REGATTA SARAWAK
REGATTA SARAWAK (since 1871)
Regatta Sarawak adalah salah satu daripada sukan air yang amat popular di Sarawak. Saban tahun ianya akan diadakan di Sungai Sarawak dan telah menjadi antara acara nasional di Sarawak. Saban tahun ianya telah mengamit ramai pelancong samada dari luar negeri ataupun pelancong tempatan.
Sebenarnya, Sarawak Regatta bukannya sukan era Sarawak moden kerana regatta ini sebenarnya telah dimulakan sejak di zaman pemerintahan Rajah Brooke lagi. Regatta Sarawak yang pertama telah diadakan pada bulan Januari 1871 di Kuching Sarawak. Pada masa itu terlalu banyak peperangan tempatan yang berlaku di antara puak-puak di Sarawak jadi Rajah Brooke berpendapat adalah elok sekiranya satu sukan diadakan bagi menyatukan kesemua puak-puak yang bertelagah ini.
Oleh kerana pada masa itu pengangkutan utama adalah pengangkutan air maka sukan air sudah tentu akan menarik minat ramai puak-puak di Sarawak kerana kesemua mereka sudah tentu arif dan handal berdayung sampan. Setelah dipersetujui maka Raja Charles Brooke melalui kapalnya bernama “Maimunah” telah menghantar undangan kepada semua ketua suku kaum pribumi ini tentang sukan yang hendak diadakan ini. Ternyata sambutan positif diterima daripada kesemua ketua suku kaum pribumi untuk turut serta di dalam sukan ini.
Selain daripada itu pada tahun 1899, Regatta Baram telah diadakan di Sungai Baram dan dianjurkan oleh Residen Charles Hose dengan visi yang sama iaitu untuk menghapuskan perpecahan dan memujuk kesemua suku kaum yang bertelagah untuk membantu Kerajaan Brooke di dalam keamanan. Residen Charles Hose berpendapat setelah pengharaman “potong kepala” iaitu amalan tradisi bagi masyarakat Dayak Sarawak ketika itu adalah elok sekiranya mereka yang bertelagah ini diberikan peluang untuk menghabiskan waktu dengan melibatkan diri di dalam sukan. Dikatakan Regatta Baram juga mendapat respons yang baik daripada suku kaum di daerah Baram.
Setelah mendapat respon yang begitu menggalakkan maka bermulalah persediaan untuk regatta ini. Ketua-ketua kaum pribumi telah berganding bahu dengan anak buah mereka untuk pergi ke hutan mencari kayu yang terbaik untuk membuat perahu. Pelbagai bentuk dengan pelbagai ciri-ciri istimewa bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Ini kerana kemenangan di dalam sukan ini melambangkan maruah kaum pribumi itu dan akan menjadi sebutan sepanjang zaman. Selain mencari kayu yang terbaik untuk membuat perahu, peserta sukan ini juga didedahkan dengan latihan tradisional untuk memberikan impak yang lebih sewaktu bertanding itu nanti.
Sejak daripada tarikh itu, Sarawak regatta terus menjadi sukan tradisi di Sarawak Bumi Kenyalang sehinggalah sekarang. Jika dahulunya mungkin perahunya lebih kepada perahu perang tetapi sekarang sejajar dengan peralihan masa, telah ditambah pelbagai acara sukan air moden seperti pertandingan bot ski, perahu berhias dan banyak lagi. Jumlah penyertaan jika dahulunya untuk suku kaum yang bertelagah, sekarang peserta-peserta Sarawak Regatta telah mencakupi bahagian-bahagian di seluruh Sarawak tidak kira daripada kerajaan ataupun swasta malah negara jiran iaitu Negara Brunei Darussalam juga seringkali menghantar pasukan terbaik mereka untuk menyertai sukan air ini. Semoga sukan air tradisi kebanggaan rakyat Sarawak akan terus dikekalkan sampai bila-bila.
Lan Berambeh Ke Sarawak!