top of page

ETNIK BIDAYUH, SARAWAK, BORNEO


ETNIK BIDAYUH, SARAWAK, BORNEO


Etnik Bidayuh merupakan antara etnik Dayak kedua terbesar di Sarawak Bumi Kenyalang. Seperti kebanyakan etnik-etnik Dayak di Sarawak, etnik Bidayuh juga kaya dengan adat warisan serta kebudayaan mereka yang tersendiri. Populasi etnik Bidayuh sebenarnya ramai terdapat di sekitar Kuching, ibukota bagi Sarawak Bumi Kenyalang terutama sekali di kawasan Serian. Namun begitu seperti juga kebanyakan etnik-etnik Dayak Sarawak, etnik Bidayuh juga mempunyai pertalian yang amat rapat dengan etnik Dayak Bidayuh dari Kalimantan, Republik Indonesia.


Bila berbicara mengenai etnik Bidayuh maka tidak boleh tidak kita harus memperjelaskan bahawa etnik Bidayuh juga mempunyai pecahan sub-etniknya seperti berikut:


  • Bidayuh Selako / Lara yang ramai mendiami Daerah Lundu, Kuching.

  • Bidayuh Jagoi / Singai yang ramai mendiami Daerah Bau, Kuching.

  • Bidayuh Biatah yang menghuni Daerah Kecil Padawan.

  • Bidayuh Bukar / Sadong yang populasinya tertumpu di Daerah Serian, Kuching.


Berdasarkan kepada 4 sub etnik-etnik Bidayuh ini barulah kita akan memahami asal usul keturunan mereka kerana sub etnik ini mempunyai asal keturunan yang berbeza berdasarkan kepada penghijrahan mereka ke bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Menurut sejarahnya diceritakan bahawa asal keturunan kepada etnik Bidayuh ini adalah bermula daripada sekelompok individu dayak yang berpindah randah yang mana dikatakan bahawa nenek moyang kepada etnik Bidayuh di Sarawak sekarang adalah berasal daripada sebuah daerah yang bernama Sungkung berdekatan dengan Gunung Sijakng Singulikng di Kabupaten Bengkayang. bernama Sungkung. Nenek moyang etnik Bidayuh ini pula bernama Siang Nuk Nyinukgn. Daripada keturunan Siang Nun Nyinukng yang melakukan penghijrahan inilah mereka menjadikan Sarawak sebagai tempat tinggal bagi keseluruhan keturunan mereka.


Menurut cerita dikatakan Siang Nuk Nyinukgn ini mempunyai 10 orang anak dan kesemua mereka melakukan penghijrahan pada berlainan tempat di seluruh Borneo pada suatu waktu dahulu. Penghijrahan 10 anak Siang Nuk Nyinukgn ini telah memungkinkan sub-sub etnik Bidayuh itu terbentuk dan penghijrahan mereka bermula dengan Lipot Limang telah melakukan penghijrahan ke wilayah Sebukit Kecamatan Siding, Kabupaten Bengkayang, Kalimantan Barat. Anak kedua iaitu Biu Samak Milib telah melakukan penghijrahan ke wilayah Janggoi Sikalo, Subah Belatak, Jagoi Bung Jawid iaitu satu kawasan yang terletak di daerah Bau, Sarawak.


Kemudian anak yang ketiga yang bernama Buta’ Sebangam pula telah berpindah ke wilayah Lara Senayukng, Sangau dan Beliok. Aloi No’nian telah memulakan penghijrahan ke Daerah Stas, Sarawak. Maka’ Kos Mu’ Layankng dan Gonkng Maluoi berhijrah ke kawasan bernama Gumbang, Bau, Sarawak. Kemudian yang bernama Manggang pula berpindah ke wilayah Siding, Kecamatan Siding, Kabupaten Bengkayang. Slutok Slunkng berhijrah ke Daerah Menyuke, Kabupaten Landak. Titi Ayunt memulakan penghijrahan ke Daerah Guun, Sarawak. Tu’Laju pula berpindah ke Daerah Biak, Sarawak. Dan anak yang bongsu adalah Asangkong yang memulakan penghijrahan ke sempadan Sarawak.


Penghijrahan 10 anak-anak dan keturunan Siang Nuk Nyinukgn ini sebenarnya adalah untuk mencari tanah pamah yang subur untuk diusahakan seperti padi bukit dan sebagainya. Selain daripada itu seperti diketahui bahawa dahulu etnik Dayak Borneo sememangnya terkenal dengan perang perluasan wilayah yang membenarkan perang ngayau berlaku antara etnik Dayak berlaku. Hanya dengan cara berpindah ke tempat yang lebih aman jauh dari sengketa barulah survival etnik Bidayuh akan terus ada seperti yang kita ketahui sekarang. Selain daripada itu, adat mengayau atau memenggal kepala yang telah diharamkan di bumi Sarawak sewaktu pemerintahan Rajah Brooke yang memerintah hampir 100 tahun di Sarawak Kingdom telah memungkinkan Sarawak menjadi pilihan untuk etnik Bidayuh tinggal menetap.


Dari segi bahasa etnik Bidayuh pula sebenarnya terbahagi kepada beberapa dialek berdasarkan kepada penempatan serta sub etnik mereka. Jika di Daerah Lundu, dialek Bidayuh yang digunapakai adalah dialek Bidayuh Jagoi, Bidayuh Salako dan Bidayuh Lara. Sekiranya di kawasan penempatan seperti Bratak, Singai, Krokong dan Jagoi dialek Singai-Jagoi yang dipertuturkan. Untuk kawasan Penrissen mereka mempertuturkan dialek Bisitang dan di kawasan Penrissen di penempatan Kampung Bunuk pula etnik Bidayuh disini mempertuturkan dialek Bunuk atau Segu-Benuk.


Di Siburan pula lebih kepada dialek Bidayuh Biatah. Untuk etnik Bidayuh yang mendiami kawasan sempadan Malaysia/Indonesia seperti di Tebakang, Mongkos, Tebedu sehingga ke Tanjung Amo pula lebih gemar menjadikan dialek Bukar-Sadong sebagai bahasa pertuturan mereka. Dan akhir sekali di Padawan masih ada kelompok-kelompok kecik etnik Bidayuh yang menggunakan dialek seperti Bi-anah, Pinyawa, Braang, Bia’, Bisepug serta Bipuruh. Inilah keunikan pada bahasa-bahasa bagi etnik Bidayuh yang sudah tentu ramai tidak mengetahuinya.


Jika etnik Iban, penempatan mereka lebih kepada persisiran sungai namun untuk etnik Bidayuh penempatan mereka sejak dari dahulu lagi terletak di kawasan pendalaman dan tanah tinggi. Ini kerana suatu waktu dahulu etnik Bidayuh lebih mengutamakan keselamatan agar penempatan mereka sukar dikesan oleh musuh. Etnik Bidayuh juga tinggal di rumah panjang seperti etnik Iban. Atap rumah panjang kaum Bidayuh diperbuat daripada atap rumbia atau sagu, manakala dindingnya pula daripada buluh. Pelantar atau lantai rumah panjang pula diperbuat daripada papan atau buluh manakala tiangnya pula diperbuat daripada kayu belian.


Rumah panjang ini pula terbahagi kepada 3 bahagian iaitu ‘bilik utama’,’awah’ dan ‘tanju’. Bilik utama bolehlah dihuraikan seperti ruang utama kediaman pada masa sekarang. Di dalam bilik ini, lazimnya mereka akan meletakkan barangan peribadi milik keluarga dan keturunan mereka seperti gong, tempayan, tembikar dan sebagainya. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat tidur keluarga. ‘Awah’ pula adalah bahagian pelantar di luar rumah panjang dan lazimnya ia bertutup dan beratap. Ianya berfungsi berandah rumah pada masa sekarang.


Di "awah" pula lebih berfungsi satu tempat untuk menjalankan aktiviti aktiviti harian mereka seperti menganyam, berbual, membuat peralatan bertani dan sebagainya. Ruangan Awah juga akan digunakan untuk sebarang upacara keagamaan seperti perkahwinan, pantang larang dan pesta-pesta tertentu seperti pesta gawai dan sebagainya. "tanju" pula adalah bahagian terluar di dalam rumah panjang dan ianya agak terdedah dan tidak berbumbung dan berdinding. Disinilah aktiviti seperti menjemur padi, lada dan banyak lagi dijalankan.


Setelah kedatangan agama di bumi Borneo, rata-rata etnik Bidayuh telahpun menganuti agama Kristian sebagai panduan penghidupan mereka. Namun begitu dahulunya mereka juga menganuti agama pagan atau animisme dan ada sesetengah ritual dari agama nenek moyang mereka ini masih lagi dipraktikkan. Agama pagan yang dianuti dahulu adalah kepercayaan etnik Bidayuh pada alam roh. Di dalam kepercayaan alam roh ini, mereka mempercayai bah makhluk halus juga tinggal bersama-sama dengan manusia samada di bumi, air dan sebagainya. Setiap alam roh ini mempunyai tugas masing-masing dan mereka juga mempunyai keperluan yang sama dengan manusia yang hidup di dunia. Dan kerana itulah sehingga sekarang etnik Bidayuh amat menghormati alam sehingga membenarkan mereka masih lagi mengamalkan ritual-ritual yang dibenarkan mengikut anutan kristianiti mereka.


Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenali satu lagi etnik Dayak kedua terbesar di bumi Sarawak iaitu etnik Bidayuh. Jika dahulunya mereka hanya menjadi petani tetapi sekarang sudah ramai cerdik pandai di kalangan masyarakat Bidayuh Sarawak dan ada yang sudah menempa nama di persada dunia seperti jaguh sukan renang Malaysia Pandalela Renong dan tidak ketinggalan wanita kebanggaan Sarawak dan Malaysia yang baru-baru ini telah mewakili Malaysia di dalam Pertandingan Miss World 2014. Dewi Liana Seriestha yang menjadi teaser artikel Etnik Bidayuh, Sarawak, Borneo ini.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page