FROM TATAU WITH LOVE
FROM TATAU WITH LOVE
Daerah Tatau merupakan satu daerah yang kecil yang berada di Bahagian Bintulu, Sarawak. Keluasannya adalah 4,945.80 kilometer persegi dan bandar utamanya juga dikenali dengan nama Bandar Tatau. Daerah Tatau ini boleh dihubungi dengan pengangkutan jalan daripada Bandar Bintulu Sarawak.
Nama Tatau itu sendiri kadang-kadang menjadi satu kemusykilan bagi sesetengah masyarakat yang baru mengenalinya namun begitu sebenarnya walaupun daerah Tatau ini agak ke pedalaman hakikatnya Tatau menyimpan seribu kekayaan dan keunikan sejarah baik dari asal namanya serta masyarakat yang mendiami Daerah Tatau itu sendiri.
Mengikut laporan populasi pada tahun 2012 terdapat kira-kira 35,000 penduduk yang mendiami Tatau dengan majoritinya adalah daripada etnik Iban yang ramai mendiami kawasan pedalaman Tatau dan juga Melanau Bintulu atau Vaie Segaan yang ramai mendiami kawasan seperti Kuala Tatau dan Pekan Tatau itu sendiri. Melayu Sarawak yang mendiami Daerah Tatau pula diceritakan sebenarnya bukanlah orang asal Daerah Tatau tetapi mereka merupakan antara mereka yang telah berkahwin campur dengan masyarakat Melanau Bintulu dan menjadikan Tatau sebagai tempat mereka menetap.
Selain daripada itu terdapat juga beberapa etnik lain seperti Kaum Cina Sarawak yang ramai mendiami kawasan seperti Bandar Tatau dan Sangan. Kaum Orang Ulu seperti sub-etniknya Kenyah, Kayan, Tatau, Penan dan Punan pula penempatan mereka agak berselerakan di seluruh Daerah Tatau seperti di Kuala Baggiau dan Sungai Anap.
Sebenarnya mengikut sejarah daerah Tatau mendapat nama daripada satu etnik minoriti di Sarawak yang dinamakan etnik Tatau. Sinonimnya etnik Tatau dengan Daerah Tatau ini adalah kerana mereka dikatakan antara penduduk pribumi selain daripada etnik Vaie Segaan yang menjadi penghuni awal daerah Tatau itu sendiri. Etnik Tatau ini sebenarnya berasal daripada Kalimantan dan beratus-ratus dahulu mereka dikatakan berhijrah ke Tatau untuk mencari kawasan tanah pamah yang subur serta lari daripada Perang Ngayau iaitu antara perang perluasan wilayah bagi etnik dayak di Borneo.
Menurut sejarahnya Tatau juga suatu waktu dahulu seperti wilayah-wilayah Sarawak yang lain merupakan salah satu daripada tanah kuripan pembesar-pembesar Kesultanan Brunei Darussalam. Sekitar tahun 1883, wilayah Sungai Kemena dan Sungai Tatau juga telah diserahkan oleh Sultan Brunei kepada dinasti Keluarga Brooke yang memerintah Sarawak Kingdom hampir 100 tahun lamanya. Maka sehingga sekarang, Tatau juga menjadi sebahagian pembentuk kepada negeri Sarawak Bumi Kenyalang.
Di dalam ranjau nan berduri sebagai sebuah daerah di pedalaman Sarawak, Tatau juga pernah mengalami satu tragedi yang menyayat hati di dalam kalendar sejarah Sarawak moden apabila pada tanggal 18hb Oktober 2010, telah berlagu tragedy bot karam di Sungai Anap, Tatau dan di dalam tragedy ini ianya telah mengorbankan 13 nyawa manakala 17 lagi berjaya menyelamatkan diri. Sehingga sekarang tragedi berdarah ini masih menjadi igauan ngeri bagi setiap keluarga yang terlibat.
Pada masa sekarang, Daerah Tatau masih tidak lagi dieksplorasi secara menyeluruh bagi mempertingkat ekonomi setempatnya. Rata-rata masyarakat Tatau masih lagi bekerja dengan syarikat-syarikat pembalakan dan juga sektor-sektor yang berkaitan dengan SCORE. Hakikatnya banyak yang boleh dibuat di Daerah Tatau contohnya di Kuala Tatau. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Kuala Tatau boleh dieksplorasi sebagai salah satu produk pelancongan bagi negeri Sarawak kerana keunikan penghidupan masyarakat Melanau Bintulu seperti perkampungan-perkampungan tradisional mereka boleh dijadikan satu industri enap desa yang terkenal jika diusahakan.
Dengan bekalan-bekalan makanan laut segar daripada nelayan-nelayan di Kuala Tatau sesungguhnya ianya juga boleh menjadi satu lagi industri pelancongan bagi mempertingkatkan ekonomi masyarakat di Tatau, Bintulu. Usaha persendirian yang dilakukan oleh beberapa masyarakat Melanau seperti yang diusahakan oleh seorang anak Melanau pemilik kepada D’Muara Seafood and Traditional Melanau Cuisine sememangnya sesuatu yang harus dipuji. Kafe ini ada menyajikan makanan tradisional Melanau yang sememangnya amat jarang-jarang untuk kita rasai selama ini. Jadi pada sesiapa yang berkunjung ke Kuala Tatau wajib untuk anda merasa makanan melanau di kafe ini.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih-Sayangnya.
#KamekSayangSarawakBah!