KRAFTANGAN MANIK ETNIK PRIBUMI SARAWAK
KRAFTANGAN MANIK ETNIK PRIBUMI SARAWAK
Sejak zaman berzaman manik merupakan simbol tradisi kepada kemewahan dan kedudukan darjat seseorang terutama sekali di kalangan etnik pribumi di Sarawak. Ada sesetengah etnik pribumi Sarawak menjadikan manik sebagai wasiat pusaka yang diwarisi daripada ibu kepada anak perempuan yang lain dari generasi ke generasi. Inilah uniknya kraftangan manik kepada etnik di Sarawak.
Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh Sir Roland Bradel (1947) ada menyatakan bahawa asal-usul kraftangan manik yang digunakan oleh etnik pribumi Sarawak sebenarnya dibawa masuk oleh saudagar-saudagar Sabean suatu waktu dahulu. Dikatakan manik-manik yang digunakan di dalam kraftangan etnik di Sarawak ini adalah berasal dari Mesir, Greece, India dan China sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Menurut laporan H.C Beck (1930) pula bahawa rantai leher manik dan karangan manik enam sejajar yang ditemui pada kraftangan etnik pribumi Kelabit dan Bidayuh Sarawak adalah hampir sama dengan dengan rantai leher dan karangan manik yang ditemui di Greece dan Rom. Dengan kenyataan daripada laporan daripada kedua-dua ini dapat disimpulkan bahawa suatu waktu dahulu bahawa nenek moyang kedua-dua etnik ini telah pun mengadaptasi corak dan design daripada luar negara lagi dengan menggunakan manik-manik yang bermutu tinggi daripada luar negara dan kemudiannya mengadunkannya dengan bahan-bahan mentah tempatan seperti kaca lebur.
Manik mempunyai pelbagai bentuk dan warna. Di bahagian hujung manik selalunya berbentuk rata dan kemudian ditebuk lubang ditengah-tengahnya agar memudahkan memasukkan benang. Benang biasanya diperbuat daripada serat gentian daun nenas ataupun serat gentian yang lain asalkan ianya tahan lasak. Setelah siap manik-manik akan membentuk satu kraftangan yang indah dan boleh digunakan sebagai rantai leher, gelang tangan untuk lelaki mahupun wanita.
Suatu waktu dahulu, sudah menjadi kebiasaan kepada isteri para pembesar atau isteri kepada orang yang berpangkat contohnya Tuai Rumah memakai hiasan manik-manik bagi menunjukkan kepada masyarakat kepada darjat mereka di dalam satu institusi masyarakat namun sekarang kraftangan manik sudah menjadi satu yang menjadi kebanggaan kepada masyarakat Sarawak sendiri malah ianya menjadi satu kemestian bagi warga asing untuk memilikinya kerana ianya adalah satu kraftangan yang unik dan cantik.
Pada dasarnya nilai sesuatu manik itu berbeza mengikut kaum etnik di Sarawak. Bagi kaum Bidayuh lebih menghargai manik-manik kaca yang berwarna kebiru-biruan dan manik batu yang berwarna biru kehijauan. Dan kerana itulah jika dilihat kepada kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat Bidayuh sudah tentu mempunyai manik-manik seperti ini. Untuk kaum Kelabit pula, manik kaca yang berwarna biru muda, manik batu atau permata merah dan manik tulang yang berwarna jingga hingga coklat tua akan menjadikan kraftangan yang dihasilkan oleh mereka tampak gah dan unik.
Bagi kaum Kayan dan Kaum Kenyah pula manik yang mempunyai pelbagai warna akan menjadi kegemaran. Manik pelbagai warna ini dikenali sebagai Manik Lukut. Dikatakan suatu waktu dahulu, masyarakat Kayan dan Kenyah amat menghargai nilai Manik Lukut sehingga nilai Manik Lukut ini sama dengan nilai seorang wanita suruhan di dalam masyarakat itu sendiri. Ini sudah cukup menggambarkan betapa tingginya nilai kraftangan manik-manik ini dalam sosio budaya masyarakat etnik di Sarawak suatu waktu dahulu.
Untuk masyarakat Melanau pula gemar untuk menggunakan manik kaca yang berwarna biru muda. Melihat kepada adat 9 pikul, 7 pikul, 5 pikul di dalam status darjat pengantin di dalam masyarakat Melanau yang mementingkan adat maka penggunaan manik-manik ini amat digunapakai sewaktu membuat hantaran semasa perkahwinan. Malah di dalam adat upacara pengebumian masyarakat Melanau, manik juga menjadi salah satu barangan yang wajib.
Inilah pesona dan keunikan kraftangan manik hasil daripada cetusan idea kreatif daripada masyarakat etnik di Sarawak seperti kaum Kelabit, Kenyah, Kayan, Bidayuh dan Melanau yang menjadi kegilaan kepada warga muda mahupun rakyat asing di Sarawak. Penghasilan kraftangan tudung saji, pelilit kepala, pengendong bayi, bakul dan sebagainya haruslah diteruskan agar ianya tidak hilang ditelan dek zaman.
Sumber warisan zaman berzaman ini haruslah diteruskan oleh generasi-generasi muda Sarawak untuk terus mempelajari pembuatan kraftangan manik-manik kerana ianya adalah satu permata bagi Bangsa Sarawak.