top of page

KERAJAAN BULUNGAN, KALIMANTAN TIMUR, BORNEO


KERAJAAN BULUNGAN, KALIMANTAN TIMUR, BORNEO

- Pendirinya Suku Dayak Kayan Uma Apan


Jika banyak kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Kalimantan menghadapi zaman keruntuhan ketika penaklukan Jepun mahupun dibawah Koloni Belanda, untuk satu kerajaan kuno ini mempunyai 1001 cerita hitam ketika berada di dalam Republik Indonesia. Alasan kepada peristiwa hitam ini berlaku kerana adanya satu usaha gerakan bawah tanah yang menyatakan bahawa pentadbir Kerajaan Bulungan ingin merdeka menjadi sebuah Negara bukannya sebuah negeri berautonomi dibawah Republik Indonesia. Peristiwa hitam ini sehingga sekarang terkenal dengan panggilan “Malam Jahanam Bulungan”.


Tanggal 3hb Julai 1964, ketika kerabat diraja Bulungan sedang lena diulit mimpi, tiba-tiba istana mereka dikepung oleh ABRI. Dengan tindakan kasar kesemua kaum keluarga kerabat diraja Bulungan telah ditangkap dan dibawa pergi. Pada masa itu juga, sekumpulan ABRI telah bertindak membakar istana Bulungan serta menjarah apa jua bukti kebesaran sebuah kerajaan bergelar Bulungan. Dikatakan sejak dari itu, Kerajaan Bulungan telah lemah ditambah lagi satu persatu kerabat diraja telah diculik malah tidak pernah lagi ditemui sehingga sekarang seperti Raja Muda Datu Mukemat yang matinya tidak diketahui dimana pusaranya.



Kerajaan Bulungan

Di dalam memperkatakan sebuah kerajaan kuno di bumi Kalimantan Timur ini sebenarnya telah didirikan oleh seorang anak Dayak. Anak Dayak itu adalah daripada suku Dayak Kayan Uma Apan yang bernama Kuwanyi. Suku Dayak Kayan Uma Apan juga ramai tinggal di hilir Bakun, Belaga setelah melakukan penghijrahan daripada Usun Apau seperti kaum Orang Ulu yang lain di bumi Sarawak. Dikatakan juga Uma Apan yang berada di Sarawak sekarang juga adalah rakyat jelata bagi Kerajaan Bulungan ini iaitu ketika ianya diperintah oleh para kesatria dayak yang menerima pengaruh hindu di dalam asas pentadbirannya.



Mengikut ceritera sejarahnya dikatakan bahawa Kuwanyi adalah seorang pemimpin bagi suku dayak Kayan Uma Apan yang tinggal di tepi Sungai Payang, cabang Sungai Pujungan. Setelah beberapa waktu tinggal di Sungai Payang didapati bahawa penghidupan mereka amat sukar kerana kurangnya penjana ekonomi di kawasan sekitarnya. Akhirnya bertitik tolak daripada itu, Kuwanyi telah membawa kesemua anak-anak buahnya untuk berpindah ke hilir Sungai Kayan.


Sebenarnya nama Bulungan itu sendiri adalah mendapat nama daripada seberkah buluh atau di dalam bahasa Bulungan dipanggil “Bulu Tengon”. Dikatakan juga kerana adanya dialek antara masyarakat Dayak dan bahasa Melayu akhirnya ia menjadi “Bulungan” dan dari sehari-hari ianya dipertuturkan sehingga kekal sehingga sekarang. Dan terdapat cerita legenda atau mitos di dalam memperkatakan mengapa kerajaan dayak ini pada awalnya didirikan dan ianya adalah satu cerita oral yang diperturunkan dari generasi ke generasi di dalam masyarakat Dayak Uma Apan di Bulungan.


Al-sahibul hikayat diceritakan bahawa pada satu hari seorang pemimpin Dayak Kayan Uma Apan yang tinggal di hilir Sungai Kayan bernama Kuwanyi telah pergi berburu kerana ingin beliau mengidam untuk memakan rusa panggang. Maka dengan kelengkapan pemburuannya akhirnya Kuwanyi pun pergi berburu di hutan. Namun sesuatu yang pelik berlaku kerana kebiasaannya apabila Kuwanyi berburu di hutan mesti akan kedengaran bunyi burung berkicau-kicauan namun pada hari itu, hutan terasa begitu sepi sekali.


Tanpa mempedulikan apa yang berlaku, Kuwanyi terus melangkah menerusi denai-denai di dalam hutan namun beliau tidak menemui walau seekor binatang untuk diburu. Akhirnya beliau menjumpai seberkas buluh besar yang biasanya dipanggil buluh betung. Di sebelah buluh betung itu ada tunggul kayu dan diatas tunggul kayu itu terdapat sebiji telur yang amat luar biasa rupabentuknya. Oleh kerana sifat ingin tahu Kuwanyi yang begitu menebal, akhirnya diambil telur dan buluh betong tersebut dan dibawanya pulang.


Sampai sahaja di rumah, Kuwanyi telah mengarahkan isterinya untuk menjaga kedua-dua benda ajaib ini seelok-eloknya. Isterinya akur dengan arahan suaminya lalu meletakkan buluh betong dan sebiji telur itu di bahagian dapur rumah mereka. Apabila menjelang tengah malam, alangkah terkejutnya Kuwanyi dan isterinya apabila mendengar bunyi seakan-akan bayi menangis. Apabila diselidiki, rupa-rupanya buluh betung tersebut telah melahirkan seorang bayi lelaki manakala sebiji telur itu pula telah menetaskan seorang bayi perempuan.


Alangkah gembiranya Kuwanyi dan isterinya kerana hakikatnya mereka sudah lama berkahwin namun belum lagi dikurniakan cahaya mata. Lalu kedua-dua bayi ajaib ini diambil mereka menjadi anak mereka dan ditatang bagaikan minyak yang penuh. Yang lelaki dinamakan Jauwiru dan yang perempuan dinamakan Lemlai Suri. Jauwiru dikhabarkan dibesarkan dengan penuh keperkasaan seorang Dayak Kayan Uma Apan manakala Lemlai Suri pula menjadi wanita Dayak Kayan Uma Apan yang cantik dan menjadi dambaan jejaka seluruh Bulungan suatu ketika dahulu.


Dikhabarkan semenjak mempunyai cahayamata kembar, perkampungan Dayak Kayan Uma Apan yang hanya mempunyai komuniti yang kecil pada mulanya di hilir Sungai Kayan akhirnya bertambah makmur dan kuat. Maka disinilah bermulanya Dayak Bulungan sebagai yang amat digeruni pada ketika itu kerana Kuwanyi, pemimpin masyarakat Bulungan sememangnya antara yang amat digeruni di dalam Perang Kayau atau Perang perluasan wilayah dengan memenggal kepala musuh.


Apabila Kuwanyi meninggal dunia, kepimpinan suku Dayak Kayan Uma Apan di Bulungan telah diwarisi oleh anaknya iaitu Jauwiru yang juga mewarisi kepimpinan dan keperkasaan ayahnya. Perkahwinan Jauwiru dengan seorang anak gadis Kayan dikurniakan dengan seorang anak lelaki yang dinamakan Paran Anyi. Dan setelah dewasa, Paran Anyi pun berumahtangga namun begitu beliau hanya dikurniakan dengan seorang anak perempuan.


Mengikut hukum adat Dayak Kayan Uma Apan hanya waris lelaki yang boleh menjadi pemimpin dan akhirnya atas permuafakatan anak perempuan tunggal Paran Anyi yang dinamakan Lahai Bara telah disatukan dengan cicit kepada nenek saudaranya iaitu Lemlai Suri. Pemuda yang gagah dan tampan itu bernama Wan Paren dan Wan Paren mewarisi kepimpinan Kerajaan Dayak Bulungan selepas pemergian ayah mertuanya.


Hasil perkahwinan Wan Paren dan Lahai Bara pula telah dikurniakan dengan 2 orang cahaya mata. Anak yang lelaki sulung dinamakan si Sadang manakala anak yang perempuan bongsu dinamakan Asung Luwan. Apabila meningkat dewasa Asung Luwan membesar sebagai seorang yang cantik yang akhirnya diperisterikan oleh Datuk Mencang, iaitu seorang putera dari Kerabat Diraja Brunei. Ini kerana si Sadang dikatakan telah terkorban ketika mengetuai satu ekspedisi kayau sehingga kepalanya bercerai daripada badan oleh pihak musuh.


Dan perkahwinan Asung Luwan dengan Datuk Mencang inilah yang membenarkan Datuk Mencang menjadi penerus legasi Kerajaan Dayak Bulungan ini yang pada berlandaskan hukum adat suku Kayan bertukar menjadi sebuah kesultanan Islam.



Kerajaan Kesultanan Bulungan


Sekitar abad ke 16 Masihi akhirnya sebuah kerajaan dayak telah bertukar menjadi sebuah Kesultanan Bulungan yang mendapat pengaruh Islam di dalam pemerintahannya. Pengaruh Islam di dalam Kerajaan Dayak Bulungan ini bermula apabila datang seorang kerabat diraja Brunei ke Sungai Kayan sekitar abad ke 16 Masihi. Beliau bernama Datuk Mencang dengan diiringi oleh Datuk Tantalani telah berlabuh di muara Sungai Kayan untuk mendapatkan bekalan air minuman di dalam pelayaran mereka.


Ketika berkayuh di dalam sampan kecil, Datuk Mencang dan Datuk Tantalani telah bertembung dengan sekumpulan pahlawan Kayan Uma Apan yang telahpun memerhati gerak geri sejak bahtera Datuk Mencang tiba di muara Sungai Kayan. Kerana begitu curiga akan kedatangan mereka akhirnya Datuk Mencang dan Datuk Tantalani dibawa mengadap pemimpin mereka iaitu Wan Paren.


Dan menurut cerita legenda dikatakan disinilah Datuk Mencang yang sedang berehat di hulu sebuah sungai yang bersih ketika mengambil angin telah terlihat Asung Luwan di tepi sungai. Pertemuan secara tidak sengaja itu telah membuatkan Datuk Mencang tidak keruan akhirnya mengadap Wan Paren dan terus meminang Asung Luwan. Di kala inilah Asung Luwan telah memberi syarat kepada Datuk Mencang iaitu perminangan akan hanya diterima sekiranya Datuk Mencang dapat menjadikan kepala Sumbang Lawing iaitu pembunuh abangnya si Sadang menjadi maskahwin.


Kerana keinginan Datuk Mencang yang kuat untuk memperisterikan Asung Luwan akhirnya diturutkan juga untuk bersemuka dengan Sumbang Lawing. Sumbang Lawing bukanlah seorang yang sembarangan, jika hanya beradu tenaga Datuk Mencang pasti kalah tetapi disinilah kebijaksanaan Datuk Mencang. Dengan menggunakan taktik Perang Tanding iaitu menguji ketangkasan membelah buah mangga “siapa cepat dia menang” akhirnya Datuk Mencang berjaya mengalahkan Sumbang Lawing. Diceritakan dikala Sumbang Lawing leka kerana amarah menerima kekalahan inilah, kepala Sumbang Lawing berpisah dari badan oleh Datuk Mencang.


Walaupun sudah mempunyai pengaruh Islam di dalam pemerintahannya iaitu sejak tampuk pemerintahan diungguli oleh Datuk Mencang (1555 – 1594) namun begitu masih belum ada gelaran Sultan yang digunapakai. Pada ketika itu Kerajaan Bulungan hanya menggelar pemimpinnya sebagai Kesatria atau Wira. Raja yang pertama bagi Kerajaan Kesultanan Bulungan adalah Wira Amir yang menggelar dirinya sebagai Amirul Mukminin (1731-1777).


Pada ketika pemerintahan Sultan Amirul Mukminin dikatakan bahawa empayar Kerajaan Kesultanan Bulungan sudahpun mencapai sehingga ke Tidung, Malinau, Nunukan, Kota Tarakan malah sehingga ke Tawau, North Borneo.


Berikut merupakan nama-nama raja Kerajaan Kesultanan Bulungan:


Raja dengan gelaran Kesatria/Wira


1. Datuk Mencang (1555-1594)

2. Singa Laut, menantu Datuk Mencang (1594-1618)

3. Wira Kelana, putera Singa Laut (1618-1640)

4. Wira Keranda, putera Wira Kelana (1640-1695)

5. Wira Digendung, putera Wira Keranda (1695-1731)


Raja dengan gelaran Sultan


6. Sultan Amiril Mukminin iaitu Wira Amir (1731-1777)

7. Sultan Alimuddin (1777-1817)

8. Sultan Muhammad Alimuddin (1817-1861)

9. Sultan Muhammad Jalaluddin (1861-1866)10.

10 . Sultan Muhammad Alimuddin Amirul Muminin II (1866-1873)

11. Sultan Muhammad Khaifatul Adil (1873-1875)

12. Sultan Muhammad Kaharuddin II (1875-1889)

13. Sultan Azimuddin (1889-1899)

14. Sultan Kasimuddin (1899-1925)

15. Datu Mansyur, pemangku raja (1925-1930)

16. Sultan Maulana Ahmad Sulaimanuddin (1930-1931)

17. Sultan Maulana Muhammad Jalaluddin (1931-1958)



Kerajaan Kesultanan Bulungan sebagai wilayah autonomi


Sekitar tahun 1953 akhirnya Bulungan menjadi wilayah jajahan Koloni Belanda dan apabila sebuah Negara baru dibentuk yang dinamakan Republik Indonesia, Kerajaan Bulungan mendapat taraf sebuah wilayah berautonomi. Akhirnya kerana ada gerakan bawah tanah yang mengatakan Bulungan akan memerdekakan dirinya dan berpisah daripada Republik Indonesia, pada tahun 1964 Kerajaan Kesultanan Bulungan telah pupus di bumi Kalimantan. Yang tinggal hanya beberapa replika yang menunjukkan pernah ada sebuah kerajaan yang diasaskan oleh masyarakat Dayak Kayan Uma Apan yang akhirnya menjadi sebuah Kerajaan Kesultanan yang gah di bumi Kalimantan Timur suatu waktu dahulu.


bottom of page