BUAH DABEI
BUAH DABEI
Mungkin ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui tentang kewujudan buah ini memandangkan ianya hanya popular di Sarawak Bumi Kenyalang. Buah Dabai atau Buah Dabei, itulah nama panggilannya di bumi Sarawak. Di dalam bahasa saintifiknya pula, Buah Dabei dipanggil dengan nama Canarium Odontophyllum dan merupakan salah satu daripada buah nadir tempatan di dalam keluarga Burseraceae.
Di dalam keluarga Burseraceae ini pula terdapat 75 spesis dan buah dabei pula adalah salah satu daripada yang satu-satunya boleh tumbuh di Sarawak, Malaysia. Dan setakat ini tiada lagi kenyataan yang membenarkan bahawa pokok dabei boleh tumbuh di mana-mana negeri di dalam Gagasan Malaysia selain daripada di Sarawak.
Urang Sarawak memanggilnya buah Dabei tetapi jika di dalam bahasa Melayu standard ianya dikenali dengan nama Buah Dabai. Selain itu di Borneo ianya juga dipanggil dengan nama buah Zaitun Borneo. Di Thailand ianya dikenali dengan nama Nam Liap, Samo Chin dan Kana. Di Filipina pula ianya terkenal dengan panggilan Elemi. Buah Dabei selain boleh di dapati di Sarawak ianya juga boleh didapati di Thailand, Vietnam, Filipina, Myanmar, China, Indonesia (Sumatera), Mauritius, India, Nigeria, Madagascar dan juga di Queensland, Australia.
Menurut legendanya dikatakan bahawa asal usul dabei ini adalah daripada Negara Tembok Besar China. Sejak ratusan tahun dahulu dikatakan masyarakat Cina di Negara China sudahpun mengenali buah dabei berdasarkan kepada menu masakan mereka yang dikenali sebagai Dabei Asin.
Dikatakan Dabei Asin ini dijadikan bekalan untuk saudagar-saudagar mereka yang datang belayar sehingga ke Sarawak suatu waktu dahulu dan akhirnya menyebabkan adanya benih-benih pokok dabei yang ditanam di Sarawak pada ketika itu. Namun begitu setakat ini ianya hanya satu legenda oral yang masih belum ada satu dokumen yang membenarkan asal usul dabei di Sarawak adalah benar-benar dari Negara Tembok Besar China.
Di Sarawak pula bukan semua tempat ada mempunyai pokok dabei sebaliknya ianya banyak terdapat di Sibu, Oya, Song, Mukah, Bintangor dan Kapit, Sarawak. Dan buah dabei juga bukannya ada sepanjang tahun kerana ianya mempunyai musim-musim yang tertentu.
Musim dabei di Sarawak adalah antara bulan November sehingga Januari saban tahun. Dan kerana ianya bermusimlah maka ramai masyarakat Sarawak tanpa mengira etnik dan agama akan sentiasa menantikan hidangan buah dabei ini di dalam menu masakan keluarga mereka.
Perlulah diingatkan bahawa buah dabei bukannya boleh dimakan mentah kerana ianya keras sewaktu mentahnya. Buah dabei yang sudah ranum masak harus direbus dahulu bagi melembutkan isinya dan dengan hanya meletakkan sedikit garam sewaktu ianya dselor di dalam air panas, keenakannya tekstur isinya akan dapat dinikmati.
Inilah salah satu cara yang paling senang untuk menikmati kelazatan buah dabei Sarawak. Namun begitu sejajar dengan waktu, buah dabei juga sekarang menjadi salah satu ramuan di dalam menu masakan masyarakat Sarawak dan yang paling popular adalah menu masakan “Nasi Aruk Dabei” atau “Nasi Goreng Dabei”.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa buah dabei ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat yang telah terbukti melalui kajian perubatan. Buah dabei melalui isinya sebenarnya kaya dengan komposisi utama setaraf minyak kelapa sawit iaitu kaya dengan asid palmitik, asid linolik dan asid linolenik.
Dari segi kesihatan sekiranya seseorang itu makan buah dabei maka ianya boleh menghindarkan dirinya daripada kanser, penyakit jantung dan kencing manis. Dengan adanya anti-inflammatory dan anti-mikrob di dalam buah dabei juga mampu mengelakkan kolesterol dan juga plak gigi. Kesemua sumber kekayaan buah dabei ini boleh dikomersialkan sebagai produk makanan juga produk kosmetik.
Jika dahulunya kewujudan buah dabei di Sarawak tidak begitu dikomersialkan namun pihak Kerajaan Negeri Sarawak dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan usahasama bersama FAMA telah mempelbagaikan produk komersial untuk produk buah dabei seperti produk makanan mayonis dabai, pes dabai, sos dabai, snek dabai, kek dabai dan banyak lagi. Dari aspek produk kesihatan pula ianya sudah dikomersialkan menjadi sabun dabei yang telah dibuktikan ianya mampu menghaluskan kulit si pemakainya.
Semoga usaha Kerajaan Negeri Sarawak untuk memperkasakan produk Dabei Sarawak akan terus berkembang dan kita sebagai Bangsa Sarawak harus menyokong usaha ini dengan membeli produk-produk tersebut untuk kegunaan kita seharian.
#KamekSayangSarawakBah!