top of page

KERAJAAN SANGGAU, KALIMANTAN BARAT, BORNEO


KERAJAAN SANGGAU, KALIMANTAN BARAT, BORNEO

- Pendirinya Suku Dayak Sanggau


Sanggau adalah salah satu kabupaten yang terletak di Kalimantan Barat iaitu ianya tidaklah berapa jauh lokasinya dari Pontianak, Kalimantan Barat. Kabupaten Sanggau juga adalah salah satu kabupaten yang mana penduduknya terdiri daripada berbilang bangsa seperti Dayak Bidayuh, Dayak Keramabi, Dayak Mali, Dayak Desa, Dayak Pandu, Dayak Ribun, Dayak Iban serta kaum Tionghua dan juga Melayu yang mendiami setiap daerah di kabupaten Sanggau itu sendiri.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa suatu waktu dahulu pernah wujud satu kerajaan yang dipanggil Kerajaan Sanggau yang diasaskan sebenarnya oleh masyarakat Dayak di Borneo suatu waktu dahulu. Malah nama Sanggau itu sendiri menurut ceritanya adalah berasal daripada satu suku dayak yang dipanggil Dayak Sanggau iaitu salah satu suku yang berasal daripada keturunan Babai Cinga iaitu suami kepada Dara Nante yang menjadi pengasas kepada Kerajaan Sanggau suatu waktu dahulu.


Oleh kerana adanya sejarah tersebut maka saban tahun pada setiap 7hb April di Kabupaten Sanggau sekarang akan diadakan satu keramaian yang dipanggil Hari Sanggau yang mana pada ketika itulah kesemua penduduk di Kabupaten Sanggau tanpa mengira apa bangsa iaitu Dayak Sanggau, Melayu Sanggau dan Tionghua Sanggau akan berpadu tenaga menceriakan hari tersebut dengan pelbagai acara sambutan sejak dari dahulu lagi sehingga sekarang ini kerana mereka percaya bahawa Kerajaan Sanggau itu berdiri pada 7hb April 1310 oleh Dara Nante, pengasas Kerajaan Sanggau dan Kerajaan Sanggau juga merupakan kerajaan yang unik kerana mempunyai raja perempuan sebagai pemegang tampuk pemerintahannya


.

Sejarah Awal Kerajaan Sanggau


Berdirinya Kerajaan Sanggau ini adalah bertitik tolak daripada pengembaraan seorang puteri dari Sukadana yang bernama Dara Nante. Dara Nante menyusuri Sungai Sekayam di dalam wilayah Entikong sekarang dan rombongan Dara Nante ini diiringi oleh suku Dayak Mualang. Mereka bergabung di dalam pelayaran ini bagi mengharungi Sungai Sekayam yang agak deras aliran sungainya. Akhirnya mereka terpaksa membuat pilihan apabila ada 2 cabang anak sungai yang harus dimudiki. Dara Nante dan rombongan besarnya memilih cabang sungai yang bernama Sungai Entabai dan akhirnya mereka menemui satu tempat yang bernama Tampun Juah dan di Tampun Juah inilah Dara Nante menemui jodohnya iaitu seorang anak Dayak yang bernama Babai Cinga.


Dara Nante dan suaminya Babai Cinga tidak mendiami lama di Tampun Juah sebaliknya Dara Nante ingin membawa suami pulang ke Sukadana bertemu keluarganya. Akhirnya dipersiapkan segala persediaan untuk belayar menyusuri Sungai Sekayam kembali. Di dalam perjalanan pulang ke Sukadana itulah Dara Nante dan Babai Cinga beristirehat di satu kawasan yang bernama Labai Lawai dan kerana keletihan Dara Nante tertidur di satu kawasan yang redup. Apabila dia bangun dari tidur itulah dia menyuarakan keinginannya untuk membina sebuah kerajaan kecil di Labai Lawai itu kerana dia mendapat firasat di dalam mimpi menyuruhnya berbuat demikian.


Maka pada tanggal 7hb April 1310 itulah berdirinya Kerajaan Sanggau dengan dinamakan Sanggau mengambil bersempena dengan nama suku dayak Babai Cinga iaitu suami Dara Nante yang berketurunan Dayak Sanggau. Pada hari itu juga Dara Nante dinobatkan sebagai raja perempuan yang pertama untuk Kerajaan Sanggau. Manakala di dalam Kerajaan Sanggau ini, Babai Cinga pula diangkat menjadi Temenggung. Maka makmurlah Kerajaan Sanggau pada masa itu dibawah pemerintahan seorang raja perempuan yang bernama Dara Nante iaitu golongan bangsawan dari Kerajaan Sukadana.


Sekitar tahun 1400 Masihi, Dara Nante berangkat pulang ke Sukadana untuk menziarahi keluarganya di sana maka diserahkannya tampuk pemerintahan kepada orang kepercayaannya iaitu Dakkudak. Ternyata Dakkudak bukanlah seorang pemimpin yang sebaik Dara Nante sendiri kerana Dakkudak dikatakan seorang pemimpin yang kejam terhadap rakyat yang bernaung di bawah Kerajaan Sanggau. Apabila situasi semakin memburuk akhirnya Dakkudak melarikan diri dari Kerajaan Sanggau dan menuju ke Semboja dan Segarong menyamar diri menjadi rakyat biasa.


Setelah pemergian Dakkudak ini, Kerajaan Sanggau terus mengalami zaman kemundurannya dan akhirnya puteri-puteri Dara Nante hasil perkahwinannya Babai Cinga menjadi pengganti. Diceritkan bahawa Dara Nante dan Babai Cinga mempunyai 5 puteri yang hebat-hebat belaka iaitu dikenali dengan nama Dara Mas Ratena, Dara Juanti, Dara Hitam, Dara Nandung dan Dara Junjung Buih.


4 daripada adik puteri Dara Mas Ratena ini telahpun dikahwin dengan putera-putera daripada beberapa kerajaan kuno di Kalimantan seperti Dara Juanti (Kerajaan Sintang), Dara Hitam (Kerajaan Landak), Dara Nandung (Kerajaan Sambas) dan Dara Junjung Buih (Kerajaan Ketapang). Maka tinggallah Dara Mas Ratena menguruskan Kerajaan Sanggau untuk kesinambungan legasi Dara Nante dan juga ayahandanya Babai Cinga.



Kerajaan Sanggau Di Bawah Pengaruh Islam


Pada tahun 1485 masihi maka ditabalkan Dara Mas Ratena menjadi raja perempuan kedua bagi Kerajaan Sanggau. Dikala itulah pusat pemerintahan Kerajaan Sanggau di Labai Lawai dipindahkan ke Mengkiang, iaitu lokasinya di muara Sungai Sekayam. Dara Mas Ratena pula bertemu jodoh dengan suaminya seorang pendakwah agama Islam yang berasal dari Banten mempunyai susur keturunan Kyai Kerang yang bernama Abdurrahman. Di kala inilah Kerajaan Sanggau dimakmurkan dengan menjadi salah sebuah kerajaan kuno dibawah pengaruh Islam di bumi Kalimantan suatu waktu dahulu.


Walaupun sudah dibawah pengaruh Islam, namun Kerajaan Sanggau pada masa itu masih belum lagi mengangkat Islam sebagai satu agama rasminya dan Kerajaan Sanggau tetap berdiri sebagai sebuah kerajaan yang liberal yang mana ianya masih lagi mengamalkan beberapa ritual dari kepercayaan nenek-moyang suku Dayak di Borneo pada waktu itu. Apabila Dara Mas Ratena mangkat maka ditabal pula puterinya iaitu Dayang Puasa untuk menjadi raja Kerajaan Sanggau. Dayang Puasa mengelar dirinya Nyai Sura yang memegang tampuk pemerintahan dari 1528 hingga 1569. Di kala inilah hubungan peringkat antarabangsa antara Kerajaan Sanggau dengan kerajaan-kerajaan yang lain adalah di tahap yang terbaik sehingga membenarkan Kerajaan Sanggau semakin makmur dan lebih kuat.


Setelah mangkatnya Nyai Sura maka ditabalkan pula buat kali pertamanya seorang raja lelaki di dalam Kerajaan Sanggau memandangkan Nyai Sura tidak dikurniakan puteri. Maka ditabalkan Abang Gani, putera mahkotanya sebagai raja Kerajaan Sanggau dengan menggelar dirinya sebagai Pangeran Adipati Kusumanegara Gani yang memerintah dari tahun 1569 hingga 1614.


Kemudian Kerajaan Sanggau dipimpin pula oleh Abang Basun, putera kepada Abang Gani yang menggelar dirinya sebagai Pangeran Mangkubumi Pakunegara (1614-1658) dan dikatakan ketika inilah Kerajaan Sanggau berada di kemuncak kegemilangannya dengan adanya pengaruh Islam yang kuat serta ketaatan saudara kandung Pangeran Mangkubumi Pakunegara yang membantu kakandanya menguruskan Kerajaan Sanggau iaitu adindanya Abang Abon yang digelar Pangeran Sumabaya dan juga adinda sepupunya iaitu Abang Guneng yang amat pakar di dalam strategi perang darat.



Sanggau sebagai Kesultanan Sanggau


Setelah kemangkatan Pangeran Mangkubumi Pakunegara maka naik takhta Abang Bungsu yang merupakan raja pertama Kerajaan Sanggau yang menggelar dirinya Sultan Mohammad Jamaludin Kusumanegara. Baginda memerintah dari tahun 1658 sehingga 1690 dan ketika inilah beliau telah menukar Kerajaan Sanggau menjadi Kesultanan Sanggau yang mengamalkan pentadbiran agama Islam sepenuhnya. Baginda juga telah memindahkan pusat pemerintahan Kesultanan Sanggau dari Mengkiang ke Kota Sanggau sekarang.


Pada tahun 1690, anakanda Abang Kamarudin ditabalkan menjadi sultan di Kesultanan Sanggau dengan gelaran Sultan Ahmad Kamaruddin yang memerintah dari tahun 1690 sehingga 1722. Baginda dibantu oleh adindanya iaitu Panembahan Ratu Surya Negara. Di ketika itu Sultan Ahmad Kamaruddin menjadi ketua pemerintahan manakala adindanya menjadi penasihat Kesultanan Sanggau yang menguasai semua wilayah persisiran laut Kesultanan Sanggau. Di ketika Sultan Ahmad Kamarudin gering maka diangkatlah Panembahan Ratu Surya Negara menjadi Sultan dengan bergelar Sultan Zainuddin yang memerintah dari tahun 1722 hingga 1741.


Oleh kerana pada asalnya Kesultanan Sanggau seharusnya diwariskan kepada legasi Sultan Ahmad Kamaruddin namun akibat daripada geringnya Sultan Ahmad ketika itu maka Sultan Zainuddin, adindanya menjadi Sultan Kesultanan Sanggau telah mengakibatkan adanya sistem penggiliran beraja di dalam Kesultanan Sanggau selepas mangkatnya Sultan Zainuddin pada tahun 1741. Selepas kemangkatannya, anakandanya Abang Tabrani diangkat menjadi Sultan Sanggau dengan gelaran Pangeran Ratu Surya Negara dan bertahta di Istana Beringin. Manakala generasi daripada Sultan Ahmad Kamaruddin pula bertakhta di Istana Kuta.


Pada ketika inilah Kesultanan Sanggau mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Kesultanan Kadriah Pontianak yang diasaskan oleh syarif dari Arab yang dikenali dengan keluarga Al-Qadri. Walau bagaimanapun sekitar tahun 1778 hubungan akrab ini mulai retak sehingga membenarkan Kesultanan Kadriah Pontianak menguasai beberapa wilayah perniagaan bagi Kesultanan Sanggau di Sungai Kapuas. Malah Kesultanan Kadriah Pontianak juga sebagai mengukuhkan perluasan kuasanya telah membina sebuah kota yang dinamakan Jambu Basra di Pulau Simpang Labi yang merupakan antara jajahan pulau hakmilik Kesultanan Sanggau.


Pada 1762, Kesultanan Sanggau diperintah pula oleh keturunan daripada Sultan Ahmad Kamarudin iaitu Panembahan Mohamamad Thahir yang memerintah sehingga 1785. Baginda telah berusaha untuk mendapatkan jajahan takluk Kesultanan Sanggau yang terlepas kepada Kesultanan Kadriah Pontianak tetapi tidak berhasil. Hanya pada tahun 1812 iaitu selepas Kesultanan Sanggau diperintah oleh Pangeran Usman Paku Negara barulah Kesultanan Sanggau mendapat kembali jajahan takluknya di Sungai Kapuas kerana adanya campurtangan daripada ayah mentuanya iaitu raja dari Dayak Mualang yang merupakan ketua Kerajaan Sekadau, sebuah kerajaan Dayak Mualang yang kuat di Kalimantan suatu waktu dahulu.


Pada tahun 1812-1823, Panembahan Mohamad Ali Mangku Negara dari legasi keturunan Sultan Zainudin memegang tampuk pemerintahan Kesultanan Sanggau kemudian pada tahun 1823 hingga 1828 berpindah pula kepada legasi Sultan Ahmad Kamaruddin iaitu Sultan Ayub Paku Negara. Tatkala wafatnya Sultan Ayub Paku, takhta Kesultanan Sanggau masih lagi diperwariskan kepada legasi Sultan Ahmad Kamaruddin kerana putera yang seharusnya diangkat menjadi sultan dari legasi Sultan Zainuddin terlalu kecil maka naik takhta Panembahan Mohammad Kusuma Negara. Hanya pada tahun 1860 barulah takhta diserahkan kembali kepada legasi Sultan Ahmad Kamaruddin iaitu Panembahan Mohammad Thahir II yang memerintah dari 1860 hingga 1876.



Campurtangan Belanda di dalam Kesultanan Sanggau


Pada ketika pemerintahan Panembahan Mohamad Thahir II ini, Belanda sudah mula mencampuri urusan pentadbiran Kesultanan Sanggau sehingga membenarkan selepas wafatnya Panembahan Mohamad Thahir II pada tahun 1876, dinaikkan Panembahan Haji Sulaiman Paku Negara yang sebenarnya hanyalah boneka pentadbiran Belanda di bumi Sanggau suatu waktu dahulu.


Pada era pemerintahan Panembahan Mohammad Thahir II, wilayah Kesultan Sanggau didatangi bangsa Belanda. Pada awalnya, kedatangan Belanda disambut baik oleh rakyat dan keluarga Kesultanan Sanggau. Belanda memanfaatkan sambutan baik ini dengan memohon unutk diizinkan menetap di Sanggau. Permintaan Belanda ini dikabulkan oleh Penembahan Mohammad Thahir II. Dengan demikian, Belanda mulai menanamkan pengaruhnya di wilayah Kesultanan Sanggau.


Sekitar tahun 1877, telah berlaku satu perjanjian yang ditandatangani antara Sultan Sanggau dengan Belanda yang membenarkan beberapa wilayah Kesultanan Sanggau dipajakkan kepada Belanda. Perjanjian secara rasmi ini merupakan titik hitam di dalam sejarah Kesultanan Sanggau apabila disinilah bermulanya secara rasmi Kesultanan Sanggau menjadi pentadbiran boneka Belanda dan akhirnya Gusti Mohammad Arif Paku Negara diangkat menjadi Sultan Sanggau pada tahun 1941 dan seterusnya keseluruhan Borneo menghadapi Perang Dunia Kedua yang dilancarkan oleh Jepun di Borneo.


Pada tahun 1942, Gusti Mohammad Arif Paku Negara kemudian menghadapi hukuman bunuh oleh pihak tentera Jepun kerana dikatakan cuba melancarkan kegiatan subversive keatas penaklukan Jepun di Sanggau. Melalui campurtangan tentera Jepun diangkat pula Ade Marhaban Saleh menggantikan baginda dan kemudian sebelum Jepun menyerah kalah di Borneo, pihak tentera Jepun sempat lagi menabalkan Panembahan Gusti Ali Akhbar pada tahun 1944.


Selesai Perang Dunia Kedua berlangsung, Belanda telah kembali ke bumi Borneo dan sekali lagi mereka masih mencampuri urusan pentadbiran Kesultanan Sanggau maka pada itu Belanda menghantar bala tenteranya mengancam Gusti Ali Akhbar yang akhirnya turun takhta dan Belanda menabalkan Panembahan Gusti Mohammad Taufik Surya Negara sebagai Sultan Sanggau dan baginda merupakan Sultan Sanggau yang terakhir kerana pada waktu itu Sanggau bukanlah sebuah kerajaan sebaliknya ianya hanya pentadbiran yang digelar Daerah Swapraja.


Pada tanggal 2hb Mei 1960 seterusnya pemerintahan Swapraja telah dibubarkan di seluruh bumi Kalimantan bagi membenarkan sebuah negara bercorak republik ditubuhkan yang dikenali sebagai Republik Indonesia.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page