FROM TEBEDU WITH LOVE
FROM TEBEDU WITH LOVE
Tebedu juga lebih dikenali sebagai Bandar Mutiara Tebedu kerana ianya adalah satu daripada pintu masuk di perbatasan antara Sarawak, Malaysia dengan Kalimantan, Indonesia. Pos kawalan sempadan Indonesia/Malaysia ini yang diurusetia oleh Kerajaan Malaysia dikenali dengan pos Tebedu dan hanya dengan berjalan kaki kira-kira 5 minit maka akan memasuki Pos Kawalan Republik Indonesia yang dikenali sebagai Pos Entikong. Perjalanan darat antara Tebedu/Entikong ke seluruh bandar di Kalimantan Barat ini juga amat sinonim dengan panggilan Jalur Sutera Borneo.
Amat mudah sebenarnya sekiranya ingin mengunjungi Tebedu kerana ianya mempunyai jalanan darat yang baik lebih-lebih lagi Bandar Serian merupakan antara bandar yang amat sinonim untuk perjalanan ke mana-mana tempat di seluruh Sarawak jadi jarak diantara Tebedu dari Kuching, ibukota Sarawak Bumi Kenyalang adalah kira-kira 63.2 kilometer. Rata-rata populasi penduduk di Tebedu adalah dari etnik Bidayuh yang juga merupakan antara etnik yang mempunyai susur galur keturunan dengan etnik Dayak di Kalimantan.
Sejarah awal bagi Tebedu dapat dirungkai melalui kisah Anak Tebedu yang mana Anak Tebedu sebenarnya berasal dari satu tempat yang bernama Bugau yang merupakan salah satu wilayah di Kalimantan yang dikenali sebagai Kabupaten Sintang sekarang. Perjalanan Anak Tebedu yang berhijrah ke bumi Sarawak melalui Tembawang Rutoi pada tahun 1380 adalah merupakan satu titik sejarah yang amat besar bagi etnik Bidayuh yang mendiami bumi Tebedu sekarang. Dari Tembawang Rutoi, 12 keturunan Anak Tebedu telah berpindah ke Tujog yang berhampiran dengan Kampung Kujong Mawang.
Pada tahun 1897, sekali lagi Anak Tebedu dengan seluruh keturunannya telah berpindah ke satu kawasan yang bernama Suhu dan dipimpin oleh Orang Kaya Pamui. Di Suhu inilah mereka membuka penempatan mereka yang dinamakan Batu Bedu. Sinonimnya Batu Bedu dengan Tebedu adalah kerana daripada Batu Bedu yang bermaksud Batu Kering di dalam dialek masyarakat tempatan akhirnya lama-kelamaan menjadi Tebedu dan disinilah Tebedu itu mendapat namanya.
Jika dikira daripada sejarah semasa Sarawak menjadi salah satu tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam pula, Tebedu merupakan salah satu daripada wilayahnya. Sekitar tahun 1817an telah berlaku satu sengketa perang etnik y yang dikenali sebagai Perang Sadung 1817. Pada ketika itu berlakunya perang tersebut kerana ada etnik-etnik yang ingin meluaskan kuasa dan wilayah mereka sehingga membenarkan pertempuran saudara berlaku.
Dikatakan masyarakat Bidayuh yang tinggal di kaki bukit Tanah Tinggi Borneo telah diserang oleh masyarakat Bidayuh di Serian yang bersatu dengan masyarakat Iban dari Kampung Remon. Tindakan Bidayuh dari Borneo Highlands menyerang balas di Sadung dan akhirnya memenangi pertempuran tersebut menyebabkan masyarakat Bidayuh Serian menyerahkan wilayah mereka iaitu Kampung Tebedu, Temung dan Sijak menjadi wilayah angkat bagi masyarakat bidayuh di Borneo Highlands sehingga sekarang. Dan sejak itu tiada lagi sengketa perang saudara di bumi Tebedu.
Di ketika Konfrantasi Indonesia-Malaysia yang berlaku pada tahun 1963, ramai sukarelawan perang dai Indonesia telah mula bertindak menyelinap masuk melalui sempadan Sarawak. Pada ketika inilah telah terjadi satu kejadian yang mana Balai Polis Tebedu telah diserang dan dibakar oleh gerila-gerila pro-Indonesia pada tanggal 12 April 1963. Walaupun tidak mampu menyelamatkan Balai Polis Tebedu yang dibakar sepenuhnya tetapi pihak keselamatan Malaysia yang didokongi oleh tentera Malaysia dan juga Sarawak Ra ngers ketika itu berjaya menangkap dan menyekat kemaraan gerila-gerila Indonesia daripada memasuki Sarawak.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.
#KamekSayangSarawakBah!