PRISONER OF WAR, BATU LINTANG, KUCHING, SARAWAK, BORNEO (1942 – 1945)
PRISONER OF WAR, BATU LINTANG, KUCHING, SARAWAK, BORNEO (1942 – 1945)
Kem tahanan perang Batu Lintang atau dikenali sebagai Berek Lintang atau Kem Kuching merupakan satu-satunya kem tahanan perang di Kepulauan Borneo yang agak unik dan luar biasa kerana kem ini menempatkan kedua-dua banduan samada daripada tentera bersekutu yang ditangkap dan juga orang awam. Tahanan perang ini adalah tahanan perang yang menentang pendudukan Jepun di seluruh Kepulauan Borneo dan mereka akan dihantar ke sini untuk ditahan dan diseksa ataupun menunggu hukuman mati.
Jika disebut Maktab Perguruan Batu Lintang, sudah tentu ramai yang mengetahui kerana ianya masih wujud sehingga sekarang dan siapa sangka disebalik kecemerlangan sebuah maktab perguruan yang melahirkan ramai warga pendidik bagi Sarawak Bumi Kenyalang, ianya dahulu merupakan lokasi sebenar Kem Tahanan Perang Batu Lintang, Kuching. Kem ini beroperasi dari Mac 1942 hingga September 1945 merupakan pada asalnya adalah berek kediaman tentera British dari India. Keluasan kem ini adalah meliputi 20 hektar dengan dilengkapi dengan berek tahanan, hospital, rumah mayat, tanah perkuburan dan banyak lagi. Kem ini boleh menampung maksima tahanan perang seramai lebih kurang 3,000 tahanan di dalam suatu masa.
Seperti kem-kem tahanan perang yang lain di seluruh dunia, penghidupan di kem ini juga sama iaitu penuh dengan cerita-cerita seksaan kejam, kekurangan makanan, penyakit dan juga sumber perubatan yang terbatas serta kekurangan pakaian yang mencukupi juga berek kediaman yang bersesak-sesak. Inilah antara azab yang terpaksa dilalui oleh tawanan perang tentera bersekutu dan juga rakyat awam Sarawak yang sudah tentu jika boleh tidak mahu menjadi penghuni di kem ini yang seperti memasuki neraka akibat daripada menentang pendudukan Jepun.
Namun begitu, atas nama kecintaan kepada negara serta mencintai keamanan, kewujudan kem tahanan ini tidak pernah memalapkan semangat tentera bersekutu dan rakyat tempatan menentang pendudukan Jepun. Hakikatnya jika dilihat kepada penyeksaan individu, tahanan rakyat awam Sarawak mendapat kurang sedikit penyiksaan jika dibandingkan dengan tahanan dari tentera bersekutu. Tentera Jepun mengenakan siksaan yang lebih kejam lagi kepada tahanan perang yang jika diketahui mempunyai pangkat di dalam tentera.
Di dalam kem tahanan ini selain daripada tahanan yang terpaksa hidup di dalam serba-serbi kekurangan, tahanan-tahanan perang juga dipaksa untuk menjadi buruh paksa baik tahanan perang wanita mahupun lelaki. Tahanan perang wanita kebiasaannya menjadi tukang-tukang jahit serta melakukan tugas-tugas dobi untuk tentera Jepun dan hanya dibayar sedikit sahaja.
Tahanan perang wanita juga diletakkan sebagai tukang masak bersama-sama dengan tahanan perang lelaki yang lain. Rata-rata tahanan perang lelaki di kem ini menjadi buruh paksa seperti dihantar ke Pelabuhan Kuching untuk membantu mengangkut kayu-kayu lapis bagi dimuatkan ke dalam kapal untuk diangkut ke negara Jepun.
Ada juga yang menjadi buruh membina landasan pendaratan di Batu 7, Kuching serta bekerja di lombong emas yang dihidupkan semula oleh Jepun. Kesemua mereka hanya dibayar dengan upah yang sedikit dan tidak berbaloi dengan kerja-kerja yang dilakukan. Terdapat satu cerita yang mana ada sesetengah tahanan perang berkerja sebagai buruh mengisi minyak untuk pesawat Jepun di landasan kapalterbang Batu 7 namun ianya dihentikan apabila ada unsur sabotaj dilakukan oleh tahanan perang. Mereka dikatakan mencampurkan minyak dengan air kencing mereka ataupun dengan air hujan sehingga menyebabkan ada satu ketika pesawat-pesawat tempur Jepun rosak dan tidak dapat digunakan.
Kemudahan kesihatan sememangnya “ada” disediakan dan dikendalikan oleh seorang doktor iaitu Dr. Yamamoto. Hospital kem hanya mempunyai 30 katil pesakit. Dr. Yamamoto walaupun seorang doktor namun beliau dikatakan amat jarang untuk membuat rawatan susulan ke atas pesakit-pesakit beliau sebaliknya beliau mengarahkan tahanan perang yang berkelayakan doktor seperti Doktor Gibson dan Kapten Bailey untuk menjalankan tugasan.
Dengan bantuan ubat-ubatan yang dikawal dan hanya Dr. Yamamoto yang berkuasa penuh apalah yang mampu dilakukan oleh doktor-doktor tahanan perang ini. Ramai tahanan perang yang sakit teruk seperti menghidapi batuk kering dan banyak lagi penyakit kronik dikatakan dibiarkan mati menunggu ajal sahaja di bilik rawatan.
Pernah suatu ketika iaitu ketika bekalan makanan amat meruncing, Dr. Yamamoto telah mengarahkan agar tahanan perang yang menderita sakit teruk TIDAK DIBERIKAN CATUAN MAKANAN dan ini menyebabkan kesemua tahanan perang baik daripada tentera dan orang awam telah tidak mengambil catuan makanan mereka sebaliknya memberikan catuan makanan mereka kepada tahanan perang yang sakit. Sesuatu yang amat jarang kita dengar sikap seperti ini wujud lagi pada masa sekarang.
Oleh kerana keadaan kem tahanan perang yang begitu daif serta kekurangan dalam serba serbi tetapi masih tetap menghadapi siksaan-siksaan samada berbentuk kerja berat sebagai buruh paksa ataupun melalui deraan fizikal yang lain sudah tentu ada yang terkorban. Untuk itu sebuah kawasan perkuburan telah disediakan di kawasan kem tahanan ini.
Pada mulanya ianya hanya sebuah tanah perkuburan yang kecil tetapi apabila semakin hari semakin ramai yang terkorban maka dibuka satu lagi kawasan perkuburan yang tidak jauh daripada kawasan kem yang dikenali sebagai “Boot Hill”. Pada mulanya tahanan yang mati diletakkan di dalam keranda dan kemudian barulah dikebumikan tetapi apabila bilangan kematian meningkat, jenazah hanya diselubung dengan guni beras dan kemudian terus ditanam.
Ini adalah untuk tahanan perang yang mati beragama kristian dan lain-lain manakala tahanan perang yang beragama Islam adalah seperti biasa iaitu dengan menggunakan kain kapan putih. Apabila perang tamat dan keamanan dikecapi semula di Sarawak, di antara Jun 1945 hingga Julai 1946, proses pengggalian semula perkuburan telah dijalankan secara berperingkat-peringkat dan kesemua jenazah tahanan perang tentera bersekutu telah diterbangkan ke Labuan untuk dikuburkan semula di Labuan War Cemetery manakala untuk tahanan perang awam telah dikembalikan kepada kaum keluarga masing-masing.
Setelah berlakunya pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki oleh tentera bersekutu, negara Jepun telah menyerah kalah tanpa syarat pada 15 Ogos 1945 di seluruh tanah penaklukannya. Kem Tahanan Perang Batu Lintang, Kuching diserahkan semula kepada Briged 9 Tentera Australia yang menjadi wakil tentera bersekutu di Sarawak pada masa itu, Ini berlaku pada 11 September 1945 dan ketika penyerahan itu terdapat 2,024 tahanan perang yang masih hidup. Ianya terdiri daripada 1,392 adalah tahanan perang tentera bersekutu, 395 orang tahanan perang awam lelaki, 237 orang tahanan perang awam wanita dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun majoriti tahanan-tahanan perang ini dikatakan diselamatkan di dalam keadaan yang lemah dan tidak bermaya.
Pendudukan Jepun di seluruh dunia ketika itu yang dipanggil Perang Dunia Kedua telah menjadikan kem ini satu-satunya kem tahanan perang di Pulau Borneo pada waktu itu.
#KamekSayangSarawakBah!