top of page

PENGHULU IMBAN ANAK MEDAN


PENGHULU IMBAN AK MEDAN

Namanya mungkin tidak begitu popular malah mungkin tidak diketahui langsung oleh generasi Sarawak sekarang namun begitu jasanya di dalam memartabatkan bangsa Sarawak memang tiada galang gantinya kerana personaliti yang hendak dipaparkan oleh Borneo Oracle ini adalah seorang anak Sarawak yang telah berkorban nyawa demi keselamatan anak-anak buahnya ketika era komunis durjana sekitar 1970an.

Penghulu Imban Ak Medan merupakan anak Iban bangsa Sarawak yang berasal daripada Batang Oya, Sibu, Sarawak Bumi Kenyalang. Beliau dilantik menjadi Ketua Kaum Iban di Rumah Balang Alau bagi menggantikan Penghulu Utol yang juga telah mengambil alih jawatan Ketua Kaum Iban setelah ayahnya Penghulu Imban meninggal dunia iaitu Penghulu Medan Ak Uli. Di ketika komunis berleluasa sekitar tahun 1970an ramai anak-anak lelaki dari kaum Iban telah diambil bertugas sebagai Pengakap Sempadan.


Ini semua kerana hanya anak-anak jati Sarawak sendiri yang lebih memahami serta mengenali akan selok-belok perhutanan Sarawak dan ini tidak terkecuali bagi anak-anak lelaki di Rumah Balang Alau ketika itu. Hasil daripada sumber informasi daripada perisikan mereka yang bekerja sebagai Pengakap Sempadan inilah dikatakan telah banyak menumpaskan aktiviti komunisme yang berleluasa di kawasan tersebut. Oleh kerana banyak aktiviti komunisme berjaya dipatahkan hasil maklumat daripada anak-anak Iban Rumah Balang Alau maka pengganas komunis yang berleluasa di sekitar Ulu Oya dan Pakoh yang menggelar diri mereka Tentera Oya Mukah Tatau (OMT) ingin membalas dendam terhadap mereka ini semua.

Sekitar tahun 1970an, ancaman komunis terlalu berleluasa di sekitar Ulu Oya dan ini menyebabkan penduduk-penduduk di rumah panjang di sekitar Ulu Oya dan Pakoh hidup di dalam ketakutan. Pada ketika itu komunis yang menggelar diri mereka Tentera Oya Mukah Tatau (OMT) diceritakan telah lari menyelamatkan diri setelah kalah ditempur oleh tentera Kerajaan Malaysia di Kanowit. Hal ini telah meresahkan penduduk-penduduk sehingga Tuai Rumah Ambik Jelanggai dan Sebindang mengadu kepada Penghulu Imban Ak Medan yang merupakan Ketua Kaum Iban di situ pada waktu itu.


Bertindak daripada aduan ini, Penghulu Imban Ak Medan telah berpakat dengan beberapa orang Tuai Rumah untuk membuat satu laporan polis di Sibu. Berdasarkan sumber perisikan rakyat tempatan ini dan laporan polis yang telah dibuat itu maka ianya membantu pasukan mata-mata gelap untuk meneruskan intipan serta menangkap komunis tersebut dan ternyata ianya telah berjaya menangkap seorang daripada komunis Tentera OMT.

Dendam kesumat pengganas komunis Tentera OMT terhadap penduduk dan penghulu yang memberikan informasi tentang mereka dilestarikan pada tanggal 25hb Februari 1972. Kira-kira pada jam 11 malam, komunis Tentera OMT telah menyerang Rumah Balang Alau iaitu rumah panjang yang dihuni oleh Penghulu Imban Ak Medan. Kesemua penghuni Rumah Balang Alau tidak kira lelaki atau perempuan serta kanak-kanak telah dijadikan tebusan dan diletakkan di ruai rumah panjang tersebut.


Ketika inilah komunis tentera OMT telah menarik Penghulu Imban dan mendesak Penghulu Imban untuk membocorkan rahsia berkenaan anak-anak buahnya yang berkerja sebagai Pengakap Sempadan. Penghulu Imban walau diasak dan diseksa bertubi-tubi tetap membisu seribu bahasa walaupun pada ketika itu Penghulu Imban berusia 78 tahun. Kerana terlalu marah apabila maklumat yang diminta tidak diberikan salah seorang komunis tentera OMT telah cuba menembak Penghulu Imban dari jarak dekat namun senapang yang digunakan tidak memuntahkan peluru.


Kerana terlalu marah salah seorang komunis Tentera OMT telah bertindak menghentak kepala Penghulu Imban dengan menggunakan senapangnya sehingga menyebabkan Penghulu Imban cedera parah dan pengsan. Pada ketika inilah salah seorang komunis Tentera OMT telah menyelongkar badan Penghulu Imban dan menanggalkan segala tangkal yang ada pada badannya. Komunis Tentera OMT ini sudah tahu kelemahan Penghulu Imban dan akhirnya Penghulu Imban terkulai ditembak oleh mereka dengan disaksikan oleh semua anak-anak buahnya di ruai rumah panjang tersebut.

Setelah dendam kesumat komunis Tentera OMT itu terbalas iaitu dengan membunuh Penghulu Imban di hadapan anak-anak buahnya, pihak komunis OMT ini pun berlalu pergi. Peristiwa pembunuhan Penghulu Imban ini bukanlah menyebabkan semua anak-anak buahnya menjadi penakut sebaliknya ianya telah menjadi pembakar semangat untuk mereka terus-terusan menentang komunis Tentera OMT nyah daripada bumi mereka.


Pada 26hb Februari 1972, Mendiang Penghulu Imban telah disemadikan di Nanga Pakoh. Bertitik tolak daripada serangan itu juga, keseluruhan penghuni Rumah Balang Alau telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat pada Ogos 1972 iaitu di Nanga Sekuau. Atas jasa Mendiang Penghulu Imban ini yang sanggup berkorban dengan tidak mengikut telunjuk komunis walaupun nyawanya sendiri melayang, pihak kerajaan telah memberikan penghormatan kepada mendiang dengan melakukan satu upacara khas pengebumian semula rangka mendiang pada 26hb Februari 2012 di sebuah monumen khas di skim penempatan semula Nanga Sekuau iaitu kira-kira 45 km daripada Sibu, Sarawak.

Inilah sejarah tentang seorang wira Sarawak yang tidak didendangkan malah tidak dikenali langsung oleh bangsa Sarawak. Beliau sanggup mengorbankan dirinya bagi menyelamatkan anak-anak buahnya daripada dibunuh oleh pengganas komunis yang berleluasa sekitar tahun 1970an. Mendiang Penghulu Imban bukanlah seorang anggota tentera malah hanya orang biasa tetapi semangat dan pengorbanannya melebihi daripada segalanya.


bottom of page