top of page

ETNIK TRING, SARAWAK, BORNEO


ETNIK TRING, SARAWAK, BORNEO


Etnik Tring???... sudah tentu ramai bangsa Sarawak sendiri tidak pernah mendengar tentang satu lagi etnik minoriti ini di Sarawak Bumi Kenyalang. Terlalu kurang pendedahan mengenai mereka untuk kita cuba mengenali sejarah tentang etnik ini. Dan mungkin ramai tidak tahu bahawa ada cerita zaman lampau mengenai etnik ini yang wajar untuk kita ketahui. Etnik Tring adalah salah satu daripada sub-etnik yang menjadi pembentuk apa yang dipanggil Kaum Orang Ulu Sarawak sekarang. Dahulunya populasi mereka ramai di kawasan Baram, Miri, Sarawak dan mereka dikatakan amat dekat dengan satu lagi etnik minoriti di Sarawak iaitu etnik Berawan yang ramai menghuni kawasan Sungai Tinjar di Baram, Miri, Sarawak.


Menurut sejarah penghijrahannya etnik Tring ini dikatakan antara sekelompok masyarakat Dayak yang berasal daripada apa yang dipanggil rumpun Apokayan iaitu yang berasal daripada pinggiran Sungai Kayan, Kabupaten Bulungan, Kalimantan Timur sekarang. Mereka yang berasal daripada rumpun Apokayan ini terbahagi kepada 3 iaitu suku Dayak Kenyah, Suku Dayak Kayan dan Suku Dayak Bahau. Dan etnik Tring ini merupakan mereka daripada Suku Dayak Bahau yang juga mempunyai sub etniknya sendiri seperti Hwang Tring, Hwang Siraw, Hwang Anah dan Hwang Boh.


Seperti etnik-etnik dayak yang bertebaran di bumi Borneo sekarang, etnik Tring juga merupakan antara etnik yang terkenal dengan kegagahan mereka dengan Perang Ngayau iaitu perang perluasan wilayah di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Dan yang menjadikan etnik Tring ini satu epik di dalam sejarah etnik-etnik dayak di bumi Borneo kerana dikatakan hanya etnik ini suatu waktu dahulu mengamalkan budaya kanibal iaitu memakan manusia sewaktu Perang Ngayau dijalankan.


Jika etnik yang lain hanya melakukan pemenggalan kepala musuh namun sebaliknya etnik Tring melakukan lebih dari itu. Selain daripada kepala musuh yang dipenggal, mereka juga dikatakan turut memakan hati musuh mereka sebagai tanda kekuatan dan kemenangan mereka ke atas musuh-musuh mereka suatu waktu dahulu.


Jika dilihat daripada status stratifikasi sosial, tiada bezanya etnik Tring dengan kebanyakan etnik-etnik yang membentuk Kaum Orang Ulu Sarawak kerana mereka juga mempunyai stratifikasi sosial tersendiri iaitu dimulai dengan Hipui yang bermaksud golongan masyarakat bangsawan. Kemudian diikuti dengan Panyin yang bermaksud golongan pertengahan dan akhir sekali adalah Dipan iaitu golongan hamba.


Sejajar dengan waktu, etnik Tring juga hanya mengamalkan stratifikasi sosial Hipui dan Panyin di dalam beberapa upacara ritual mereka seperti kematian, perkahwinan dan pertunangan. Stratifikasi sosial Dipan telah lama dihapuskan kerana tiada lagi golongan tersebut wujud di dalam masyarakat mereka sekarang.


Dari segi bahasa pula, etnik Tring juga mempunyai bahasa mereka tersendiri yang juga merupakan rumpun klasifikasi bahasa Austronesian; Malayo-Polynesian, Northwest, North Sarawakan, Dayic, Kelabitic. Kerana dekatnya hubungan persaudaraan antara etnik Berawan dengan etnik Tring, maka bahasa etnik Berawan di Sarawak juga mempunyai beberapa persamaan bahasa dengan etnik Tring.


Jika dahulunya etnik Tring merupakan antara etnik di bumi Borneo yang juga merupakan menganuti agama pagan atau animisme namun setelah kedatangan mubaligh-mubaligh kristianiti di bumi Sarawak, mereka juga sudah menganuti agama Kristian sebagai pedoman penghidupan mereka. Ada sesetengah ritual budaya mereka yang diwarisi dari nenek moyang mereka masih lagi diamalkan namun ianya tidak bertentangan dengan agama Kristian yang mereka anuti sekarang.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page