar menjadi salah satu daripada kerajaan Islam di Pulau Borneo.
Apabila Kerajaan Kutai Kartanegara berpaling dengan mendaulatkan Kesultanan Makassar, ini telah membuatkan Kesultanan Banjar tidak senang hati maka pada tahun 1635, satu perjanjian telah ditandatangani antara Kesultanan Banjar dengan VOC. Antara salah satu perjanjian tersebut adalah VOC akann membantu Kesultanan Banjar untuk mendapatkan Paser dan Kerajaan Kutai kembali. Akibat daripada desakan VOC itu akhirnya Kerajaan Kutai Kartanegara terpaksa tunduk kepada kekuasaan Kesultanan Banjar kembali. Hanya satu-satunya raja Kerajaan Kutai Kartanegara iaitu Sultan Aji Muhammad Idris yang dapat meloloskan diri di dalam perebutan wilayah ini sehingga memaksa baginda melarikan diri ke Wajo, Sulewesi Selatan.
Sultan Aji Muhammad Idris sememangnya tidak mahu tunduk kepada kekuasaan Kesultanan Banjar kerana baginda sendiri merupakan menantu kepada Sultan Wajo La Madukelleng. Sepeninggalan baginda ke Sulawesi, Kesultanan Kutai Kartanegara telah diperintah oleh Dewan Perwalian yang merupakan ahli pemerintahnya pembesar-pembesar yang dilantik oleh Sultan Aji Muhammad Idris sendiri. Di ketika di bumi Sulawesi, Sultan Aji Muhammad Idris telah turut membantu Kerajaan Makassar berperang dengan VOC.
Sekitar tahun 1739, Sultan Aji Muhammad Idris gugur di medan peperangan. Apabila gugurnya Sultan Aji maka bermulalah episod perang saudara di bumi Kerajaan Kutai Kartanegara. Ianya adalah antara Aji Kado yang menabalkan dirinya menjadi Sultan Kesultanan Kutai Kartanegara dengan menggelar dirinya Sultan Aji Muhammad Aliyeddin. Namun ini tidak disenangi oleh putera mahkota sebenar iaitu Aji Imbut iaitu anakanda kepada Sultan Aji Muhammad Idris yang dibesarkan di Sulawesi. Kerana adanya pengaruh Kesultanan Makassar akhirnya Aji Imbut pula dinobatkan sebagai raja bagi Kesultanan Kutai Kartanegara dengan menggelar dirinya Sultan Aji Muhammad Muslihuddin.
Apabila ada dua pemimpin yang menerajui sebuah kerajaan bukan bermakna kerajaan itu akan kuat sebaliknya kerajaan itu akan menjadi lemah. Bertindak daripada itu Aji Kado telah sekali lagi memohon bantuan daripada VOC tetapi VOC telah menolak permintaan adaripada Aji Kado untuk campur tangan di dalam urusan Kesultanan Kutai Kartanegara. Akhirnya Aji Imbut berjaya mengalahkan Aji Kado di dalam perebutan kuasa itu dan pada tanggal 28hb September 1782, ibukota Kesultanan Kutai Kartanegara yang berada di Kutai Lama ke Tepian Pandan. Setelah kemangkatan Sultan Aji Muhammad Muslihuddin pada tahun itu maka ianya telah diwarisi oleh puteranya iaitu Sultan Aji Muhammad Salehuddin.
Pada 1 Januari 1817, Sultan Sulaiman daripada Kesultanan Banjar telah membuat perjanjian dengan Belanda melalui perjanjian yang dinamakan Perjanjian Karang Intan Bertindak daripada perjanjian itu terdapat beberapa mini perjanjian yang dibuat iaitu pada tahun 1823 secara rasminya wilayah di dibawah Kesultanan Kutai Kartanegara menjadi hak kepada Belanda.
Sekitar tahun 1844 telah berlaku tragedi di dalam sejarah Kesultanan Kutai Kartanegara apabila kedatangan pelayar berbangsa Inggeris iaitu James Erskine Murray telah datang ke bumi Kutai. Sebenarnya kedatangan Murray adalah untuk memohon kebenaran bagi berniaga di perairan Mahakam. Namun begitu Sultan Aji Muhammad Salehuddin yang memerintah pada masa itu hanya membenarkan Murray berniaga di kawasan Samarinda sahaja. Ini menyebabkan Murray tidak berpuashati dan akhirnya melepaskan tembakan meriam ke istana Sultan Aji Muhammad Salehuddin. Tidak dapat tidak akhirnya bala tentera Kesultanan Kutai Kartanegara telah menyerang balas dan dikatakan pertempuran berlaku dengan sengit sekali di Tenggarong. Armada Murray akhirnya tewas di dalam pertempuran tersebut malah Murray juga turut terkorban.
Insiden pentempuran di Tenggarong telah menyebabkan 2 kerajaan Inggeris yang juga pemerintah 2 negara di Pulau Borneo ketika itu iaitu Sarawak Kingdom melalui Rajah James Brooke dan North Borneo Chartered Company tidak senang hati dan ingin membalas dendam di atas kematian Murray. Hal ini juga telah dipanjangangkan ke pengetahuan Kerajaan Mahkota British di London dan dikatakan mereka bersatu hati mendesak Belanda untuk melakukan sesuatu.
Memandangkan bumi Kutai merupakan salah satu tanah jajahan Belanda akhirnya satu permuafakatan antara kedua bangsa Eropah ini telah menyebabkan Belanda menghantar satu armada perang yang lengkap yang dipimpin oleh Kapten Hooft. Maka terjadilah perang antara Belanda dengan tentera Kesultanan Kutai Kartanegara yang dipimpin oleh panglima perangnya iaitu Awang Long atau Pangeran Senopati. Namun akhirnya bala tentera Kesultanan Kutai kalah jua malah Awang Long sendiri terbunuh. Sultan Aji Muhammad Salehuddin pula telah berundur ke Kota Bangun.
Akibat daripada kalah perang tersebut, Sultan Aji Muhammad Salehuddin telah terpaksa mengakui kekuasaan Belanda ke atas Kesultanan Kutai dan akhirnya pada 11 Oktober 1844 perjanjian pun ditandatangani oleh kedua pihak maka bermulalah episod campurtangan Belanda di dalam pentadbiran Kesultanan Kutai Kartanegara.
Sekitar tahun 1850, Sultan Aji Muhammad Sulaiman telah ditabalkan menjadi pemimpin kepada Kesultanan Kutai Kartanegara dan 3 tahun selepas itu pemerintah Belanda telah menempatkan J. Zwager sebagai Residen di Samarinda. Di ketika inilah kekuatan politik dan ekonomi Kesultanan Kutai Kartanegara berada di puncaknya lebih lagi apabila adanya eksplorasi minyak yang dibuka di Batu Panggal oleh Belanda melalui jurutera minyak handalan keturunan Belanda iaitu J.H Menten pada tahun 1888. Kesultanan Kutai Kartanegara menjadi begitu makmur dan kaya raya di seluruh pelosok kepulauan Borneo pada ketika itu. Mengikut perjanjian itu juga, Belanda telah menyerahkan sejumlah royalti ke atas eksplorasi minyak yang dibuat di bumi Kesultanan Kutai Kartanegara.
Pada tahun 1924, ekonomi Kutai berkembang dengan sangat pesat sekali dan ketika itu dikatakan Kutai telahpun memiliki dana simpanan kerajaan sebanyak 3,280.00 gulden iaitu satu aliran wang tunai yang agak banyak pada masa itu. Pada 21 Januari 1960 akhirnya bertempat di Balairung Keraton Sultan Kutai, Tenggarong yang mana ketika itu Sultan Aji Muhammad Parikesit telah membubarkan pemerintahan Kesultanan Kutai Kartanegara kepada Aji Raden Padmo sebagai Bupati Kepala Daerah Tingkat II Kutai, Kapten Soedjono (Walikota Samarinda dan A.R. Sayid Mohammad (Walikota Balikpapan).
Pembubaran pemerintahan Kesultanan Kutai Kartanegara Ing Martadipura ini adalah bersesuaian dengan kewujudan sebuah negara bernama Republik Indonesia. Sejak daripada itu, kesemua keturunan Kesultanan Aji Muhammad Parikesit memilih untuk menjadi rakyat biasa Republik Indonesia.
Inilah satu sejarah panjang sebuah kerajaan yang begitu gah namanya di Pulau Borneo suatu waktu dahulu yang dikenali sebagai Kesultanan Kerajaan Kutai Kartanegara Ing Martadipura yang diasaskan pada tahun 1300 masihi dan berakhir pada tahun 1960 masihi. Kerajaan Kutai ini merupakan antara kerajaan kuno agung yang disebut namanya di dalam Kekawin Nagarakretama iaitu satu manuskrip sejarah yang ditulis pada abad ke-13 dan ianya menjadi sumber rujukan kepada pencinta-pencinta sejarah di dalam memperkatakan keberadaan kerajaan-kerajaan kuno di bumi Nusantara suatu waktu dahulu.