top of page

PERANG BETING-MARAU 1849


PERANG BETING-MARAU 1849


Di ketika Rajah James Brooke sedang di dalam proses mengembangkan empayar Sarawak Kingdom sehingga ke pedalaman Sarawak suatu waktu dahulu, ramai masyarakat pribumi Sarawak yang bangun memberontak. Ini kerana dasar pentadbiran Brooke yang telah cuba mengubah penghidupan masyarakat pribumi iaitu lebih-lebih lagi di dalam soal cukai, dasar berpindah-randah dan banyaknya.


Dan apabila berlakunya keributan di dalam pentadbiran kawasan pendalaman, mahu tidak mahu Rajah James Brooke akan menghantar angkatan lautnya nun jauh di pedalaman bagi menjernihkan suasasa. Maka banyaklah perang atau ekspedisi-ekspedisi yang dilancarkan oleh Brooke dengan kebiasaannya dijayakan oleh masyarakat tempatan yang bersetuju untuk bersekongkol dengannya.


Antara banyak perang Brooke dengan masyarakat tempatan Sarawak, salah satunya adalah yang dinamakan Perang Beting-Marao 1849. Perang ini merupakan salah satu perang terbesar di dalam rentetan sejarah Sarawak Kingdom sehingga memungkinkan ianya telah mengorbankan banyak nyawa serta kemusnahan yang besar.


Pada 31 Julai 1849, satu pertempuran telah berlaku antara kaum Iban aribas dengan armada perang James Brookes. Lokasi pertempuran adalah di sebuah beting pasir yang besar yang diberi nama Beting Marau di Kuala Sungai Kerian, Sarawak. Pada dasarnya perang ini adalah berbentuk peperangan serang hendap kerana pihak kumpulan Iban-Saribas yang diketuai oleh seorang panglima Iban iaitu Linggir Mali Lebu dari Pakan tidak mengetahui bahawa musuh sedang menunggu mereka. Berita bahawa sebuah kumpulan dari kaum Iban-Saribas dengan kekuatan 150 buah perahu di dalam perjalanan hendak berperang telah sampai ke pengetahuan James Brooke terlebih dahulu.


Bertitik tolak daripada sumber maklumat itu, Rajah James Brooke telah membuat persediaan lebih rapi tanpa diketahui oleh Linggir Mali Lebu dan pahlawan iban Saribas yang lain. Rajah James Brooke dan angkatan perangnya telah bertolak dari kuala Sungai Sarawak pada 25 Julai 1849 dan mengepung Kuala Sungai Kerian pada 27 Julai 1849 dengan berselindung tepi-tepi sungai dengan penuh siap siaga. Semua ini dilakukan bagi membuat serangan hendap ke atas kumpulan tersebut apabila mereka hendak pulang ke tempat mereka di Sungai Saribas.


Dikhabarkan bahawa kumpulan Iban-Saribas ini telah menyerang perkampungan di Igan, Matu dan Paloh di Nanga Rajang. Dalam perjalanan kembali dari Igan, Matu dan Paloh, mereka dengan tergesa-gesa hendak menyerang Sarikei, tetapi gagal kerana orang-orang di Sarikei telah pun bersedia. Setelah gagal menyerang Sarikei, kumpulan Iban Saribas ini lalu berpatah balik dan hendak terus menyerang Duri, di Batang Sadong yang dahulunya pernah diserang oleh orang Iban dan Melayu Saribas-Skrang di bawah pimpinan Orang Kaya Dana Bayang dan juga Datuk Patinggi Udin dari Rantau Anak (Entanak) di Betong.


Walau bagaimanapun, apabila kumpulan Iban-Saribas ini betul-betul berada di Kuala Sungai Kerian, mereka telah ditembak oleh angkatan laut Rajah James Brooke. Angkatan James Brooke telah menunggu ketibaan kumpulan Iban-Saribas ini selama lebih kurang 3 hari. Rajah James Brooke telah melengkapkan angkatannya dengan 3 buah armada kapalnya iaitu H.M.S Royalist, Albatros dan Namesis. Angkatan perang yang lengkap ini juga disertai oleh beberapa buah kapal-kapal kecil dan perahu yang mengandungi lebih daripada 3,500 orang.


Maka setelah 3 hari barulah kelihatan 150 buah perahu ini yang menuju ke Kuala Kalaka. Apabila hari malam, perahu-perahu tersebut cuba untuk memasuki Sungai Saribas dan disinilah bermulanya pertempuran yang maha dahsyat yang pernah dicatatkan di dalam sejarah Sarawak. Tembakan meriam dan senapang telah memusnahkan angkatan kaum Iban-Saribas ini dan diceritakan hanya perahu Linggir dan Abang Apung yang berjaya meloloskan diri di dalam perang ini.


Lebih 800 orang Iban-Saribas yang terkorban dan lebih 3700 pengikut yang lain telah melarikan diri. Inilah perang Beting-Marau yang telah mengakibatkan kemusnahan yang besar kepada kumpulan Iban-Saribas pada tahun 1849.


Selepas peperangan tersebut, Rajah James Brooke telah membina kubunya di kawasan Sungai Lang agar memastikan bahawa Rentap iaitu sekutunya, Linggi Mali Lebu tidak dapat bersatu dengannya bagi menentang Rajah James Brooke pada masa hadapan.


bottom of page