ETNIK UKIT, SARAWAK, BORNEO
ETNIK UKIT, SARAWAK, BORNEO
Seorang pelayar berbangsa Eropah yang juga merupakan adik ipar kepada Rajah Charles Brooke iaitu Kapten Harry De Windt pernah mencatatkan tentang Orang Ukits di dalam jurnal pengembaraan ke bumi Borneo pada tahun 1880.
“The Ukits are generally supposed to be the wildest specimens of the human race yet met with in Borneo. This tribe (which is the only one living at the head of Rejang not tattooed) has been occasionally but seldom seen in these regions by Europeans, as they shrink from all intercourse with mankind, and fly at the approach of any but their own race. They are described as being of a much lighter colour than the Poonans, possess no dwellings, and are totally unclothed.” – Kapten Harry De Windt-
Bukitan, Baketan, Ukit dan Bhuket merupakan salah satu etnik minoriti di Sarawak Bumi Kenyalang. Populasi etnik ini ramai terdapat di Kapit, Upper Rajom, Sungai Tatau dan Baleh. Dikatakan bahawa amat sukar untuk mencari etnik Bukitan yang asli di Sarawak kerana adanya adat perkahwinan campur yang sudahpun diamalkan berkurun lamanya.
Seperti etnik-etnik pribumi Sarawak yang lain, etnik Ukit juga mempunyai bahasanya yang tersendiri iaitu dikategorikan dibawah rumpun bahasa Austronesia, Malayo-Polynesia, North Borneo, Melanau-Kajang, Kajang. Walau bagaimanapun akibat daripada perkahwinan campur yang diamalkan ramai generasi muda Bukitan tidak berkomunikasi di dalam bahasa Bukitan itu sendiri.
Asal-usul keturunan etnik Ukit dikatakan berasal dari satu tempat bernama Palin, Kalimantan. Menurut legenda etnik Ukit, penghijrahan mereka ke Sarawak telah pun bermula sejak beratus-ratus tahun yang dahulu dan pusat penghijrahan etnik adalah melalui kawasan Lubok Antu. Dikatakan bahawa, pada suatu waktu dahulu ketika etnik ini bermastautin di Kalimantan, mereka telah diserang oleh kaum Iban dari Kapuas. Perang Kayau oleh kaum Iban tidak terdaya ditentang oleh mereka sehingga menyebabkan mereka berpindah sehingga ke Sarawak.
. Di dalam pelarian menyelamatkan nyawa ini, etnik Ukit telah sampai hingga ke Saribas dan seterusnya mereka menetap dan mula membina masyarakat Ukit di Saribas. Menurut sejarah awal juga ada mencatatkan bahawa kehadiran orang Ukit di Saribas tidak disenangi oleh orang Iban Saribas. Dan akibat daripada rasa tidak senang ini telah menyaksikan orang Ukit sentiasa menjadi mangsa tradisi ngayau oleh Iban Saribas.
Bagi meredakan segala masalah ini akhirnya satu jalan kedamaian telah diambil iaitu dengan memeterai perjanjian antara orang Ukit yang diwakili oleh Entinggi Paku dengan pemimpin Iban Saribas dari Paku Atas yang bernama Tindin. Selepas perjanjian damai dimeterai akhirnya kedua-dua ketua masyarakat ini telah bersetuju untuk mengeratkan lagi sillaturahim mereka dengan mengahwinkan anak-anak mereka. Perkahwinan anak perempuan Entinggi Paku dengan anak lelaki Tindin telah memastikan survival etnik Ukit dapat diteruskan untuk beberapa ketika.
Walau bagaimanapun, selang beberapa waktu telah timbul perselisihan faham diantara kedua-dua ketua masyarakat ini sehingga memaksa mereka untuk mengistiharkan perang diantara satu sama lain. Apabila berlakunya peperangan ini maka sekali lagi etnik Ukit yang menetap di Saribas terpaksa mengalah dan akhirnya memaksa mereka untuk berpindah-randah ke beberapa tempat dan akhirnya terus menetap di kawasan-kawasan seperti Upper Rajom, Sungai Tatau dan Baleh sehingga sekarang.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta