PENDUDUKAN JEPUN DI SARAWAK, BORNEO
PENDUDUKAN JEPUN DI SARAWAK, BORNEO
Perang Dunia Kedua yang meletus pada akhir tahun 1941 telah banyak menukar senario politik di seluruh dunia pada suatu ketika dahulu dan ini tidak terkecuali dengan negeri Sarawak Bumi Kenyalang yang pada ketika itu lebih dikenali sebagai Sarawak Kingdom yang semasa itu diperintah oleh Rajah Ketiga, Rajah Charles Vyner Brooke. Walaupun pada tahun 1888, Sarawak Kingdom menjadi negara perlindungan bagi Kerajaan Mahkota British namun ianya masih juga tidak dapat membantu Sarawak Kingdom untuk bertahan daripada “angin penaklukan” Asia Untuk Asia oleh negara Jepun pada masa itu.
Bagi konteks Sarawak, penaklukan Jepun bermula di sebuah Bandar utama Sarawak yang kaya dengan hasil minyak iaitu di Miri. Mungkin tarikan kepada betapa pentingnya untuk menguasai “emas hitam” ini menjadikan Miri sebagai Bandar utama yang ingin ditakluki oleh Jepun pada masa itu. Tetapi hakikatnya pada masa itu pertahanan di Bandar Miri adalah amat goyah sekali kerana hanya terdapat sebuah balai polis yang menjaga keamanan untuk bahagian Miri dibanding dengan Kuching yang sudah tentu kelengkapan pertahanannya adalah yang terbaik.
Dan pemilihan Miri menjadi destinasi penaklukan yang pertama adalah kerana ianya akan memudahkan lagi perjalanan darat ke North Borneo (Sabah) mahupun ke Kalimantan Barat serta Brunei pada masa itu. Jadi penaklukan Miri akan memberi 1001 sebab di dalam perancangan tentera Jepun untuk menjayakan misi menakluki kepulauan Borneo pada waktu itu.
Pada tanggal 20 November 1941, Briged Kawaguchi yang berpusat di Tokyo, Jepun telah diberikan tugas untuk menrealisasikan impian penaklukan Pulau Borneo. Briged Kawaguchi adalah dibawah kawalselia Mejar Jeneral Kiyotake Kawaguchi dan setelah menerima arahan keseluruhan Briged Kawaguchi telah ditempatkan di Canton, selatan China untuk membuat persediaan perang ke atas Borneo. Sebagai persediaan penaklukan ini, Briged Kawaguchi dikatakan mempunyai beberapa unit yang dilatih di dalam urusan penggerudian minyak bagi memastikan bahawa pelantar minyak di Miri dan juga Seria, Brunei akan diuruskan dengan baik sewaktu penaklukan berlaku nanti.
Melalui sumber perisikan Jepun, segala hal ehwal tentang kekuatan pertahanan Sarawak telah diketahui oleh mereka terlebih dahulu iaitu Sarawak hanya mempunyai kira-kira 1,000 anggota tentera tetap yang kebanyakannya berbangsa India serta 2,500 sukarelawan tempatan yang dikenali dengan nama Sarawak Force atau SARFOR. Keadaan geografi Sarawak yang diliputi hutan tebal serta perhubungan air adalah jalan utama kesemuanya sudah diambil kira.
Melalui segala maklumat perisikan inilah dikatakan bahawa tentera Jepun yang dihantar untuk menakluki Sarawak telah dilatih dengan kursus khas yang dinamakan “Borneo Survival” dan tentera ini diberikan peralatan ketenteraan yang berbeza dengan tentera yang dihantar untuk menakluki Malaya dan Singapura pada masa itu. Inilah sesuatu yang tidak kita ketahui betapa persediaan awal ini telah memberikan kejayaan yang cukup besar kepada penaklukan Jepun di Sarawak pada masa itu.
Tepat jam 1.00 tengahari tanggal 13 Disember 1941, angkatan tentera Jepun telah meninggalkan Teluk Cam Ranh, Vietnam menuju ke Sarawak. Kekuatan angkatan tentera Jepun ini yang terlibat adalah:
• Kapal pengiring Cruiser bernama Yura dibawah kendalian Laksamana Muda Shintaro Hashimoto. Ini termasuk 2 kapal sokongan iaitu Kumano dan Suzuya. • Kapal perang pemusnah bernama Murakumo, Shinonome, Fubuki dan Sagiri. • Kapal selam pemburu yang bernama Usugumo • Kapal pembawa pesawat tempur yang dinamakan Kamikawa Maru • 10 buah kapal pengangkut yang membawa anggota tentera daripada Briged Kawaguchi serta kesemua pakar-pakar penggerudian minyak serta infantri perubatan mereka.
Sewaktu di dalam pelayaran menuju ke Sarawak, kesemua angkatan laut Tentera Jepun telah diberikan perlindungan oleh kapal selam Jepun I-62, I-64, I-65 dan I-66 yang ditempatkan di sepanjang laluan. Konvoi angkatan laut Jepun ini mulanya mengarah ke arah Barat Daya pada waktu siangnya kerana tidak mahu dihidu oleh angkatan tentera perikatan tetapi ketika menjelang malam akan mengubah laluan ke Tenggara yang menghala terus ke Bandar Miri, Sarawak.
Melalui maklumat perisikan Jepun sudah menyatakan bahawa sebarang aktiviti tidak akan dapat dihidu kerana Negara Sarawak tidak mempunyai perlindungan udara langsung daripada British pada waktu itu jadi pergerakan ini akan lebih mudah sekiranya berbuat demikian.
Konvoi menyeberangi Laut China Selatan tanpa dapat dikesan pada kira-kira pukul 11.30 malam pada tanggal 15 Disember 1941. Konvoi utama tiba di pelabuhan Miri kira-kira 2 batu nautika dari pantai Tanjung Lubang. Pasukan unit pertahanan infantri kanan tentera Jepun adalah yang pertama mendarat di Miri dan seterusnya menghala ke bangunan kerajaan Brooke di Miri. Kemudian berlaku sedikit pertempuran dengan anggota polis di Miri yang hanya mempunyai kekuatan 50 orang anggota Polis.
Hanya di dalam tempoh 2 setengah jam sahaja diambil di dalam pertempuran tersebut sebelum mereka menyerah diri kepada tentera Jepun kerana sudah tidak mampu bertahan lagi. Bahagian infantri pakar penggerudian minyak yang dikenali sebagai Yokosuka SNLF seterusnya menuju ke Lutong bagi menyelamatkan beberapa buah telaga minyak di Lutong yang telah dikenakan “Kaedah Bumi Hangus” oleh tentera Rajah Charles Vyner Brooke sebelum itu. Lapangan terbang Miri juga ditawan tanpa ada apa-apa penentangan daripada tentera mahupun polis Rajah Charles Vyner Brooke. Pada tanggal 16 Disember 1941, secara rasminya Miri menjadi milik Tentera Jepun tanpa sebarang masalah besar kepada tentera Jepun.
Setelah keadaan reda pada tanggal 17 Disember 1941, Briged Infantri Kawaguchi telah terbahagi kepada 2 iaitu 1 briged telah menuju ke Kuching iaitu pusat pentadbiran Sarawak Kingdom pada masa itu dan satu lagi menuju ke Sandakan, North Borneo dengan kesemuanya menggunakan jalan darat dan jalan sungai. Di dalam laluan menuju ke Kuching ini, tentera Jepun telah berjaya menawan kesemua daerah-daerah di Sarawak pada masa itu dan tiada penentangan daripada rakyat tempatan mahupun anggota keselamatan kerajaan Sarawak Kingdom pada waktu itu.
Penentangan hanya berlaku apabila Jepun telah menguasai keseluruhan Sarawak Kingdom pada waktu itu melalui serangan gerila yang dilakukan oleh tentera perikatan daripada Negara Australia yang kemudiannya mendapat bantuan daripada penduduk tempatan seperti Iban, Kelabit, Penan dan Lunbawang yang dikenali sebagai Operasi Semut yang menjadi salah satu taktik peperangan yang di dalam “Borneo Project” sewaktu Perang Dunia Kedua pada waktu itu.