SARAWAK DOLLAR
SARAWAK DOLLAR
Ringgit Malaysia (RM) itulah matawang sah yang digunapakai oleh semua rakyat Sarawak setelah Sarawak bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia pada 16hb September 1963. Sebenarnya sejarah perjalanan matawang yang digunapakai oleh Bangsa Sarawak suatu ketika dahulu telah melalui beberapa fasa iaitu Sarawak menjadi tanah kuripan pembesar Negara Brunei Darussalam sehinggalah Sarawak dibawah pemerintahan Keluarga Brooke yang dipanggil Sarawak Kingdom.
Sejarah matawang Sarawak bermula apabila bijih timah, emas perak pernah dijadikan alat pertukaran untuk menilai barang yang diniagakan di samping sebagai piawaian mata wang. Namun setelah perdagangan berkembang pesat pertukaran barang tidak lagi sesuai dan seimbang dengan barang oleh itu penggunaan wang primitif , siput , Cowrie dan kepingan logam atau syiling diperkenalkan.
Di Sarawak pada suatu waktu dahulu, manik-manik yang diperbuat daripada kaca dan batu permata dikenali manik-manik mata wang digunakan didalam perniagaan tukar barang ataupun “system barter”. Bagi kawasan pendalaman Sarawak, cerek tembaga, meriam tembaga kecil juga merupakan antara sistem matawang yang diiktiraf pada waktu itu.
Namun setelah kedatangan Keluarga Brooke di dalam era pemerintahannya di Sarawak, sistem matawang Sarawak adalah lebih teratur dan moden. Rajah Brooke telah memperkenalkan Dolar Sarawak yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan Kerajaan Sarawak antara tahun 1858 hingga 1953. Jika diukur daripada nilainya Dolar Sarawak adalah sama nilainya dengan Dolar Selat (Mata wang yang diguna pakai oleh negeri-negeri Selat sewaktu berada di dalam pemerintahan Koloni British bagi Pulau Pinang, Singapura).
1 Dolar Sarawak pada waktu itu bersamaan dengan 2 syiling 4 peni Dolar Selat. Dolar Sarawak boleh dibahagikan kepada 100 sen. Variasi matawang Negara Sarawak pada sejarahnya adalah di dalam bentuk jenis mata wang ¼ sen, ½ sen, 1 sen, 2 ½ sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Bagi variasi duit syiling 5 sen atau lebih, ianya diperbuat daripada logam yang berharga iaitu diperbuat daripada tembaga dan nikel.
Seperti duit syiling Malaysia sekarang, duit syiling Sarawak juga pada masa itu menonjolkan potret dan nama rajah Sarawak yang memerintah.
• James Brooke (ditulis sebagai J. Brooke) sehingga 1868; • Charles Anthoni Johnson Brooke (ditulis sebagai C. Brooke) dari 1868 hingga 1917 • Charles Vyner Brooke (ditulis sebagai C. V. Brooke) dari 1917 sehingga tamatnya penggunaan mata wang ini.
Siri pertama yang berbentuk nota bank atau duit kertas dikeluarkan oleh Perbendaraan Kerajaan Negara Sarawak pada tahun 1919 dengan ianya ditulis dengan tangan dan bermutu rendah. Disepanjang sejarahnya, nota bank Dolar Sarawak dikeluarkan dalam jenis mata wang 5 sen, 10 sen, 20 sen, 25 sen, 50 sen, $1, $5, $10, $25, $50, dan $100. Dan ianya juga menonjolkan potret dan nama rajah Sarawak yang memerintah pada waktu itu.
Sistem kewangan di Sarawak Kingdom pada waktu itu juga telah berkembang dengan baik sekali sejajar dengan perkembangan ekonomi perdagangan di Sarawak sehingga pada tahun 1925, Chartered Bank of India, Chartered Bank of Australia dan Chartered Bank of China telah membuka pejabat perbankan di Kuching untuk menguruskan sistem perbankan yang lebih teratur bagi urusan pembayaran Negara Sarawak dengan negara-negara daripada India, Australia dan China. Satu catitan sejarah yang membenarkan bahawa Negara Sarawak di zaman pemerintahan Rajah Brooke telahpun membuka urusan perdagangan antarabangsanya sendiri.
#KamekSayangSarawakBah!