LEGENDA CINTA SAGONG DAN KUNYAU DI DALAM ETNIK MELANAU BALINGIAN
LEGENDA CINTA SAGONG DAN KUNYAU DI DALAM ETNIK MELANAU BALINGIAN
- “ Kalau Sudah Jodoh Tidak Akan Ke Mana “
Al-sahibul hikayat disebutlah kisah tentang seoran pemuda dari etnik Baketan yang jatuh cinta dengan seorang wanita etnik Melanau Balingian. Pada ketika itu dikatakan orang Baketan masih lagi belum bercampur gaul dengan etnik Melanau Balingian. Dikatakan Sagong seorang pemuda Baketan ini telah jatuh cinta dengan Kunyau, wanita Melanau Balingian hanya dengan mendengar cerita indah dari rakan-rakannya yang sering ke rumah panjang etnik Melanau Balingian.
Sagong dikenali sebagai pemuda yang tidak pernah berputus asa dan apa jua yang dikehendakinya akan dipenuhinya biarpun seribu onak nan berduri yang menanti. Sagong juga terkenal dengan kepahlawanannya dan dikatakan seorang anak Baketan yang pandai bermain senjata serta agak tampan orangnya. Dan Sagong juga bukanlah pemuda Baketan yang sembarangan kerana dia juga anak kepada Penghulu orang Baketan di Balingian pada waktu itu. Boleh dikatakan Sagong merupakan calon menantu yang paling ingin dimiliki oleh setiap keluarga Baketan suatu waktu dahulu.
Hendak dijadikan cerita, Sagong dengan perasaan cintanya telah memberanikan dirinya untuk berjumpa dengan Kunyau di rumah panjang Melanau Balingian. Apabila berjaya bersua secara empat mata dengan Kunyau, Sagong telah mencurahkan segala isihatinya kepada Kunyau namun saying sekali, Sagong terpaksa pulang dengan hati yang hampa kerana cintanya hanya bertepuk sebelah tangan. Kunyau dikatakan hanya ingin mengahwini pemuda dari etnik Melanau sebagai suaminya.
Dengan hati yang hampa dan terluka, Sagong kembali ke kampung Baketan di Balingian. Kerana berasa tercabar dengan cara pemilihan Kunyau itu akhirnya membawa kepada keputusan Sagong untuk menghimpunkan seberapa ramai pahlawan Baketan pada masa itu untuk menyerang rumah panjang Melanau Balingian tempat di mana Kunyau tinggal. Bagi Sagong, dia telah menggunakan cara yang lembut untuk memiliki Kunyau namun sebaliknya ditolak dan hanya dengan mengalahkan Melanau Balingian di dalam perang sahaja akan boleh memaksa Kunyau menerimanya sebagai suaminya.
Setelah kesemua peralatan perang siap dan pahlawan Baketan telah siaga semuanya maka bertolaklah 100 orang pahlawan Baketan termasuk Sagong berjalan kaki menrentasi denai-denai hutan dari Gunung Lesong dan seterusnya ke cabang Sungai Arip iaitu anak Sungai Balingian. Kemudian mereka melalui Bukit Piring dan seterusnya ke cabang Sungai Bawang. Sehingga ke Sungai Bawang itu, perjalanan darat mereka terhenti kerana mereka harus membina perahu untuk ke rumah panjang Melanau Balingian.
Apabila terpaksa membina perahu maka Sagong telah membahagi-bahagikan tugas kepada kumpulan pahlawan Baketan ini. Ada yang ditugaskan untuk mencari kayu di hutan bagi membina perahu dan ada yang diperintahkan untuk menjaga kawasan dan ada yang harus ke dalam hutan untuk memburu bagi mendapatkan sumber makanan mereka.
Al-kisahnya pemburuan pertama mereka adalah seekor babi hutan yang besar yang pada perkiraan kasar sebenarnya cukup untuk mereka makan namun yang menghairankan apabila ianya sudah siap dimasak, daging babi hutan tersebut tidak mencukupi langsung. Kerana ada lagi pahlawan Baketan yang tidak sempat merasai makana telah memaksa Sagong untuk mengarahkan sekumpulan lagi pahlawan Baketan pergi berburu di hutan. Kali ini seekor rusa yang agak besar berjaya diburu.
Sagong mengarahkan tukang masak untuk segera memasak hasil buruan tadi dan segeralah dibahagi-bahagikan kepada yang belum makan. Namun sekali lagi didapati yang daging ini tidak cukup untuk dibahagikan. Melihat kepada kejadian itu, Sagong bertindak masuk ke hutan dan memburu seorang diri. Kali ini Sagong hanya mampu membawa pulang seekor tupai. Yang peliknya apabila sudah siap dimasak, daging tupai ini sudah lebih dari cukup untuk baki mereka yang tidak makan lagi malah ianya mencukupi untuk kesemua kumpulan pahlawan Baketan ini.
Melihat kepada peristiwa yang pelik ini, maka pahlawan Baketan yang bersama-sama dengan Sagong menyedari bahawa Sagong yang menjadi ketua mereka ini bukanlah calang-calang orangnya kerana dia juga mempunyai keistimewaan yang tidak terlihat oleh pandangan mata kasar seorang manusia.
Manakala di rumah panjang Melanau Balingian telah tersebar desas-desus tentang kedatangan Sagong untuk berperang dengan mereka demi cintanya dengan Kunyau, anak gadis Melanau Balingian. Pahlawan-pahlawan Melanau Balingian juga telah siap siaga untuk menunggu musuh yang akan tiba. Namun begitu setelah mendengar cerita akan kesaktian Sagong sewaktu memburu itu mereka tahu bahawa berperang dengan Sagong dan 100 orang Baketan bukanlah satu perkara yang mudah.
Dengan musyawarah antara mereka ditambah lagi dengan sikap etnik Melanau Balingian yang sememangnya tidak gemar untuk berperang, mereka telah berjaya memujuk Kunyau untuk mengahwini Sagong. Kunyau pula setelah mendengar cerita akan kesaktian si Sagong secara diam-diam telah jatuh cinta dengan Sagong dan bagi dirinya daripada pertemuan pertama sememangnya dia sendiri menyaksikan kesungguhan Sagong untuk memperisterikannya cuma hatinya ketika itu berbelah bagi.
Berbalik kepada Sagong dan 100 pahlawan Baketan pula setelah mampu menyiapkan perahu di cabang Sungai Bawang, akhirnya mereka memudiki sehingga ke rumah panjang Melanau Balingian. Apabila sampai alangkah terkejutnya Sagong dan 100 pahlawan Baketan kerana mereka disambut dengan penuh adat istiadat Melanau Balingian pada waktu itu. Dan alangkah bahagianya hati Sagong kerana tanpa beliau sedari Kunyau juga telah bersetuju untuk menjadi permaisuri hidupnya.
Apabila segalanya sudah dipersetujui maka majlis perkahwinan Sagong, pahlawan Baketan dengan Kunyau, gadis Melanau Balingian telah dilangsungkan dengan penuh adat istiadat perkahwinan Melanau pada waktu itu. Dikatakan sejak dari itulah, etnik Baketan dan etnik Melanau Balingian telah menjadikan perkahwinan campur ini sebagai tradisi di dalam penghidupan mereka. Dan akhirnya etnik Baketan meresapi segala adat istiadat Melanau Balingian dan mereka juga tinggal sebumbung iaitu di rumah panjang Melanau.
Akibat daripada perkahwinan ini jugalah dikatakan bahawa dialek Melanau yang dipertuturkan oleh Melanau Balingian ini agak berbeza berbanding dialek Melanau yang lain kerana adanya pengaruh bahasa Baketan di dalamnya.
"Kalau Sudah Jodoh Tidak Akan Ke Mana" :D
Nota: Foto penghias artikel adalah hakmilik kepada Savior Tero Richard dengan tajuk Melanau Traditional Wedding Costume.