top of page

FROM DALAT WITH LOVE


FROM DALAT WITH LOVE


Daerah Dalat merupakan satu pekan kecil yang lokasinya terletak di tepi Batang Oya. Daerah Dalat merupakan sebahagian daripada daerah yang membentuk Bahagian Mukah, Sarawak. Daerah Dalat meliputi kawasan yang besar dari Kampung Penat ke Oya dan dari muara Sungai Kut ke Ulu Baoh. Di dalam justifikasi Daerah Dalat merangkumi 3 pekan kecil, 23 buah kampung serta 22 rumah panjang yang ditadbir oleh Majlis Daerah Dalat.


Mengikut laporan bancian penduduk 2012 terdapat lebih kurang 19,000 orang penduduk yang mendiami daerah Dalat dengan kaum Melanau merupakan paling dominant disusuli oleh kaum Iban, Cina dan beberapa etnik kecil yang lain. Bahasa pertuturan utama di Daerah Dalat sesuai dengan dominasi kaum Melanau maka dialek Melanau tempatan menjadi pengantara komunikasi bagi penduduk-penduduk di kawasan sekitar tanpa mengira dari etnik mana mereka berasal. Inilah indahnya bumi Sarawak yang mana hampir setiap seorang daripada Bangsa Sarawak boleh menguasai bahasa etnik lain waima hanya 1 dialek yang boleh dipertuturkannya. Jadi janganlah hairan sekiranya ada kaum Cina Sarawak yang boleh bertutur lancar di dalam bahasa melanau di bumi Dalat sekarang.


Selain daripada pengangkutan darat yang menghubungkan Dalat dengan beberapa pekan-pekan kecil lagi di Bahagian Mukah serta Bintulu dan Miri yang agak popular di Dalat adalah pengangkutan sungai yang merupakan pengangkutan terpenting dari dahulu sehingga sekarang kerana lokasinya daerah Dalat yang terletak di tepi sungai dan muara sungai. Jadi adalah satu lumrah sekiranya kita mendapati bahawa hampir setiap rumah di Dalat mempunyai sampan atau perahu yang menggunakan enjin bermotor untuk kemudahan mereka melalukan aktiviti harian mahupun perniagaan mereka.


Mengikut sejarah oral dari orang tua-tua yang mendiami Dalat sebenarnya Dalat mendapat nama atas satu tragedi berdarah yang pernah berlaku di bumi Dalat suatu waktu dahulu. Tragedi berdarah ini berlaku antara 3 orang bersaudara dan pengikut-pengikut mereka. Ketiga-tiga mereka adalah anak kepada seorang yang paling dihormati di bumi Dalat suatu waktu dahulu. Dikatakan bahawa ayahanda 3 bersaudara ini meninggal dunia dengan mengejut tanpa meninggalkan wasiat pada siapa antara anak-anaknya untuk menjadi waris kepada harta-hartanya yang banyak itu.


3 bersaudara itu adalah Galau, Umat dan Lutong. Dan seperti mengikut adat sudah semestinya anak yang sulung iaitu Galau akan mewarisi kesemua harta ayahandanya dan kemudian beliau akan membahagi-bahagikan harta-harta tersebut kepada kedua orang adiknya namun sebaliknya yang berlaku. Akibat daripada tiadanya pembahagian yang adil maka Umat merasa tidak puashati dan pertelingkahan pun bermula. Lutong pula dikatakan seorang yang amat lembut hatinya dan boleh menerima apa yang abang sulungnya Galau berikan kepadanya dan di dalam cerita ini Lutong dikatakan telah memihak kepada Galau di dalam pertelingkahan harta itu.


Bermula daripada daripada hanya bertikam lidah akhirnya ia membawa kepada pertelingkahan secara besar-besaran memandangkan kesemua mereka ini mempunyai pengikut-pengikut yang tersendiri. Kemuncak kepada pertelingkahan harta ini akhirnya tercetuslah satu perang saudara di antara mereka yang tempatnya sekarang dinamakan Galau sekarang bagi memperingati peristiwa tersebut. Perang saudara ini agak besar sehingga terjadinya pertumpahan darah antara Galau, Lutong dan Umat serta pengikut-pengikut mereka.


Umpama menang jadi arang, kalah jadi abu begitulah cerita perang saudara ini dan akhirnya tiada siapa yang menang sebalik satu demi satu antara mereka tersungkur dengan bermandikan darah. Akibat daripada banyaknya nyawa yang terkorban dan tiada siapa yang berani untuk menguruskan mayat-mayat yang bergelimpangan itu maka lalat-lalat pun bermaharajalela menghurung mayat mereka yang terkorban. Sejak itu masyarakat tempatan menggelar tempat itu dengan nama Dalat ataupun Lalat di dalam dialek Melanau iaitu seekor serangga yang gemar pada benda yang busuk-busuk. Akhirnya nama Dalat menjadi sinonim untuk memperjelaskan daerah ini sehingga ke hari ini.


Daerah Dalat seperti daerah-daerah lain yang berada di dalam lingkungan Bahagian Mukah juga merupakan salah satu dari daerah yang kaya dengan peninggalan artifak purba etnik Melanau kerana disinilah dahulunya keberadaan ramai golongan aristocrat bangsa Melanau berasal. Jadi janganlah menghairankan sekiranya berkunjung ke daerah ini kita akan pasti melihat ada beberapa tinggalan jerunai atau jerunei iaitu salah satu mercu tanda tempat persemadian terakhir untuk golongan aristocrat kaum melanau iaitu mereka yang dari golongan raja dan kaum bangsawan etnik melanau suatu waktu dahulu.


Pembinaan dan proses persemadian untuk golongan aristocrat ini sudah cukup memberikan satu makna pada amalan ini beratus-ratus tahun dahulu. Mengikut ceritanya Jerunei hanya boleh diperbuat daripada pokok kayu belian yang besar dan cukup matang. Kebiasaannya 3 atau 2 buah lubang akan dikorek bagi mendirikan tiang Jerunei. Di lubang yang bawah dan tengah digunakan untuk menempatkan mayat atau rangka tulang si mati dan alat kelengkapan seperti barang-barang bernilai sebagai bekalan pada dunia baru atau alam mati. Manakala lubang di atas biasanya di khaskan kepada hamba abdi atau orang-orang yang dipilih khas oleh si mati sewaktu hidupnya.


Pada luar tiang Jerunei biasanya diukir indah dengan bermotifkan binatang sperti naga, harimau, ular, tikus dan sebagainya tertakluk kepada kedudukan pemiliknya. Begitu juga dengan ketinggian Jerunei melambangkan kedudukan dan darjat pemiliknya. Ada juga Jerunei diukir dengan bermotifkan alam flora dan buah-buahan seperti nenas dan sebagainya. Biasanya ketinggian Jerunei ialah dari 12 meter ke 15 meter. Hanya orang-orang yang mahir, tegap dan tinggi semangatnya sahaja layak untuk membuat, mengukir dan mendirikan jerunei. Biasanya seramai 15 ke 30 orang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja tersebut dan haruslah orang-orang Melanau juga.


Sebelum Jerunei itu didirikan istiadat kebesaran perlu diadakan dan nyanyian lagu tradisional turut didendangkan untuk diperdengarkan kepada para tetamu. Baharulah lubang digalikan untuk jerunei yang berukuran 10 meter tinggi dan 4 meter lebar lilitannya. Maka sampailah saatnya ketua adat memulakan acara menegakkan jerunei itu. Sebelum itu, seorang hamba abdi dihunjam ke dalam lubang hidup-hidup tempat tiang itu dipacak. Bayangkan saja suasana yang amat sayu ketika itu bagi dua keluarga, keluarga di raja dan sanak saudara hamba abdi. Raungan tangisan mengisi alam tetapi kepercayaanlah yang mengatasi segalanya. Proses itu dibuat kerana mereka percaya agar roh si mati sejahtera sampai ke alam lain dan tidak akan mengganggu mereka yang masih hidup.


Mayat aristrokrat Melanau yang sudah mati selama tiga hari turut diletak sama di dalam lubang khas itu bersama dengan alat kelengkapan dan barang bernilai sebagai bekalnya di alam lain nanti. Bagi seseorang yang mati lebih awal sebelum siapnya Jerunei maka mayatnya disimpan sehingga tinggal rangka tulang saja lalu diletakkan di dalam tempayan atau bekas besar. Tempayan yang mengandungi rangka dan tulang itu dimasuki ke dalam lubang. Proses mendiri Jerunei ini pun sama dengan di atas dengan menjunamkan seorang abdi ke dalam lubang tempat dipacakkan Jerunei itu.


Selain abdi dijunam ke dalam lubang maka akan dipilihlah seorang lagi abdi untuk menemani si mati. Biasanya abdi itu dipilih sendiri oleh si mati sewaktu hidupnya untuk teman bergurau apabila di alam lain nanti iaitu dunia si mati. Si abdi itu diikat dan diletak di ruang atas Jerunei itu, dibiar kehausan dan kelaparan sehingga mati dalam seksa dan sedih. Pemilik Jerunei itu bukan hanya untuk kalangan aristrokrat kaum lelaki bahkan isteri dan anak-anak mereka juga mengguna Jerunei sebagai perkuburan. Roh-roh abdilah nanti yang berperanan untuk menentukan kelancaran hidup mayat-mayat aristrokrat di alam mati nanti.


Namun penggunaan Jerunei telah lama ditinggalkan oleh masyarakat Melanau sekarang setelah kedatangan agama di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Penggunaannya terhenti sekitar tahun 1880 apabila pemerintah Negara Sarawak berbangsa Eropah Rajah Brooke mengharamkan penggunaannya kepada seluruh etnik Sarawak yang mengamalkannya termasuk daripada etnik Kayan, Kelabit dan banyak lagi. Sekarang ramai etnik Melanau di seluruh Sarawak sudahpun memeluk agama Islam dan agama Kristian sebagai panduan hidup mereka tanpa meninggalkan norma-norma adat warisan yang tidak bercanggah dengan agama yang dianuti mereka.


Dalat seperti juga keseluruhan daerah di bahagian Mukah merupakan salah satu tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Pengiran Matusin adalah salah satu daripada pembesar yang berkuasa bagi kawasan Mukah dan jajahan takluknya termasuk Dalat. Di ketika inilah penanaman sagu menjadi ekonomi penting kepada seluruh daerahnya dan sehingga sekarang. Saki baki generasi masyarakat Brunei masih lagi mendiami Dalat sehingga sekarang sehingga adanya satu kampung di Dalat yang bernama Kampung Brunei bagi memperjelaskan betapa adanya peradaban Negara Brunei Darussalam bertapak di bumi Dalat suatu waktu dahulu. Daerah Dalat masih memainkan peranan ekonomi sagu yang terpenting di bumi Sarawak. Dan kerana betapa berharganya sagu suatu waktu dahulu menyebabkan Rajah Brooke mencampuri urusan pentadbiran pemimpin tempatan di Dalat dan akhirnya mendominasi perusahaan sagu di Dalat bagi Negara Sarawak suatu waktu dahulu.


Sejajar dengan waktu, Daerah Dalat sekarang sedang rancak membangun seperti daerah-daerah lain di bumi Sarawak. Kepelbagaian industri desa berkaitan dengan sagu seperti industri kecil sagu seperti tabalui dan banyak lagi sedang giat diusahakan oleh masyarakat yang mendiami Dalat sekarang. Selain daripada itu hasil-hasil kraftangan Melanau Dalat juga diangkat menjadi salah satu tarikan pelancungan bagi Daerah Dalat dan tidak terkecuali hasil peninggalan sejarah purba masyarakat Melanau Sarawak seperti jerunei yang masih lagi kelihatan di tepi-tepi sungai di Dalat.

.

Setiap Daerah Mempunyai Nilai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page