KOMUNIS DI SARAWAK 1960an
KOMUNIS DI SARAWAK 1960an
Sekitar tahun 1960 selepas Darurat diisytiharkan tamat di Persekutuan Tanah Melayu, ternyata ancaman komunis di Asia Tenggara agak berkurangan kerana kebanyakan daripada mereka telah melenyapkan diri tetapi pada tahun 1968 sekali lagi mereka menampakkan diri mereka di bumi Persekutuan Tanah Melayu dan ini tidak terkecuali di Sarawak.
Pada awal 1968an, Parti Komunis Kalimantan Utara (PARAKU) di bawah kepimpinan ketuanya Bong Kee Chok telah mula memainkan peranan di dalam aktiviti subversif di Sarawak. Di katakan pada waktu itu, PARAKU dibawah Biro Kedua Komunis Kalimantan Utara (BKPKKU) telah mula menyusup masuk ke sekolah dan cuba memancing sokongan daripada rakyat yang mula bersimpati dengan perjuangan komunis di Sarawak. Hal ini berlaku bukan sahaja di kawasan Bandar malah di seluruh daerah terpencil di Sarawak iaitu dari Sibu hinggalah ke Limbang.
Ini menyebabkan dakyah PARAKU semakin kuat malah beberapa kejayaan daripada mereka telah menyebabkan Sarawak di dalam merbahaya. Bertitik tolak daripada itu, Kerajaan Sarawak bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan Gagasan Malaysia pada 26hb Mac 1972 telah menubuhkan Kawasan Rejang (Rejang Area Security Command) ataupun RASCOM bagi membendung anasir-anasir komunisme daripada terus menular di Sarawak.
RASCOM merupakan satu-satunya agensi yang terlibat secara langsung dengan penghapusan komunisme kerana ianya adalah agensi yang menggabungkan pasukan askar, polis dan orang awam di dalam satu pasukan bagi menghalang dakyah ini terus tersebar. Melalui kekuatan perisikan yang terdiri daripada “Mata-mata” yang terlatih khas sudah tentu ini memungkin hal ini berlaku.
Sekitar 1971 hingga 1973, ancaman komunis terhadap keselamatan di kawasan terpencil di Sarawak dianggap serius berikutan tindakan pengganas komunis melakukan banyak pembunuhan dan serangan terhadap orang awam dan anggota pasukan keselatan di Bahagian Ketiga, Keenam dan Ketujuh di Sarawak. Sepanjang tempoh tersebut sebanyak 28 operasi cegah komunis telah dilakukan oleh pihak RASCOM dan pasukan keselamatan yang lain disamping memberikan sumber kesedaran kepada penduduk-penduduk kampung tentang betapa bahayanya dakyah komunisme ini daripada terus menular.
Ternyata perang saraf yang dibuat hasil kerjasama agensi ini dengan pasukan keselamatan telah berjaya menghapuskan 243 pengganas komunis atau 37% kekuatan pasukan komunis sekitar tahun 1971 sehingga 1973. Sebelum RASCOM ditubuhkan, pihak keselamatan telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani komunis di Sarawak khususnya yang dikenali sebagai Skuad 69 PDRM Sarawak.
Skuad 69 inilah yang merupakan pasukan perisikan yang terlatih di dalam isu komunisme di Sarawak dan mereka antara yang bergabung dengan RASCOM setelah ditubuhkan bagi menjadikan operasi RASCOM lebih tersusun dan memberi impak. Satu kerjasama yang wajar dilestarikan di dalam sejarah kita di Sarawak kerana jika tidak kerana RASCOM dan badan-badan keselamatan yang lain sudah tentu kita tidak seperti sekarang.
Difahamkan sewaktu kemuncak pemberontakan komunis di Sarawak, komunis telah berjaya membunuh 79 orang awam yang mana 54 orang daripada mangsanya adalah berbangsa Cina Sarawak serta menyerang 4 balai polis yang rosak teruk. Setelah menerima pelbagai tekanan daripada pasukan RASCOM dan agensi yang terlibat akhirnya sekitar tahun 1973, ancaman PARAKU di Sarawak telah mulai longlai sehingga menyebabkan ketuanya dan kumpulan komunis yang lain turut sama bersembunyi dan melarikan diri ke negara lain melalui jalan-jalan tikus di Sarawak menyeberangi sempadan untuk ke negara jiran.
Pada tanggal 13hb Oktober 1973, telah berlaku satu titik bersejarah di dalam kalendar keselamatan Sarawak apabila pada hari tersebut, Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu iaitu Datuk Haji Abdul Rahman bin Yaakub telah menerima surat daripada Bong Kee Chok iaitu merupakan Director and Commissar PARAKU (Parti Rakyat Kalimantan Utara). Di dalam surat tersebut Bong Kee Chok menyatakan hasratnya untuk menamatkan penentangan pihak komunis PARAKU kepada Kerajaan Sarawak.
Ketua Menteri Sarawak yang pada masa itu berada di luar negara telah bergegas pulang ke Sarawak untuk menjadikan ini sebagai satu kenyataan. Maka pada 21hb October 1973 dengan mengambil tempat di Rumah Simanggang, telah ditandatangani Surat Deklarasi Sri Aman yang ditandatangani oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Haji Abdul Rahman Yaakub dan juga Bong Kee Chok. Satu tarikh yang amat bersejarah bagi memastikan keselamatan dan keharmonian di Sarawak berkekalan.
Bagi memperkukuhkan keselamatan dan juga memastikan tiadanya lagi ancaman komunis yang tumbuh di Bumi Sarawak, kerajaan telah memberikan pengampunan beramai-ramai ke atas semua anggota komunis di Sarawak. Mereka telah diletakkan di zon-zon tertentu di Sarawak dan dipulihkan agar mereka mampu berdikari dan tidak diasingkan oleh masyarakat yang lain. Banyak sumber yang telah diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada mereka ini agar mereka mampu mandiri dan akhirnya menjadi rakyat yang lebih berguna kepada Sarawak khususnya.
Inilah sekelumit sejarah tentang ancaman komunis di Sarawak dan juga bagaimana kerajaan Sarawak memberikan kerjasama penuh di dalam memastikan ianya tidak menular di Sarawak. Untuk pejuang-pejuang yang tidak didendangkan di dalam memastikan keamanan di Sarawak seperti mereka yang menganggotai RASCOM, Skuad 69 PDRM dan anggota-anggota tentera yang menyertai operasi-operasi di bumi Sarawak ketika itu, sekalung terima kasih diucapkan kerana siapalah kami generasi muda ini jika tidak kerana pengorbanan anda semua.
Bagi yang telah tiada dan gugur sewaktu bertugas, hanya al-fatihah yang mampu disedekahkan. Untuk generasi muda Sarawak, kita hargailah segala pengorbanan mereka ini dan berterima kasihlah atas segala yang dilakukan untuk kita lebih mengenal jati diri kita sebagai rakyat Sarawak, Bangsa Sarawak.
#KamekSayangSarawakBah