PEMAKAIAN “ANTING-ANTING LOYANG” BAGI WANITA KAUM ORANG ULU SARAWAK
PEMAKAIAN “ANTING-ANTING LOYANG” BAGI WANITA KAUM ORANG ULU SARAWAK
Pemakaiannya umpama “permata” bagi wanita Kaum Orang Ulu Sarawak suatu waktu dahulu. Lagi panjang cuping telinga itu dikatakan lagi cantik wanitanya dan lagi tinggi “sahamnya” di mata setiap lelaki Kaum Orang Ulu Sarawak. Inilah salah satu tradisi yang telah dipraktikkan sumber warisan zaman berzaman yang berkemungkinan besar akan pupus tidak lama lagi apabila generasi muda zaman sekarang tidak lagi gemar untuk memakainya.
Seringkali bila kita melihat foto-foto vintage akan kita lihat ramai wanita dari Kaum Orang Ulu Sarawak mempunyai cuping telinga yang panjang dan akan kelihatan juga adanya anting-anting tradisional yang dipanggil anting-anting loyang di hujung telinganya. Dikatakan amat sukar untuk mendapati adanya generasi muda yang memakai anting-anting loyang sebagai penghias diri sekarang kerana ianya sudah tentu dikatakan ketinggalan zaman bagi generasi moden sekarang.
Cuping telinga yang panjang melambangkan kecantikan bagi wanita dari Kaum Orang Ulu, Sarawak selain menambahkan penampilan mereka suatu waktu dahulu. Secara tradisi, ibubapa mula menebuk cuping telinga bayi mereka yang hanya berumur sekitar beberapa bulan dengan menggunakan buluh kerana pada suatu waktu dahulu sebatang jarum amatlah mahal harganya di pasaran.
Bermula dengan meregang cuping telinga bayi mereka yang masih berumur beberapa bulan dengan memakai anting-anting loyang berat yang diperbuat daripada tembaga atau anting-anting lain. Berat anting-anting baru akan ditambah dari semasa ke semasa untuk terus meregangkan cuping telinga, selalunya sehingga ke paras bahu si pemakai.
Pada peringkat awal pemasangan anting-anting loyang digunakan sebagai pemberat dianggarkan seberat 100 gram. Beratnya kemudian diubah dari semasa ke semasa sehingga mencecah 500 gram sepasang. Anting-anting berkenaan akan dipakai pada waktu siang hari dan akan dibuka pada waktu malam.
Kebiasaannya, mereka menggunakan tembaga kerana ia kekuningan bersinar dan menyerupai warna emas. Saiz dan bentuknya pelbagai, ada yang menyerupai gelang dan ada juga berbentuk bulat dan bujur. Itulah tradisi pemakaian anting-anting loyang ini yang memerlukan kesabaran kerana prosesnya begitu memakan masa sehingga seperti adanya yang kita lihat di foto-foto vintage itu.
Bagi wanita dari Kaum Orang Ulu beranggapan semakin panjang cuping telinga mereka, semakin menyerlah kecantikan mereka. Walaupun sekarang tradisi meregangkan cuping telinga tidak lagi diamalkan oleh generasi muda, namun ia merupakan satu warisan yang tidak dapat dilupakan begitu sahaja. Pemakaian anting-anting loyang ini sebenarnya mempunyai beberapa kaitan dengan adat warisan bagi masyarakat Orang Ulu Sarawak yang mana ianya juga melambangkan kekayaan keluarga si pemakai selain daripada adat dan simbol kecantikan wanita Kaum Orang Ulu Sarawak.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Orang Ulu Sarawak dikatakan hanya beberapa ratus orang sahaja wanita Kaum Orang Ulu Sarawak yang masih lagi mempunyai cuping telinga yang panjang serta masih lagi memakai anting-anting loyang dan tidak dinafikan tidak lama lagi ianya akan pupus kerana tiada penerus kepada adat warisan ini daripada generasi muda sekarang. Sayang seribu kali sayang kerana inilah sebenarnya antara warisan dan jati diri masyarakat orang ulu Sarawak yang mungkin tidak sama dengan mana-mana etnik-etnik di dunia ini.
#KamekSayangSarawakBah!