TERENDAK MELANAU
TERENDAK MELANAU
Terendak kepala mengikut definisinya adalah sejenis topi atau penutup kepala yang berbentuk kondan. Kebiasaannya terendak tradisional diperbuat daripada daun nipah, buluh atau rotan. Proses pembuatan terendak tradisional bukanlah semudah yang disangka kerana ianya memerlukan mereka yang mahir untuk membuat anyaman demi anyaman bagi menjadikan satu terendak yang menarik.
Mengikut sejarahnya terendak kepala sudah lama digunakan oleh bangsa-bangsa di seluruh dunia. Yang pasti pemakaian terendak kepala telah lama digunapakai oleh masyarakat Cina di seluruh dunia. Agak kurang informasi sejarah mengenai kewujudan terendak kepala itu sendiri tetapi yang pasti terendak kepala itu sudah lama digunakan oleh masyarakat Cina Kuno iaitu ketika gahnya empayar besar Tembok China suatu waktu dahulu.
Di Sarawak, pemakaian terendak kepala sudah lama digunakan lebih-lebih lagi ketika ketibaan imigran Cina di bumi Sarawak untuk melombong emas di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Di dalam gambar-gambar vintage kita akan menyaksikan bagaimana pelombong emas di kawasan lombong emas di Bau, Kuching menggunakan terendak tradisional masyarakat Cina ketika melakukan kerja-kerja perlombongan. Untuk masyarakat Melayu Sarawak pula, penggunaan terendak kepala banyak dipakai suatu waktu dahulu oleh mereka yang menjadi nelayan iaitu ketika turun ke laut untuk menangkap ikan.
Umum mengetahui bahawa masyarakat Melanau di Sarawak secara azalinya dikenali sebagai masyarakat yang tinggal di kawasan pantai dan sungai dan pekerjaan utama mereka dahulu adalah samada menanam sagu mahupun menangkap ikan sebagai nelayan Penggunaan terendak suatu waktu dahulu adalah mesti ada bagi masyarakat Melanau Sarawak sehingga membenarkan terendak adalah salah satu warisan budaya yang mereka warisi sejak dahulu lagi. Cuma pemakaian terendak kepala bagi masyarakat Melanau sekarang adalah lebih kepada salah satu aksesori lengkap di dalam kostum tradisi masyarakat Melanau yang sering digunakan ketika menghadiri Pesta Kaul ataupun perayaan-perayaan tradisi masyarakat Melanau sekarang.
Perkembangan pemakaian Terendak Melanau sekarang bukan hanya meliputi sebagai satu daripada item kostum masyarakat Melanau tetapi Terendak Melanau sekarang sudah melangkaui lebih daripada itu. Terendak Melanau sekarang sudahpun menjadi antara tarikan pelancong untuk mengunjungi beberapa tempat di kawasan yang majoriti penduduknya adalah daripada kaum Melanau seperti di Matu dan Igan Kedua-dua tempat ini sedang rancak dengan perusahaan enap desa iaitu perusahaan membuat terendak kepala yang paling cantik dan kreatif di Sarawak.
Dengan adanya penerus generasi di dalam pembuatan seni anyaman terendak melanau ini maka amatlah diharap agar warisan budaya terendak melanau ini akan terus gah sampai bila-bila. Sekarang terendak melanau bukan hanya untuk dipakaikan di kepala namun ianya juga sudah boleh menjadi penghias-penghias dekorasi rumah yang cantik dan unik. Inilah keistimewaan terendak melanau yang menjadi cenderahati “wajib beli” apabila berkunjung ke Sarawak Bumi Kenyalang.
Inilah Terendak Melanau yang menjadi antara warisan budaya unik masyarakat Melanau di Sarawak Bumi Kenyalang. Dahulunya hanya menjadi pelindung daripada kepanasan matahari dan juga hujan namun sekarang terendak melanau sudah menjadi antara ikon pelancongan di bumi Sarawak.|
#KamekSayangSarawakBah!