top of page

TERUNG ASSAM DAYAK


TERUNG ASSAM DAYAK


Terung Assam Dayak ini merupakan “signature dish” bagi masyarakat Sarawak tanpa mengira etnik dan keenakannya di dalam masakan sememangnya tidak pernah mengecewakan si pemakannya. Inilah antara menu yang harus dirasai apabila berkunjung ke Sarawak Bumi Kenyalang.


Terung Assam Dayak ataupun dengan nama saintifiknya Solanum Ferox Linn merupakan sejenis terung yang terdapat di Malaysia lebih-lebih lagi di Borneo. Di kategorikan di dalam keluarga Solanaceae, terung assam dayak juga dikenali sebagai Terung Pasai bagi masyarakat di Negara Brunei Darussalam, Cung Bulu bagi masyarakat di Kalimantan, Republik Indonesia, Khua Khon bagi masyarakat di Laos, Tabanburo bagi masyarakat di Filipina, Sinkade bagi masyarakat di Myammar, Yongkuidi bagi masyarakat di Vietnam serta Muuk bagi masyarakat di negara Thailand. Inilah nama-nama tempatan bagi menggelar terung assam dayak atau terung iban bagi masyarakat di Sarawak Bumi Kenyalang.


Setakat ini belum ada lagi kajian ilmiah untuk mengetahui dari mana asal-usulnya terung assam dayak ini tetapi terung ini hidup liar di Asia Tenggara, Papua New Guinea dan juga di Amerika Selatan Namun begitu secara saintifiknya terung assam dayak adalah dibawah kategori keluarga terung (Solanaceae) yang mana ianya mempunyai lebih daripada 1,500 spesis yang kebanyakkannya tumbuh di kawasan beriklim tropika dan sub-tropika. Dari pecahan 1,500 spesis ini hanya 25 spesis yang terdapat di kawasan Asia Tenggara. Dari 25 spesis ini hanya 7 sahaja spesis terung yang boleh dimakan manakala yang lain adalah racun bagi manusia. Spesis yang 7 ini termasuklah Terung Assam Dayak yang amat popular bagi masyarakat di Sarawak Bumi Kenyalang.


Amat mudah sebenarnya untuk membezakan terung assam dayak ini dengan spesis keluarga terung yang lain kerana fizikalnya ianya berbentuk bulat dan berwarna kekuning-kuningan. Selain daripada itu rasanya juga sudah dapat dibezakan kerana rasanya sangat masam dan kerana rasa masam inilah setiap menu yang dicampur dengan terung assam dayak akan mempunyai rasa yang istimewa lebih-lebih lagi jika dijadikan penambah perasa di dalam masakan seperti resipi masak asam pedas yang begitu popular bagi setiap masyarakat di Malaysia amnya.


Jika di Malaysia lebih-lebih lagi di Sarawak, menu assam pedas adalah menu popular di dalam memperkatakan terung assam pedas tetapi jika di Negara Gajah Putih iaitu Thailand, terung assam dayak ini lebih popular disajikan di dalam resipi masakan kari mereka. Di Indonesia pula, terung assam dayak ini lebih popular digunakan untuk dicampur di dalam masakan nasi putih mereka dan rasa masam-masam itu akan menambahkan kelazatan pada nasi yang dimasak dan dikatakan sekiranya nasi itu dimasak dengan menggunakan dapur kayu maka lagi menambahkan keenakan nasi tersebut.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa terung assam dayak ini selain daripada berfungsi untuk memberi keenakan pada menu makanan ianya juga sebenarnya mempunyai 1001 kegunaan kepada penghidupan manusia bermula daripada akarnya sehingga ke biji terung assam dayak itu sendiri. Bagi orang tua dulu-dulu, perawatan tradisional membuktikan bahawa biji terung assam dayak ini boleh digunakan sebagai ubat untuk mengurangkan sakit gigi. Caranya adalah dengan memasukkan biji terung assam dayak ke dalam daun pisang yang sudah separa kering dan kemudian digulong seperti cerut. Selepas itu dikatakan dengan membakar cerut “biji terung assam dayak” ini maka kesan kesakitan gigi itu juga akan berkurangan.

Melalui kaedah perubatan tradisional orang tua-tua dulu juga membuktikan bahawa akar terung assam dayak sebenarnya boleh digunakan untuk menyembuhkan luka-luka, calar pada kulit serta kesan kegatalan pada kulit. Caranya adalah dengan mengekstrak akar terung itu menjadi serbuk selepas dibersihkan dan kemudian bolehlah dilumur pada kesan luka, calar dan gatal-gatal tersebut.


Jika dahulunya mungkin terung assam dayak itu tumbuh meliar di kawasan hutan di Borneo namun sejajar dengan waktu dan permintaan terhadap terung assam dayak ini, ianya sudah menjadi satu tanaman kontan iaitu ianya ditanam secara besar-besaran di beberapa kawasan di Sarawak seperti di Serian dan banyak lagi. Cara penanamannya adalah menggunakan biji benih dari buah yang cukup matang. Biji benih yang baik akan dijemur dan kemudian di semai untuk menunggu ianya bercambah selama satu sehingga dua minggu.

Selepas adanya percambahan maka ianya akan melalui proses rendaman biji benih selama 24 jam di dalam suhu persekitaran dan kemudian barulah ianya akan ditanam di tapak semaian dan menunggunya menjalar sehingga mengeluarkan terung-terung yang bulat dan segar-segar di kebun. Buah terung assam dayak yang berbentuk bulat atau bulat leper akan berwarna hijau ketika mudanya dan kemudian akan bertukar kuning oren kemerahan apabila cukup matang. Saiz sebiji terung assam dayak adalah antara 5 hingga 6 cm perimeter dan panjangnya boleh mencecah antara 7 hingga 8 cm. Setiap satu tangkai akan mengeluarkan produksi antara 1 hingga 2 biji terung assam dayak dan apabila ianya sudah cukup matang segeralah dipetik kerana ianya cepat gugur.


Terung Assam Dayak merupakan salah satu jenis sayur-sayuran yang melambangkan kepelbagaian kaum di bumi Sarawak Bumi Kenyalang. Diharap masyarakat Malaysia amnya dan masyarakat Sarawak khususnya dapat menjadikan artikel ini sebagai satu wacana ilmu di dalam mengenal satu lagi keunikan Sarawak Bumi Kenyalang. Ternyata Terung Assam Dayak mempunyai seribu kegunaan yang sudah tentu ramai tidak mengetahuinya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page