top of page

MISTERI PERISTIWA “AYAU BABI” DARI BARAM


MISTERI PERISTIWA “AYAU BABI” DARI BARAM


Sungai Bunut merupakan salah satu daerah yang lokasinya terletak di Baram, Miri, Sarawak. Selain terkenal dengan keindahan taman negaranya yang unik serta etniknya termasuk etnik Dayak Berawan yang mempunyai keistimewaan untuk memburu dan menangkap ikan di kawasan taman negara itu sejak ratusan tahun lagi, disinilah berlakunya satu sejarah yang dikenali sebagai Peristiwa Ayau Babi.

Umum mengetahui bahawa kawasan Baram suatu ketika dahulu merupakan salah satu tanah kuripan bagi Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Di Baram inilah etnik-etniknya amat setia dengan Sultan Brunei sehingga membenarkan mereka mempunyai pahlawan-pahlawan yang sentiasa siaga untuk melindungi Kesultanan Brunei Darussalam daripada diceroboh oleh mana-mana kerajaan di dunia ini. Lipan Baram atau Tentera Baram sememangnya amat sinonim dengan kekuatan masyarakat Dayak Sarawak suatu ketika dahulu sehingga membenarkan Sultan Brunei sendiri berbangga dengan mereka.


Di dalam mengamati kesetiaan dan juga kegagahan masyarakat Baram terhadap penguasaan Kesultanan Brunei Darussalam suatu ketika itu, terselit satu cerita misteri yang menyelaputi penghidupan masyarakat Baram ketika itu. Misteri tersebut adalah serangan babi-babi hutan ke atas penempatan masyarakat yang menghuni Baram suatu ketika dahulu. Dikatakan bahawa kesan-kesan serangan babi tersebut masih boleh dilihat sehingga sekarang di Sungai Bunut lebih-lebih lagi ketika air surut.


Peristiwa “Ayau Babi” ini sebenarnya juga telah membuat beberapa masyarakat yang pernah mendiami Sungai Bunut itu berpindah seperti etnik Meting dan Bakun. Mereka berpindah suatu waktu dahulu kerana survival daripada terkena sumpahan dan hanya etnik Berawan yang masih utuh mendiami kawasan Sungai Bunut sehingga sekarang.

Sebenarnya di dalam sejarah Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu ada diceritakan bahawa Sultan mereka amat gemar memakan ikan panggang hasil daripada tangkapan di Sungai Bunut dan khususnya pembuatnya adalah daripada masyarakat di Sungai Baram yang amat pakar di dalam proses memasak menggunakan teknik memanggang. Ini menyebabkan sudah menjadi lumrah untuk Sultan Brunei jika dia berkeinginan untuk makan ikan panggang akan meminta mana-mana masyarakat di Sungai Bunut untuk menyediakan bagi mereka.


Ada satu ketika dinyatakan bahawa masyarakat di Sungai Bunut tidak dapat penghasilan yang memberangsangkan dari Sungai Bunut dan ketika itu juga Sultan Brunei telah bertitah untuk mereka menyediakan menu ikan panggang. Kerana patuh dan taat setianya masyarakat Sungai Bunut terhadap Sultan Brunei maka mereka telah menyediakan menu kepala babi panggang untuk dipersembahkan kepada Sultan Brunei sebagai galang gantinya.


Hendak dijadikan cerita, apabila menu ini dipersembahkan kepada Sultan Brunei maka murkalah Sultan Brunei ketika itu sehingga baginda telah menyumpah agar masyarakat di Sungai Bunut akan diserang oleh sekumpulan babi hutan dan haiwan-haiwan yang berbisa. Antara benar atau tidak sumpahan itu tetapi ianya benar-benar terjadi yang mana diceritakan bahawa masyarakat Sungai Bunut telah diserang oleh babi hutan yang besar serta menghancurkan rumah mahupun tanam-tanaman penduduk di Sungai Bunut. Dan ianya semakin menjadi mistik apabila dikatakan bahawa bagi menghalang serangan babi hutan tersebut, penduduk Sungai Bunut telah dibantu oleh ular-ular berbisa seperti ular tedung dan juga buaya bagi menangkis serangan babi-babi hutan ini daripada bermaharajalela.


Sebenarnya jika dilihat daripada konteks realiti persembahan “ayau babi” itu sebenarnya BUKANLAH untuk memperlekeh-lekehkan agama Islam yang dianuti oleh Sultan Brunei ketika itu tetapi sebenarnya umum mengetahui bahawa persembahan kepala babi itu adalah satu yang suci serta mulia di dalam konteks agama pagan bagi masyarakat Dayak seluruh Borneo. Lihatlah di dalam konteks apabila adanya ritual-ritual suci yang dilakukan di dalam penghidupan masyarakat Dayak Borneo itu sendiri sudah semestinya adanya penyembelihan kepala babi sebagai permulaan dan contohnya yang terdekat adalah ketika melangsungkan perkahwinan di dalam sesetengah adat istiadat Dayak Borneo juga memperjelaskan betapa kepala babi itu satu yang amat mulia.


Jadi misteri peristiwa “Ayau Babi” itu sebenarnya bukanlah satu penghinaan kepada Sultan Brunei yang beragama Islam ketika itu tetapi sebaliknya persembahan kepala babi panggang itu menunjukkan betapa Sultan Brunei dipandang tinggi oleh masyarakat Dayak Sungai Bunut. Segalanya sebenarnya adalah satu salah faham di dalam menghuraikan misteri “ayau babi” ini. Namun begitu misteri sumpahan daripada Sultan Brunei yang menjadi kenyataan iaitu serangan babi dan haiwan-haiwan buas kepada masyarakat Dayak di Baram tetap menjadi satu misteri sehingga sekarang.


Benarkah ianya satu suratan atau satu kebetulan?


Allahualam.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page